Selasa, 19 Mei 2009

Kualiti CCTV pantau jenayah


Amidon Anan

Kesedaran mengawasi keselamatan premis dan gedung perniagaan dengan rangkaian sistem kamera litar tertutup (CCTV) sejajar dengan keperluan semasa dilihat semakin meningkat.

Dengan adanya CCTV, setidak-tidaknya orang ramai bertambah yakin bahawa premis itu dikawal ketat dari segenap sudut. Secara tidak langsung, kewujudan CCTV yang canggih akan menyebabkan persepsi orang ramai juga menjurus ke arah sudut yang positif. Mereka akan yakin bahawa premis tersebut selamat dikunjungi.

Pun begitu, masih ada pemilik premis yang melengkapi premis mereka dengan CCTV “sekadar melepas batuk di tangga”. Apabila adanya persepsi sedemikian maka tujuan utama pengawasan berteraskan pemantauan jenayah menerusi CCTV tidak akan mencapai matlamatnya.

Sebenarnya, pemilik premis perlu menyedari bahawa keselamatan premis akan lebih terjamin apabila menggunakan CCTV yang berkualiti dan harganya mencecah ratusan ribu ringgit sebuah. Ini kerana, barang yang berkualiti akan menerbitkan atau menjamin penghasilan imej yang jelas dan bermutu tinggi.

Dengan imej yang berkualiti tinggi, maka tugas pihak polis dan agensi-agensi berkaitan misalnya Mimos Berhad dan Cyber Security Malaysia dalam mengesan dan mengenal pasti rupa fizikal penjenayah akan menjadi lebih mudah dan pantas.

Ia secara tidak langsung dapat meminimumkan kadar rungutan orang ramai bahawa terdapat CCTV yang gagal mengenal pasti suspek apabila dikehendaki. Imej yang tidak mencapai standard piawaian akan menyebabkan polis dan agensi berkaitan gagal melakukan pendakwaan ke atas sesuatu kes.

Bagi merungkai tahap-tahap yang perlu dilalui oleh tenaga pakar dalam menghalusi imej CCTV, pengalaman seorang bekas pegawai polis, Amidon Anan, 58, boleh dikongsi bersama. Amidon sebelum bersara pada September 2008 ialah Ketua Unit Siasatan, Tempat Kejadian Jenayah (CSI), Makmal Forensik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Berbekalkan tujuh bidang kepakaran hasil menimba ilmu pengetahuan ketika menghadiri kursus di Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI), Amidon mengakui CCTV yang digunakan oleh institusi atau syarikat besar di Malaysia adalah canggih.

Sumber Utusan Malaysia 19 Mei 2009 / 24 Jamadil Awal 1430

Ketua LTTE terbunuh


TV Derana merakamkan mayat, Charles Anthony, anak lelaki pemimpin LTTE, Vellupillai Prabhakaran yang terbunuh dalam serangan tentera Sri Lanka, semalam. – REUTER
COLOMBO 18 Mei – Pemimpin tertinggi pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), Velupillai Prabhakaran ditembak mati hari ini ketika cuba melarikan diri daripada kepungan askar kerajaan Sri Lanka.

Prabhakaran cuba meninggalkan kawasan yang dikepung dengan menaiki sebuah ambulans bersama-sama dua pembantu kanan sebelum subuh hari ini, tetapi kesemua mereka terbunuh apabila kenderaan itu diserang hendap, kata seorang pegawai kanan Kementerian Pertahanan.

“Dia terbunuh bersama-sama dua orang lain di dalam ambulans itu. Pengumuman rasmi akan dibuat kemudian,” katanya.

Dua orang kanan Prabhakaran yang turut terbunuh itu dikenal pasti sebagai ketua perisikan LTTE, Pottu Amman dan ketua tentera lautnya, Soosai.

Tentera Sri Lanka sebelum itu mengumumkan, mereka telah membunuh tiga pemimpin kanan LTTE dan menemui mayat anak lelaki Prabhakaran dalam operasi pembersihan berikutan kekalahan pemberontak tersebut.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan, salah seorang pemimpin LTTE yang terbunuh itu ialah ketua sayap politiknya, B. Nadesan.

Sehari selepas mengumumkan mereka menghentikan pertempuran, saki baki gerila LTTE kini terperangkap di sebuah kawasan hutan kecil di timur laut Sri Lanka.

Jurucakap tentera, Brigadier Udaya Nanayakkara berkata, sebilangan pemberontak terus memberikan tentangan sewaktu askar menjalankan ‘operasi pembersihan’ di kawasan berkenaan.

Katanya, pasukan keselamatan turut menemui mayat anak lelaki Prabhakaran, Charles Anthony, 24, semasa operasi tersebut.

Selain Nadesan, pemimpin kanan lain LTTE yang terbunuh ialah ketua sekretariat perdamaian Harimau, S. Puleedevan; dan pemimpin mereka di wilayah timur, S. Ramesh, menurut Kementerian Pertahanan.

Nanayakkara berkata, nasib Prabhakaran tidak diketahui kerana “kami belum menemuinya, sama ada hidup atau mati, tetapi kami mengetahui apa yang perlu kami lakukan apabila kami menangkapnya.” – AFP