Khamis, 23 Julai 2009

TPM: Zaid cuba rendahkan kewibawaan Ku Li

SEREMBAN 21 Julai - Tindakan Datuk Zaid Ibrahim mengajak Tengku Razaleigh Hamzah menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) disifatkan sebagai merendahkan kredibiliti pemimpin UMNO itu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Tengku Razaleigh merupakan pejuang UMNO dan pengasas parti ini sejak dahulu lagi, justeru tidak sepatutnya kewibawaan beliau dipersoalkan.

''Lagipun, kenapa dia (Zaid) jemput seorang sahaja, tidak jemput semua," kata Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO.

Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pendidikan Guru Besar Malaysia ke-15 dan persidangan perwakilan kebangsaan Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia ke-27 di Klana Resort di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia, Ruslan Madon.

Beliau diminta mengulas ajakan Zaid supaya Ahli Parlimen Gua Musang itu menyertai PKR menerusi blognya - 'Dari Lensa ZI'.

Katanya lagi, tindakan yang dilakukan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu nyata telah merendah-rendahkan kewibawaan politik Tengku Razaleigh.

''Walaupun (Tengku Razaleigh) tidak berjawatan, tetapi beliau masih aktif dan cergas.

''Sewaktu kita menjalankan kempen pada pilihan raya kecil di Manek Urai, Kelantan baru-baru lalu, Tengku Razaleigh banyak membantu dan kita hampir menang kerana kehadiran beliau di situ," ujarnya.

Muhyiddin seterusnya mengingatkan Zaid supaya tidak perlu mengajak orang lain menyertai PKR.

Sementara itu, Muhyiddin turut ditanya mengenai integriti kakitangan awam berikutan penahanan sembilan kakitangan Jabatan Imigresen Johor serta kaedah penyiasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kata beliau, keberkesanan perkhidmatan kakitangan awam sentiasa dilakukan melalui Institut Integriti Nasional yang mana pegawai kerajaan sentiasa diberi panduan berdasarkan pelan yang ada.

''Kita mahu melihat kecekapan pegawai dan prosedur yang diguna pakai itu berkesan atau perlu diubah dan dibaiki. Ini semua perlu diambil kira," tegas beliau.

Ditanya perkembangan suruhanjaya siasatan diraja berhubung kematian Teoh Beng Hock, Muhyiddin berkata, perkara itu akan diputuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada mesyuarat Kabinet esok.