Selasa, 24 Februari 2009

Hamas, Fatah wajar rebut peluang berdamai

SUASANA politik di Israel kini tidak menentu apabila tidak ada mana-mana parti politik utama di negara itu mencatat kemenangan mutlak pada pilihan raya negara itu pada 10 Februari lalu.

Parti Likud pimpinan Benjamin Netanyahu yang diberi mandat membentuk kerajaan oleh Presiden Israel, Shimon Peres kini bekerja keras untuk membentuk kerajaan campuran melibatkan pemimpin-pemimpin parti utama termasuk pemimpin Parti Kadima, Tzipi Livni yang enggan menyertai kerajaannya.

Pada masa yang sama, rantau itu, terus mencuri perhatian dunia dengan usaha Mesir untuk mendamaikan Hamas dan Fatah - dua puak dalam Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang bertelagah.

Mesir yang kecewa dengan sikap Israel menggagalkan usahanya untuk membawa Hamas dan rejim Zionis Israel itu bersetuju dengan pelaksanaan gencatan senjata berpanjangan di Genting Gaza, kini beralih tumpuan untuk mendamaikan Hamas dan Fatah.

Keputusan Kabinet Israel itu, sekali gus memberi tamparan hebat kepada usaha Mesir untuk membawa Palestin dan Israel menyambung semula proses rundingan damai yang sudah lama terbantut.

Kegagalan itu berpunca daripada sikap, Israel pada saat-saat akhir mengubah pendirian memasukkan syarat penyerahan askarnya Gilad Shalit yang ditahan oleh pejuang Hamas sejak tahun 2006 sebagai syarat baru bagi mewujudkan gencatan senjata berpanjangan di Gaza.

Mesir kini nampak bersungguh-sungguh berusaha mendamaikan kedua-dua puak dalam PLO itu. Hamas dan Fatah dijadual bertemu di Kaherah pada minggu ini bagi meneruskan rundingan damai antara mereka ke arah membentuk kerajaan perpaduan Palestin.

Selain Mesir, Syria yang merupakan sekutu kuat Hamas turut menunjukkan kesediaan untuk memainkan peranan bagi memujuk Hamas supaya bersedia berdamai dan membentuk kerajaan perpaduan Palestin.

Malahan beberapa pemimpin Hamas, terutama pemimpin utamanya Khaled Meshaal kini berada dalam buangan di Damsyik.

Dalam situasi politik Israel yang masih kabur dengan Netanyahu sedang berusaha keras untuk membentuk kerajaan campuran yang kukuh dan meluas melibatkan parti-parti penting, usaha Mesir dan Syria juga dilihat sangat penting bagi mendamaikan kedua-dua puak pejuang Palestin itu.

Pertamanya, bagi membolehkan pejuang Palestin bersatu berdepan dengan sebarang serangan baru dan tindakan provokasi yang bakal dicetuskan oleh kerajaan baru pimpinan Netanyahu.

Duta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Asia Barat, Robert Serry baru-baru ini memberi amaran keganasan boleh meletus semula dengan lebih dahsyat di Genting Gaza kecuali gencatan senjata berpanjangan diwujudkan antara Israel dan Palestin.

Keduanya, bagi membolehkan proses rundingan damai Israel-Palestin disambung semula dengan penduduk Palestin mempunyai wakil yang diterima oleh semua puak dalam PLO.

Dalam situasi ini, Hamas dan Fatah harus merebut peluang tersebut untuk berdamai ketika Israel, terutama Netanyahu sedang sibuk mengusahakan pembentukan kerajaan campuran yang stabil dan meluas.

Iktibar pemberontakan Harimau Tamil

Jangan jadi seperti Sri Lanka. Itu antara yang boleh dipelajari daripada penguasaan Pemberontak Harimau Tamil Eelam (LTTE) selama 25 tahun di Sri Lanka. Ini adalah sebuah pertubuhan haram yang memberontak dan membelakangkan undang-undang negara dan mahu merampas kuasa secara ganas.

Oleh sebab tidak ada tindakan drastik untuk memancung pemberontak ini mula-mula dulu, kegagalan itu menyaksikan 25 tahun pemberontak menguasai dan melakukan kezaliman ke atas rakyat.

Ini adalah satu contoh yang boleh diambil iktibar bahawa jangan sama sekali memberi ruang kepada pihak yang melakukan tindakan memberontak sebagai pendekatan mencari penyelesaian.

Sekiranya kerajaan mengambil jalan yang sangat diplomasi, Sri Lanka telah membuktikan kerajaan melakukan penganiayaan ke atas rakyat apabila 25 tahun atau suku abad membiarkan Harimau Tamil ini bermaharajalela.

Harimau Tamil berjaya membina kuasa dan menguasai kawasan seluas 7,000 batu persegi kerana kerajaan Sri Lanka tidak bertindak proaktif membanteras pada peringkat awal lagi. Apabila kumpulan pemberontak ini berakar umbi dan seolah-olah mereka memerintah sebuah kerajaan yang sah, sukarlah untuk menghapuskannya. Berilah alasan apa sekali pun untuk mewajarkan pemberontak mereka, Harimau Tamil adalah pengganas yang mesti dihapuskan.

Lebih malang lagi apabila ada pihak yang menganggap pendekatan perjuangan Harimau Tamil yang ganas itu suatu yang berkesan, maka mereka juga meniru dengan membuat tuntutan yang membelakangkan undang-undang.

Kita perlu banyak mengambil iktibar daripada Sri Lanka yang membiarkan sebuah pertubuhan haram menjadi kumpulan pemberontak hingga berkuasa di sebuah wilayah dalam jangka masa begitu lama.

Tetapi selepas Presiden Mohindra Rajapaksa memegang tampuk kuasa pada 2005, beliau telah melakukan banyak tindakan proaktif untuk menghapuskan Harimau Tamil. Sebelum itu kerajaan kelihatan sangat lemah atau tidak bersungguh-sungguh untuk membanteras Harimau Tamil.

Buktinya pemberontak ini boleh menguasai sebuah wilayah dengan begitu lama. Ini satu kegagalan Sri Lanka dan tidak wajar diulangi oleh negara-negara lain yang mendepani masalah politik yang hampir sama.

Pada 3 Februari lalu, tentera kerajaan mengambil tindakan paling drastik dengan menggempur wilayah yang dikuasai oleh Harimau Tamil menerusi serangan dari udara. Serangan itu memberikan kejayaan yang sangat besar apabila berjaya mengambil semula Mullaittivu yang menjadi kubu kuat Harimau Tamil.

Dalam masa suku abad, inilah kali pertama kerajaan kelihatan serius untuk menghapuskan sebuah kumpulan pemberontak yang mengganas serta memangsakan rakyat. Bayangkan sejak 1983, pemberontak Harimau Tamil telah membunuh lebih 70,000 rakyat yang tidak berdosa.

Hasil daripada serangan paling hebat ini, ketua Harimau Tamil, V. Prabhakaran yang memimpin sejak awal penubuhannya dulu melarikan diri. Ini bermakna pemberontak ini mengalami kekalahan yang paling teruk dan tersebar berita angin kononnya Prabhakaran melarikan diri ke Malaysia.

Kalau benar dia melarikan diri keluar dari Sri Lanka, kenapa memilih Malaysia? Adakah Malaysia sebuah negara yang selamat bagi para pemberontak seperti Prabhakaran? Setakat ini kisah Prabhakaran melarikan diri ke Malaysia tidak ada sebarang bukti tetapi jangan ambil mudah kerana berita begini dengan sendirinya membentuk satu persepsi tentang Malaysia.

Walaupun pemimpin pemberontak itu melarikan diri tetapi saki baki pemberontak yang berada di wilayah berkenaan terus melakukan kekejaman dan membunuh rakyat yang mahu menyeberangi sempadan zon perang ke kawasan yang dikuasai oleh tentera kerajaan.

Setakat ini dianggarkan lebih 250,000 orang awam terperangkap dalam zon perang. Mereka berada dalam keadaan yang sangat berisiko kerana pemberontak Harimau Tamil telah membunuh banyak orang awam yang cuba mendapatkan pertolongan tentera kerajaan.

Harimau Tamil adalah pemberontak pemisah sejak awal 1970-an dulu. Tetapi akhir 1980-an kerana lembapnya kerajaan mengambil tindakan, pemberontak ini menguasai kawasan yang semakin luas terutama di pinggir Timur Laut.

Di Sri Lanka, keturunan Tamil adalah minoriti dan untuk mendapat kuasa memerintah Sri Lanka, wujudlah kumpulan pemisah Harimau Tamil.

Mereka adalah pihak yang bertanggungjawab membunuh beberapa tokoh politik ternama Sri Lanka dan juga India serta menjadi penyokong yang membawa kepada pembunuhan perdana menteri India, Rajiv Gandhi pada 1991. Malah pemberontak ini mendakwa menjadi perintis kepada serangan berani mati.

Ternyata masalah yang dicetuskan oleh pemberontak Harimau Tamil memaksa kerajaan mengeluarkan belanja yang sangat besar untuk memerangi kumpulan ini. Sepatutnya peruntukkan yang besar kepada ketenteraan di Sri Lanka boleh digunakan untuk membangunkan negara dan memberi keselesaan hidup kepada rakyat.

Kini Sri Lanka mempunyai 200,000 anggota tentera iaitu empat kali ganda pada tahun 2000. Tujuannya untuk meningkatkan kekuatan bagi mendepani Harimau Tamil yang dianggap sebuah pertubuhan pemberontak yang begitu terancang serta terlatih.

Mereka mempunyai jaring antarabangsa terutama untuk mendapatkan senjata. Maka untuk membanteras sebuah kumpulan pemberontak yang berakar umbi suku abad bukanlah suatu perkara yang mudah, malah peralatan senjata yang digunakan oleh Harimau Tamil setanding dan sesetengahnya lebih canggih daripada yang digunakan oleh tentera kerajaan.

Pada 2006 FBI menangkap empat lelaki yang menjadi orang tengah penjualan senjata berupa peluru berpandu, pelancar roket serta raifel AK-47 kepada Harimau Tamil. Ini menunjukkan jaringan antarabangsa Harimau Tamil terutama untuk mendapatkan senjata canggih yang menjadi faktor menyukarkan tentera kerajaan melumpuhkan kumpulan pemberontak ini.

Jaringan antarabangsa ini yang meletakkan tentera kerajaan dalam keadaan yang sangat terdesak tambahan pula pembunuhan ke atas orang awam begitu berleluasa.

Maka apa yang boleh dipelajari daripada peristiwa penguasaan Harimau Tamil ini ialah jangan sama sekali memberi peluang kepada mana-mana pihak yang mahu mengambil tindakan yang membelakangkan undang-undang.

Setiap rakyat berhak mendapat jaminan keselamatan dan semua ini hanya boleh didapati sekiranya aspek-aspek keselamatan dilaksanakan tanpa sebarang tolak ansur.

Harimau Tamil telah membuktikan bahawa mereka adalah pengganas yang melakukan kezaliman terhadap rakyat dan pengganas bukanlah pembela rakyat walaupun pada mulanya Harimau Tamil memperjuangkan kedudukan puak minoriti Tamil di Sri Lanka. Sejarah boleh berulang kalau kita tidak berusaha untuk mencipta sejarah baru dan jangan ulangi kegagalan Sri Lanka.

Khaled Masy'al pemimpin Hamas digeruni musuh

"Tujuan mereka ialah menyuntik bahan beracun ke tubuh Khaled agar mati secara senyap-senyap."

GERAKAN Ikhwan Muslimun tidak hanya bertapak di bumi Mesir walaupun ia diasaskan di negara yang pernah didiami golongan nabi-nabi. Ia turut mempunyai kaitan dengan bumi Palestin yang turut dikatakan terdapat para anbiya dan ulama seperti Imam as-Syafie yang dilahirkan di bumi bertuah itu, ditambah pula dengan wujudnya kiblat pertama umat Islam iaitu Masjid al-Aqsa.

Ikhwan Muslimun di Palestin dikenali sebagai Hamas. Ia diasaskan oleh Syeikh Ahmed Yassin di bahagian Gaza yang merupakan cabang al-Ikhwanul al-Muslimun. Sejak penubuhannya, Hamas telah melancarkan serangan terhadap penduduk Israel, negara yang menakluki wilayah Palestin.

Piagam Hamas menyeru supaya negara Israel dimusnahkan dan digantikan dengan sebuah negara Islam. Hamas sering menunjukkan sentimen anti-Israel dan berjuang untuk mengusir pihak Israel keluar dari Palestin melalui Jihad.

Dalam pilihan raya umum 2006, Hamas berjaya memenangi jumlah kerusi yang terbanyak dalam Parlimen dan telah membentuk kerajaan baru. Hal ini membuktikan populariti Hamas berbanding dengan Fatah yang dianggap tidak berkesan dan tidak berakhlak oleh penduduk Palestin. Hamas juga melaksanakan beberapa program kebajikan di wilayah Palestin, termasuk menabung sekolah, rumah yatim piatu dan klinik kesihatan.

Pertempuran antara kumpulan militan Fatah dan Hamas sejak pilihan raya Januari 2006 telah banyak berlaku, dan menyebabkan kemusnahan infrastruktur dan kegawatan ekonomi.

Mendekati pemimpin yang digeruni musuh

Khaled yang nama penuhnya Khaled Abdel Rahim Ismail Abdel Qader dilahirkan pada 1956 di Kampung Salwad dalam daerah Ramallah di Palestin. Beliau mendapat pendidikan awal di Ramallah pada 1967 dan selepas itu berhijrah bersama seluruh ahli keluarganya ke Kuwait, menyambung pelajaran peringkat menengah di Kuwait.

Semasa belajar di peringkat pengajian tinggi di Universiti of Kuwait, Khaled belajar dalam bidang Fizik hingga bergelar graduan. Ketika belajar di situ, Khaled menjadi perintis kepada penubuhan rangkaian belia yang menjadi sayap kanan Hamas. Ini kerana kerajaan Kuwait pada masa itu amat menyokong penuh rakyat Palestin mengalahkan rakyat mereka sendiri hingga ke hari ini.

Dalam kesempatan mendapat sokongan padu kerajaan Kuwait, Khaled menyediakan kader-kader yang bersedia untuk dikerahkan ke Palestin menghadapi kekejaman rejim Yahudi dengan pembiayaan yang ditanggung oleh pihak berkuasa. Akhirnya kecenderungannya berpolitik telah mendorongnya menubuhkan Rangkaian Politik Palestin di universiti berkenaan.

Beliau juga bertanggungjawab mengasaskan Briged Islam yang dikenali dengan �Haq� yang mengatasii pengaruh mahasiswa-mahasiswa pro-Fatah di universiti yang sama. Setelah menamatkan pengajian, Khaled segera menukar nama briged yang diasaskannya itu kepada Rabitah Islam Pelajar-pelajar Palestin (Ikatan Islam).

Kerjaya sebagai Guru Fizik

Setelah berjaya bergelar mahasiswa, Khaled memulakan kerjaya sebagai seorang guru fizik selama masih berada di Kuwait, seterusnya mendirikan rumahtangga pada 1980 dan dikurniakan seramai tujuh orang anak, tiga perempuan dan empat lelaki. Walaupun sibuk dengan tugas mengajar di samping menitik beratkan urusan keluarga, Khaled tetap memberi ruang dan masa bagi kemajuan isu Palestin.

Beliau terpaksa meletakkan jawatan sebagai guru kerana mahu menumpukan seluruh masa dan tenaganya untuk rakyat Palestin. Beliau terlibat dalam penubuhan Hamas pada 1987 bersama Syeikh Ahmed Yasin, Dr Abdel Aziz Rantisi dan rakan-rakan yang lain, yang merupakan cabang daripada Gerakan Ikhwan Muslimun yang berpusat di Mesir.

Antara jawatan penting Hamas yang disandangnya hingga kini ialah Ketua Jabatan Politik Hamas di Jordan bermula pada 1987 dan di Damsyik, Syria hingga kini, beliau dianggap sebagai perancang utama Hamas selepas Syeikh Ahmed Yasin dan Dr Abdel Aziz Rantisa yang mati syahid kerana dibom oleh rejim Yahudi atas bantuan dan maklumat yang diberikan oleh tali barut Israel di kalangan pengikut Fatah.

Percubaan untuk membunuh Khaled

Pada 25 September 1997, Mosad Israel yang mendapat kerjasama pasukan kesalamatan Israel atas arahan langsung daripada Perdana Menteri ketika itu, Benjamin Netanyahu supaya membunuh Khaled. Beliau yang ketika itu berwarganegara Jordan dan menetap di situ tidak mengesyaki apa-apa, apabila 10 anggota Mosad yang menyamar sebagai warganegara Kanada menemuinya di kediaman yang terletak di Jalan Wasfi al-Tal di Amman.

Tujuan mereka ialah untuk menyuntik bahan beracun ke tubuh Khaled agar mati secara senyap-senyap. Walau bagaimanapun takdir Allah SWT lebih mendahului perancangan jahat Mosad itu, apabila kemasukan mereka ke Amman dapat dibongkar oleh pegawai imigresen yang mendapati mereka menggunakan dokumen perjalanan palsu, akhirnya para pegawai imigresen bergegas ke kediaman Khaled dan berita itu sampai ke pengetahuan Raja Hussein Talal dan memerintahkan agar kesemua anggota Mosad itu meninggalkan Jordan serta merta.

Benjamin Netanyahu tidak bersetuju dengan tindakan dan campur tangan Raja Hussein yang menahan kesemua anggota Mosad yang terlibat. Namun Raja Hussein menyampaikan berita itu kepada pengetahuan Presiden Amerika, Bill Clinton yang meminta agar Benjamin terima dengan lapang dada, beliau tetap tidak setuju, akhirnya Bill Clinton menegaskan bahawa beliau tidak boleh berkomunikasi dan berinteraksi dengan Benjamin yang disifatkan sebagai orang gila.

Satu pertemuan diadakan antara Benjamin, Raja Hussein dan disaksikan oleh Bill Clinton. Benjamin mendesak Raja Hussein agar membebaskan kesemua anggota Mosad yang ditahan di penjara Amman. Raja Hussein terima cadangan itu tetapi dengan syarat, 10 anggota Mosad yang dibebaskan itu digantikan dengan pembebasan pemimpin Hamas Syeikh Ahmed Yasin yang dijatuhkan oleh mahkamah Israel penjara seumur hidup, perjanjian itu dimeterai dan masing-masing bersetuju.

Kronologi percubaan untuk menangkap

Pada Ogos 1999, pihak berkuasa Amerika Syarikat mengeluarkan arahan kepada Raja Hussein agar menangkap Khaled Masy�al, surat tangkapan itu diserahkan sendiri oleh Setiausaha Luar Amerika, Madelein Albright.

Oktober 2002, ketika satu persidangan Belia Islam Sedunia diadakan di Riyadh-Arab Saudi, Putera Mahkota Amir Abdullah (sekarang Raja Abdullah) dikatakan menerima satu surat daripada Hamas dan Kerajaan Palestin pimpinan Yasser Arafat, bahawa Khaled Masy�al diarahkan untuk bertemu dengan beliau di Riyadh, sedangkan Khaled yang turut menyertai persidangan itu tidak tahu menahu tentang arahan itu, akhirnya beliau enggan bertemu dengan Amir Abdullah kerana mengesyaki bahawa itu adalah umpan untuk menangkapnya.

Tanggal 23 Mac 2004, tiga hari selepas kesyahidan Syeikh Ahmed Yasin, pengisytiharan dibuat bahawa orang yang akan menggantikan tempat almarhum Syeikh Ahmed ialah Khaled Masy�al yang dituduh oleh Israel melakukan percubaan membunuh, sedangkan pembunuhan itu dilakukan oleh rejim Israel. Itu merupakan helah untuk melihat sejauhmana Khaled melatah dalam isu fitnah berkenaan.

Tanggal 20 Januari 2006, Hamas menang bergaya dalam pilihan raya Palestin yang membolehkannya membentuk kerajaan yang sah, namun ia disangkal oleh Amerika dan Israel. Malah mereka memilih Mahmoud Abbas sebagai Presiden. Sejak daripada itu Khaled menjadi sasaran kerana dianggap sebagai perancang dalam kejayaan Hamas dalam pilihan raya, serangan demi seranag sama ada dengan memfitnahnya, atau mahu membunhnya, semua itu tersedia dalam perancangan Israel untuk membunuhnya.

Dun Kelantan kutuk kekejaman Yahudi

Dewan Negeri Kelantan yang bersidang hari ini mengambil ketetapan mengutuk tindakan kejam rejim Yahudi di bumi Palestin yang menyebabkan lebih 1,300 penduduk menjadi korban.

Usul mengenai perkara itu dibentang Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurut Menteri Besar kekejaman bangsa Yahudi tidak boleh dimaafkan kerana ia telah merampas hak bangsa lain dan tindakan yang dilakukan rejim itu melampaui nilai-nilai kemanusiaan.

Katanya kekejaman Yahudi tidak boleh dibendung lagi sekiranya umat Islam tidak bersatu.

Beliau berkata Gaza merupakan tempat lahirnya ulama seperti Imam Syafie dan seharusnya umat Islam mempertahankannya.

"Mengenai cadangan supaya wakil rakyat membuat sumbangan dengan sebulan elaun kepada mangsa kekejaman Yahudi, ia tidak menjadi masalah.

"Bagi saya, tak dak masalah. Saya setuju gaji saya dipotong, yang lain tu kena bincang dululah," ujar beliau.

Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakob ketika menyokong usul tersebut berkata, kekejaman dilakukan Yahudi bermula pada 1948, di mana penduduk Palestin telah ditindas.

Katanya juga orang Yahudi juga merupakan bangsa yang mengasaskan perniagaan secara riba seperti diamalkan bank di negara-negara barat sekarang.

"Kelalaian umat Islam di bumi Arab juga menjadi faktor penting Yahudi bertindak sewenang-wenangnya menindas bangsa Palestin," katanya pada persidangan kali pertama bagi tempoh penggal kedua Dewan Undangan Negeri Kelantan yang ke-12 hari ini.Image

Usul tersebut juga disokong pembangkang yang diwakili Abdul Aziz Derasid (BN - Kuala Balah) yang turut mengutuk keras serangan Yahudi terhadap bumi Palestin.

Beliau turut mencadangkan wakil rakyat di Kelantan memberi sumbangan sebulan elaun mereka untuk didermakan kepada kerajaan Hamas di Palestin.

"Kita akan beri sumbangan itu kepada Hamas kerana ia merupakan kerajaan yang dipilih rakyat Palestin dan bukannya kumpulan Fatah yang diketuai Mahmood Abbas," katanya ketika menjawab soalan dibangkitkan Ustaz Hassan Mohamood (PAS - Tawang) yang mahu memastikan kepada pihak mana bantuan akan disalurkan.

Ramai anggota Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) bangkit mencelah ketika Aziz berucap menyokong usul tersebut.

Dr Muhammad Md Daud (PAS - Tendong) berkata, Yahudi bukan sahaja memusuhi umat Islam, malah ia menjadi musuh kepada seluruh bangsa di dunia.

"Yahudi beranggapan mereka adalah bangsa yang mulia di bumi ini dan kaum lain dianggap sebagai setaraf dengan haiwan, justeru itu mereka sanggup membuat apa saja untuk menegakkan negara Yahudi," ujar.

Menurutnya bangsa Yahudi merupakan golongan penakut di mana tenteranya akan berundur sekiranya ada di kalangan mereka mati dalam peperangan.

Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS - Mengkebang) mencadangkan kerajaan mengemukakan teori '8 D' bagi mengutuk kekejaman rejim Yahudi ke atas umat Islam di Palestin.

8 D yang dimaksudkan iaitu demontrasi, dana, desak, dedah, delegasi, dakwah, didik dan doa.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri melalui Tabung Cakna Palestin yang bersedia menaja pelajar-pelajar dari Palestin meneruskan pengajian di negara ini.

Ustaz Abdullah Ya'kub (PAS - Air Lanas) pula mengimbau sejarah permulaan kekejaman kaum Yahudi bermula pada 1898 berdasarkan kepada ketetapan di Geneva yang ingin menjatuh kerajaan Othmaniah di Turki.

ImageKatanya, Yahudi telah bertindak awal mencari seorang anak tempatan yang pintar, Mustafa Kamal Atartuk yang dididik sehingga berjaya melanjut pelajaran ke Harvard, kemudian diangkat menjadi pemimpin di Turki dengan menjatuhkan kerajaan Othmaniah.

Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah (PAS - Pasir Tumbuh) berkata terdapat perbezaan dalam menggunakan nama Israel dan Yahudi, di mana Israel adalah merupakan satu kaum yang terdiri daripada nabi iaitu keturunan Nabi Yaakub a.s.

Sedangkan Yahudi ialah mereka yang lahir dari keturunan Israel yang terlalu jahat sehinggakan sanggup membunuh nabi-nabi.

"Oleh itu saya berharap kita menggunakan nama Yahudi dalam apa jua perkara yang menggambarkan kekejaman mereka di Palestin sekarang," ujar.

Ustaz Muhammad Mustapha (PAS - Demit) meminta kerajaan pusat mengiktiraf kerajaan Hamas di Palestin kerana kemenangannya mengikut demokrasi melalui cara yang sah.

Beliau berkata, Malaysia juga seharusnya menyalurkan sumbangan yang khusus terhadap kerajaan Hamas bagi membantu umat Islam di Gaza.

Katanya, kerajaan juga perlu memberi penerangan yang jelas berhubung kerajaan Hamas yang dipilih rakyat Palestin secara sah.

"Kita tidak mahu sumbangan disalurkan kepada kumpulan Fattah yang langsung tidak ada hubung kait dengan peperangan dengan Yahudi baru-baru ini," ujarnya.

Beliau juga menyarankan Malaysia turut mengambil sikap menyokong untuk mendakwa rejim Zionis di Mahkamah Keadilan Antarabangsa kerana telah menceroboh hak asasi manusia sejagat.

Beliau turut menyarankan kerajaan Kelantan memberi ruang kepada kanak-kanak Palestin meneruskan pengajian di negeri ini iaitu di kolej-kolej swasta atau awam sebagai aset bagi masa depan mereka.

"Yahudi akan melekakan umat Islam bagi mengikis rasa kecintaan yang kental terhadap perjuangan Islam agar ia semakin terhakis," ujarnya.

Sementara itu, badan-badan bukan kerajaan (NGO) menyerah memorandum bantahan terhadap kekejaman Yahudi kepada Menteri Besar di lobi Dewan Undangan Negeri, ketika persidangan berhenti rehat.

Memorandum itu diserahkan Ketua Sekretariat Misi Cakna Palestin, Nazri Deraman.

Nazri berkata, penyerahan memorandum itu sebagai melahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan Kelantan yang turut sama mengutuk kekejaman Yahudi.

Sekretariat terbabit menggabungkan 30 NGO dari seluruh negeri berganding bahu menganjurkan program-program bagi membantu meringankan beban kesengsaraan rakyat di Gaza.

"Kami mewakili pelbagai golongan dan lapisan masyarakat turut sama menyatakan sokongan ke atas langkah pihak kerajaan Kelantan yang amat prihatin terhadap isu ini," ujar beliau.

Selasa, 17 Februari 2009

Pembukaan sidang Parlimen penuh istiadat

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-12 dengan penuh istiadat.

Sejurus tiba di pekarangan bangunan Parlimen, Seri Paduka serta Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah.

Turut menyambut Seri Paduka berdua ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Hadir sama ialah Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Pawanteh.

Tuanku Mizan kemudian menerima sembah 'Hormat Diraja' dan lagu Negaraku dimainkan oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja dari Kem Sungai Besi.

Seri Paduka kemudian turun dari peterana diraja untuk memeriksa kawalan kehormat yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Sungai Besi diketuai oleh Mejar Norhisham Kamar.

Ketika upacara pemeriksaan kawalan kehormat, tembakan meriam 21 das dilepaskan.

Setelah selesai memeriksa perbarisan kehormat, Seri Paduka kembali ke peterana diraja dan menerima sembah 'Hormat Diraja' kali kedua sebelum lagu Negaraku dimainkan sekali lagi.

Seri Paduka berdua kemudian diiringi oleh Abdullah dan isteri memasuki bangunan Parlimen.

Tepat pukul 10.40 pagi, loceng istiadat Parlimen dibunyikan dan Seri Paduka berdua kemudian memasuki galeri Dewan Rakyat dengan diiringi Pandikar Amin.

Perdana Menteri kemudian menyembahkan titah ucapan diraja kepada Seri Paduka bagi merasmikan Penggal Kedua Parlimen Ke-12.

Mesyuarat pertama Dewan Rakyat bermula hari ini dan berakhir 19 Mac manakala Dewan Negara dari 30 Mac hingga 8 April.

Kapal selam British-Perancis berlanggar

Dua kapal selam nuklear, milik tentera British dan Perancis berlanggar di Laut Atlantik awal bulan ini, lapor akhbar The Sun, United Kingdom (UK) hari ini.

Menurut akhbar tersebut, kedua-dua kapal selam HMS Vanguard dan Le Triomphant rosak dalam kejadian itu tetapi tiada laporan kerosakan terhadap bahagian nuklearnya.

Kapal selam tentera British itu kini ditunda ke pelabuhan Faslane di Scotland untuk dibaik pulih.

Kedua-dua kapal selam berkenaan yang setiap satu membawa kira-kira 250 anak kapal, dilaporkan berada di atas permukaan laut dan dalam misi berbeza ketika berlanggar pada 4 Februari lalu.

Kementerian Pertahanan UK enggan memberi komen mengenai operasi kapal selam berkenaan tetapi jurucakapnya berkata, ''Kami boleh mengesahkan bahawa keupayaan mencegah yang dimiliki UK kekal tidak terjejas pada setiap masa dan keselamatan nuklear juga tidak dikompromi.''

HMS Vanguard adalah satu daripada empat kapal selam nuklear yang dikendalikan oleh tentera British sebagai sebahagian daripada sistem Trident yang sentiasa mengadakan rondaan pencegahan.

Setiap kapal berukuran 150 meter panjang dan 13 meter dalam diameter serta boleh membawa sehingga 48 bom nuklear untuk maksimum 16 peluru berpandu.

Rabu, 11 Februari 2009

Perak: 4 dilantik penasihat bertaraf exco

Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abdul Kadir hari ini mengumumkan pelantikan tiga penasihat menteri besar dan seorang ketua penerangan kerajaan yang semuanya bertaraf exco.

dr zambry abdul kadir new perak cm 110209 01Mereka terdiri daripada Datuk Mohd Najumuddin Elias yang dilantik sebagai penasihat Hal Ehwal Agama Islam; Datuk Chang Ko Youn (penasihat Hal Ehwal Kaum Cina), dan Datuk S Veerasingam (penasihat Hal Ehwal Kaum India) manakala Datuk Hamdi Abu
Bakar dilantik Ketua Penerangan Kerajaan Negeri, lapor Bernama.

Chang merupakan timbalan pengerusi Gerakan peringkat nasional manakala Veerasingam adalah naib presiden MIC.

Dalam pilihanraya umum lalu, Chang tewas di Parlimen Beruas manakala Veerasingam pula kalah di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungkai.

Mohd Najumuddin pula menang di DUN Batu Kurau, manakala Hamdi menang di DUN Pengkalan Baru.

dr zambry abdul kadir new perak cm 110209 02Dr Zambry turut mengumumkan portfolio bagi anggota exco kerajaan negeri.

Dalam senarai itu, Dr Zambry menjadi pengerusi Jawatankuasa Perancangan, Ekonomi, Kewangan, Keselamatan, Tanah, Hasil Bumi, Pertanian, Perumahan dan Agama.

Manakala Hamidah Osman dilantik exco kanan dengan mempengerusikan Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, ICT, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita; Datuk Ramly Zahari (pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Air), Dr Mah Hang Soon (pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam).

Datuk Saarani Mohamad dilantik pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan, Perladangan dan Kebajikan; Mohd Zahir Abdul Khalid (pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi), dan Zainol Fadzi Paharuddin (pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan).

Dr Zambry mengangkat sumpah sebagai menteri besar yang baru Jumaat lalu selepas Barisan Nasional membentuk kerajaan negeri selepas kerajaan Pakatan Rakyat hilang sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN), ekoran tindakan empat anggotanya keluar parti masing-masing untuk menyokong BN.

Masuk pejabat

Sebelum itu, pada jam 10 pagi tadi beliau secara rasmi memasuki pejabat Menteri Besar di Bangunan Darul Ridzuan dengan diiringi barisan exco.

Ketibaan mereka disambut kakitangan Pejabat Menteri Besar dengan diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim.

Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini, Dr Zambry berkata, tiada tempoh percubaan bagi enam anggota exco kerajaan negeri Perak dalam menjalankan tanggungjawab dan amanah selepas mereka
mengangkat sumpah bagi jawatan itu di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar semalam.

Katanya, apa yang lebih penting baginya dan barisan Exco yang dibentuk adalah memberikan komitmen sepenuhnya dalam melaksanakan tugas kepada rakyat selain tanggungjawab sebagai ahli dewan undangan negeri kawasan masing-masing.

"Saya ingin sebutkan di sini, inilah barisan exco yang dibentuk seramai enam orang. Kita tidak ada tempoh percubaan atau yang sering disebut sebagai 100 hari dan sebagainya. Bagi kita, (melaksanakan tanggungjawab) bermula daripada mengangkat sumpah, itu adalah waktunya di mana kita mesti melakukan tugas dan tanggungjawab kita," katanya.

Mengenai hanya enam Exco yang dilantik bagi menerajui pentadbiran negeri berbanding 10 exco kerajaan negeri Barisan Nasional sebelum ini, Zambry berkata ia bergantung kepada keperluan tertentu dan keputusan yang dibuat.

Katanya dari segi peraturan, menteri besar boleh melantik seberapa ramai Exco yang beliau mahu.

Jumlah exco kurang

"Minimum mungkin empat, mungkin kita juga boleh melantik lima, enam orang tetapi itu bergantung kepada keperluan dan keputusan yang dibuat...kita akan fikir dari masa ke semasa (jika mahu menambah bilangan exco) atas nama keperluan," katanya.

Beliau juga berkata pengurangan hanya kepada enam Exco kali ini, ia tidak akan membebankan setiap exco bagi memikul tanggungjawab mengikut portfolio yang diberikan kepada mereka.

"Kita perlu satu barisan kombinasi generasi baru dan golongan muda yang suaranya didengar dan dalam masa yang sama kita imbangkan dengan mereka yang mempunyai pengalaman dalam pentadbiran serta yang telah berada dalam kerajaan. Ia adalah satu barisan Exco yang unik," katanya.

Ketika ditanya mengenai polisi dan dasar kerajaan negeri yang baru dibentuk ekoran tumbangnya kerajaan Pakatan Rakyat selepas empat anggotanya keluar parti masing-masing untuk menyokong BN, Zambry berkata semua dasar kerajaan BN adalah untuk rakyat.

Katanya selepas Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan negeri pada Mac lalu, mereka telah meneruskan polisi yang digariskan kerajaan BN sebelum itu.

"Kamu perlu tahu bahawa banyak polisi yang mereka (kerajaan Pakatan Rakyat) umumkan itu adalah polisi BN. Sekarang ini sebagai kerajaan negeri yang baru, yang penting bukan mengenai polisi kami atau polisi mereka kerana kepentingan dan kebaikan untuk rakyat adalah keutamaan," katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau mendapat sokongan majoriti rakyat Perak walaupun selepas Sultan Azlan Shah tidak perkenan untuk membubarkan DUN ekoran kemelut politik yang melanda, beliau berkata: "Ini adalah proses demokrasi. Adakah anda faham mengenai demokrasi? Adakah anda faham mengenai falsafah politik demokrasi?".

Katanya Pakatan Rakyat yang sepatutnya ditanya berhubung sokongan majoriti rakyat Perak apabila mereka mula bercakap berhubung isu lompat parti sejak pilihanraya umum lepas.

Larangan ceramah politik di Perak

Polis melarang sebarang ceramah politik di seluruh Perak sehingga situasi panas susulan pergeseran kerajaan BN dengan Pakatan Rakyat sejak minggu lalu mulai reda.

"Kita tidak benarkan sebab situasi tidak berapa elok," kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sewaktu dihubungi Malaysiakini hari ini.

musa hassanBeliau berkata pembekuan ini telah dimaklumkan kepada Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Ahmad dan pegawainya itu akan mengeluarkan arahan rasmi.

"Saya sudah beritahu ketua polis (Perak) dan beliau akan keluar arahan," kata Musa.

Beliau diminta menjelaskan dakwaan seorang pemimpin PKR bahawa polis membekukan ceramah Pakatan Rakyat di seluruh negara selama dua minggu ekoran kegelisahan politik di negeri tersebut.

Ditanya tempoh pembekuan permit itu akan dikuatkuasa di Perak yang kini sedang menyaksikan perebutan jawatan menteri besar dan kerajaan negeri, Musa tidak dapat menyatakan tarikh pasti.

Mengulas tindakan polis negeri-negeri lain, beliau berkata tiada arahan seumpama itu dan parti-parti politik yang berminat mengadakan ceramah harus melalui prosedur biasa untuk mendapatkan permit.

"Saya tidak dengar (dakwaan itu). Negeri lain, kalau parti nak buat, kena ikut syarat-syarat (mengadakan ceramah) seperti biasa," kata Musa lagi, ketika diminta mengulas penarikan balik permit ceramah di Pulau Pinang.

perak bn takeover protest mosque tear gas attack incident kuala kangsar rally 060209 31Suasana tegang berlaku dekat istana Kuala Kangsar sewaktu majlis angkat sumpah menteri besar baru BN, Jumaat lepas - sehingga memaksa polis melepaskan gas pemedih mata berkali-kali (foto kiri, bawah).

Sehari selepasnya, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membatalkan jadualnya di saat-saat akhir untuk menyambut Tahun Baru Cina di Ipoh - difahamkan atas alasan keselamatan.

Kawalan ketat polis mengiringi majlis angkat sumpah enam exco kerajaan baru BN itu semalam di istana Kuala Kangsar bagi menghalang sebarang kejadian tidak diingini.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR mendakwa ceramah anjuran mereka di Bayan Baru pada Ahad lalu dibatalkan permitnya di saat-saat akhir kerana wujud "arahan khas daripada Bukit Aman."

Badrul Hisham Shaharin mendakwa pihaknya dimaklumkan pembekuan itu selama dua minggu sehingga situasi di Perak "kembali sejuk."

Ceramah itu yang asalnya dijadual di padang dekat Sungai Nibong Tengah, bagaimanapun diteruskan di sebuah rumah berdekatan dengan kehadiran 2,000 orang penyokong, katanya.

Selain beliau, exco kerajaan Pulau Pinang, Abdul Malik Kassim dan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Jerjak, Sim Tze Tzin turut berucap.

perak bn takeover protest mosque tear gas attack incident kuala kangsar rally 060209 22Sementara itu, ketua Angkatan Muda PKR Bayan Baru, Asrizal Tahir – yang memohon permit berkenaan – berkata permohonan mereka pada mulanya diluluskan oleh polis.

Katanya, seorang pegawai daripada Ibu Pejabat Polis Daerah menelefon beliau sehari sebelum program memaklumkan pembatalan itu.

Menurutnya, pegawai polis itu memaklumkan kepadanya bahawa semua ceramah "dibekukan dalam masa terdekat", difahamkan dua minggu, kerana "ada sangkut-paut dengan situasi di Perak." (foto arkib)

Beliau juga mendakwa, pegawai itu memberitahu bahawa keputusan itu datangnya daripada ibu pejabat polis persekutuan di Bukit Aman dan berkuatkuasa di seluruh negara.

Pergeseran di Perak bermula apabila kerajaan Pakatan tumbang setelah tiga Adunnya keluar parti dan mengisytiharkan sokongan kepada BN.

Adun PKR Datuk Nasarudin Halim - yang menyertai parti itu selama 10 hari - kembali semula kepada BN.

Kerajaan baru BN pimpinan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir itu bagaimanapun tidak diiktiraf oleh menteri besar Pakatan, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyebabkan wujudnya suasana krisis perlembagaan.

Sabtu, 7 Februari 2009

Bubar Dun Perak, beri peluang rakyat memilih

Parti Islam SeMalaysia (PAS) adalah sebuah parti yang sah berdaftar dan senantiasa mendukung prinsip rukunegara termasuklah prinsip kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Kami sepenuhnya percaya bahawa kedudukan kesemua prinsip-prinsip rukunegara ini haruslah dihormati oleh seluruh warga di dalam negara kita ini untuk memastikan keharmonian dan keadilan yang menyeluruh terus terpelihara. Oleh yang demikian, PAS berpendapat bahawa suasana kekalutan yang sedang berlaku di negeri Perak Darul Ridzuan pada masa kini boleh dielakkan dari menjadi lebih buruk sekiranya prinsip asas yang merujuk kepada undang-undang negeri dan perlembagaan persekutuan dijadikan rujukan.

PAS berpandangan bahawa Menteri Besar (MB) Perak pada masa ini, iaitu Dato' Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin, hanyalah boleh diturunkan dari kedudukannya sebagai menteri besar menerusi undi tidak percaya yang dilakukan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) semasa ianya bersidang.

PAS yakin bahawa sekiranya permohonan MB untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri diterima, maka suasana yang tegang dan boleh menuju kepada satu krisis perlembagaan boleh dielakkan.

Pembubaran Dun akan membuka ruang kepada rakyat untuk membuat pilihan mereka menerusi satu pilihan raya yang menyeluruh di negeri Perak.

Saya juga ingin meminta kepada seluruh rakyat di negeri Perak khususnya dan seluruh ahli dan penyokong kerajaan Pakatan Rakyat di seluruh negara secara amnya supaya bertenang dan tidak terjebak dalam perangkap provokasi yang mungkin ditimbulkan oleh pihak-pihak tertentu.

Kecoh besar bantah MB baru Perak

Suasana kecoh lebih sejam depan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar angkara bantahan ribuan penyokong Pakatan Rakyat terhadap menteri besar baru Perak memaksa polis melepaskan gas pemedih mata berkali-kali.

perak bn takeover protest mosque tear gas attack incident kuala kangsar rally 060209 22Sebahagian daripada 3,000 penunjuk perasaan itu membaling objek ke arah kenderaan-kenderaan rasmi pemimpin BN yang menuju ke Istana Iskandariah, tempat berlangsung majlis angkat sumpah Datuk Dr Zambry Abd Kadir.

Mereka juga berbaring di atas jalan, cuba menghalang kenderaan-kenderaan berkenaan.

Perhimpunan yang turut disertai penyokong wanita itu diadakan sejurus selepas solat Jumaat itu kira-kira 2.15 petang tadi dengan merempuh halangan polis di pintu depan luar kawasan masjid.

Mereka cuba berarak ke istana itu tetapi segera dihalang polis dengan melepaskan gas pemedih mata bagi kali pertama sehingga memaksa kumpulan penunjuk perasaan itu berundur ke kawasan masjid.

perak bn takeover protest mosque tear gas attack incident kuala kangsar rally 060209 21Suasana tidak menentu antara penyokong kerajaan pimpinan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin itu dengan polis memaksa pihak berwajib melepaskan lagi gas-gas pemedih mata sehingga kawasan itu diliputi asap tebal.

Kawasan perkarangan masjid dan kediaman-kediaman berdekatan tempat ibadat itu turut terkena sasaran tembakan gas pemedih mata.

Bagaimanapun tindakan polis itu gagal melemahkan semangat penyokong Pakatan Rakyat sehingga memaksa dua pemimpin PAS, termasuk pembantu Mohamad Nizar, menyeru mereka bersurai.

Kedua-duanya menyeru para penyokong Pakatan pada jam 3.30 petang dan setengah jam kemudian, termasuk dari atas kenderaan polis bagi meredakan baki 2,000 mereka yang kecewa dengan tindakan BN menumbangkan kerajaan campuran di Perak.perak bn takeover protest mosque tear gas attack incident kuala kangsar rally 060209 28

Beberapa ratus orang terus tinggal berdekatan masjid menunggu kenderaan-kenderaan rasmi itu melalui jalan tersebut selepas acara angkat sumpah yang selesai kira-kira 4.30 petang.

Mereka mengboo setiap kali kenderaan itu melepasi depan masjid sebagai lambang kemarahan luar biasa susulan drama mencemaskan peralihan kuasa di Perak kepada BN melalui lompat parti.

Ahad, 1 Februari 2009

Anak saudara presiden PAS maut rempuh kereta polis

Seorang lelaki maut setelah motosikal yang ditungganginya merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda polis dalam satu kemalangan di Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.40 pagi semalam, mangsa Abdul Qahar Mansor, 23, yang merupakan anak saudara kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dari Rusila, Marang meninggal dunia di tempat kejadian berikutan kecederaan serius di leher dan kepala.

Menurut Bernama hari ini, ketua polis negeri Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggangi mangsa merempuh Honda CRV milik polis dari Bukit Aman yang ketika itu sedang keluar dari bahu kiri jalan arah Kuala Ibai menuju Kuala Terengganu.

"Mangsa yang bekerja sebagai buruh kilang batu bata dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu merempuh bahagian tepi sebelah kanan kenderaan pacuan empat roda itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan serius sebelum meninggal di tempat kejadian," katanya kepada agensi berita itu.

Berikutan kejadian, anggota polis berkenaan yang datang ke sini atas tugasan rasmi membawa seorang pegawai kanan polis membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Gerakan anti-PPSMI julung kali ke jalan

Kempen memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) meningkatkan tahap bantahannya hari ini dengan melangkah ke tahap baru - berhimpun di jalan raya.

Perhimpunan julung-julung kali itu dilancarkan petang ini di perkarangan pusat membeli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman - simbol lazim siri bantahan era reformasi 1998.

Bagaimanapun, hasrat penganjurnya Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) untuk mengumpulkan 500 pencinta bahasa tidak tercapai walaupun kelibat beberapa tokoh terkenal bahasa dan sastera dalam program itu menyelamatkan keadaan.

gmp protest 310108 crowdProgram itu hanya dikerumuni kira-kira seratus orang yang lalu-lalang bagi membeli-belah di kompleks popular itu.

Perhimpunan itu bermula dalam keadaan hujan renyai-renyai yang turun sejak jam 1 tengah hari lagi.

Bagaimanapun ia berakhir tanpa sebarang masalah dengan polis, walaupun permohonan permit berhimpun tidak dibuat.

Malaysiakini difahamkan penganjur hanya memaklumkan secara bertulis kepada polis berhubung program berkenaan.

gmp protest 310108 samad saidSasterawan Negara, Datuk A Samad Said yang sebelum ini berteka-teki tentang kehadiran beliau akhirnya muncul buat pertama kali dalam program sebegitu.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan sebarang kenyataan kepada media, sebaliknya hanya bergambar sambil memegang sepanduk kecil bertulis "Jangan bunuh bahasa ibunda".

Beberapa tokoh utama bahasa seperti penyair Dinsman, bekas profesor bahasa Dr Abdullah Hassan dan bekas profesor falsafah sains Dr Shahrir Md Zain serta penulis Ainon Mohd turut serta seperti dijadualkan.

Penyair popular Pyanhabib, ahli jawantkuasa Persatuan Penulis Nasional (Pena) Ibrahim Ghaffar dan aktivis popular teater Khalid Salleh turut hadir.

Bercakap kepada Malaysiakini selepas acara pelancaran itu, Khalid berkata hari ini ramai aktivis bahasa yang tidak pernah muncul dalam program seumpama itu tampil buat kali pertama menyatakan bantahan mereka kerana keadaan "sudah terdesak sangat".

Tambahnya, bukan sahaja bahasa, tetapi dalam pelbagai segi hak-hak orang Melayu mulai terhakis.

Khalid mendakwa selama tujuh tahun apabila PPSMI diperkenalkan, orang tidak turun memprotes kerana "orang tidak ada asas budaya dan bahasa".

Pemimpin politik yang kelihatan termasuklah ketua penerangan PKR Tian Chua, ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Md Akin dan ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamad.

Majlis bermula kira-kira 2.45 petang, kira-kira 15 minit lebih awal daripada yang dijadualkan.

gmp protest 310108 photo sessionPengerusi jawatankuasa induk GMP Datuk Dr Hassan Ahmad memberikan ucapan ringkas kira-kira lima limit sebelum melancarkan kempen berkenaan.

Tindakan itu menyebabkan sebahagian daripada kira-kira 30 yang hadir terlepas sidang akhbar yang diadakan sejurus selepas pelancaran itu.

Program yang kelihatan tidak tersusun itu menyebabkan orang ramai yang hadir terpinga-pinga dan tidak terarah, termasuk wartawan yang berkeliaran mendapat komen daripada beberapa tokoh yang hadir.

Dalam masa yang sama, kita-kira 30 polis berpakaian seragam cuba menyuraikan keadaan.

Kumpulan tokoh bahasa dan sastera itu kemudiannya hanya duduk di sebuah restoran di hadapan kompleks berkenaan.

Orang ramai dan wartawan mula bersurai kira-kira 4.30 petang.

Majlis pelancaran ini diadakan dalam rangka GMP menganjurkan perhimpunan besar-besaran 7 Mac ini - ala demonstrasi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) pada 2007 - untuk menyerahkan memorandum isu PPSMI kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.