Selasa, 17 Februari 2009

Kapal selam British-Perancis berlanggar

Dua kapal selam nuklear, milik tentera British dan Perancis berlanggar di Laut Atlantik awal bulan ini, lapor akhbar The Sun, United Kingdom (UK) hari ini.

Menurut akhbar tersebut, kedua-dua kapal selam HMS Vanguard dan Le Triomphant rosak dalam kejadian itu tetapi tiada laporan kerosakan terhadap bahagian nuklearnya.

Kapal selam tentera British itu kini ditunda ke pelabuhan Faslane di Scotland untuk dibaik pulih.

Kedua-dua kapal selam berkenaan yang setiap satu membawa kira-kira 250 anak kapal, dilaporkan berada di atas permukaan laut dan dalam misi berbeza ketika berlanggar pada 4 Februari lalu.

Kementerian Pertahanan UK enggan memberi komen mengenai operasi kapal selam berkenaan tetapi jurucakapnya berkata, ''Kami boleh mengesahkan bahawa keupayaan mencegah yang dimiliki UK kekal tidak terjejas pada setiap masa dan keselamatan nuklear juga tidak dikompromi.''

HMS Vanguard adalah satu daripada empat kapal selam nuklear yang dikendalikan oleh tentera British sebagai sebahagian daripada sistem Trident yang sentiasa mengadakan rondaan pencegahan.

Setiap kapal berukuran 150 meter panjang dan 13 meter dalam diameter serta boleh membawa sehingga 48 bom nuklear untuk maksimum 16 peluru berpandu.

Tiada ulasan: