Selasa, 24 Februari 2009

Iktibar pemberontakan Harimau Tamil

Jangan jadi seperti Sri Lanka. Itu antara yang boleh dipelajari daripada penguasaan Pemberontak Harimau Tamil Eelam (LTTE) selama 25 tahun di Sri Lanka. Ini adalah sebuah pertubuhan haram yang memberontak dan membelakangkan undang-undang negara dan mahu merampas kuasa secara ganas.

Oleh sebab tidak ada tindakan drastik untuk memancung pemberontak ini mula-mula dulu, kegagalan itu menyaksikan 25 tahun pemberontak menguasai dan melakukan kezaliman ke atas rakyat.

Ini adalah satu contoh yang boleh diambil iktibar bahawa jangan sama sekali memberi ruang kepada pihak yang melakukan tindakan memberontak sebagai pendekatan mencari penyelesaian.

Sekiranya kerajaan mengambil jalan yang sangat diplomasi, Sri Lanka telah membuktikan kerajaan melakukan penganiayaan ke atas rakyat apabila 25 tahun atau suku abad membiarkan Harimau Tamil ini bermaharajalela.

Harimau Tamil berjaya membina kuasa dan menguasai kawasan seluas 7,000 batu persegi kerana kerajaan Sri Lanka tidak bertindak proaktif membanteras pada peringkat awal lagi. Apabila kumpulan pemberontak ini berakar umbi dan seolah-olah mereka memerintah sebuah kerajaan yang sah, sukarlah untuk menghapuskannya. Berilah alasan apa sekali pun untuk mewajarkan pemberontak mereka, Harimau Tamil adalah pengganas yang mesti dihapuskan.

Lebih malang lagi apabila ada pihak yang menganggap pendekatan perjuangan Harimau Tamil yang ganas itu suatu yang berkesan, maka mereka juga meniru dengan membuat tuntutan yang membelakangkan undang-undang.

Kita perlu banyak mengambil iktibar daripada Sri Lanka yang membiarkan sebuah pertubuhan haram menjadi kumpulan pemberontak hingga berkuasa di sebuah wilayah dalam jangka masa begitu lama.

Tetapi selepas Presiden Mohindra Rajapaksa memegang tampuk kuasa pada 2005, beliau telah melakukan banyak tindakan proaktif untuk menghapuskan Harimau Tamil. Sebelum itu kerajaan kelihatan sangat lemah atau tidak bersungguh-sungguh untuk membanteras Harimau Tamil.

Buktinya pemberontak ini boleh menguasai sebuah wilayah dengan begitu lama. Ini satu kegagalan Sri Lanka dan tidak wajar diulangi oleh negara-negara lain yang mendepani masalah politik yang hampir sama.

Pada 3 Februari lalu, tentera kerajaan mengambil tindakan paling drastik dengan menggempur wilayah yang dikuasai oleh Harimau Tamil menerusi serangan dari udara. Serangan itu memberikan kejayaan yang sangat besar apabila berjaya mengambil semula Mullaittivu yang menjadi kubu kuat Harimau Tamil.

Dalam masa suku abad, inilah kali pertama kerajaan kelihatan serius untuk menghapuskan sebuah kumpulan pemberontak yang mengganas serta memangsakan rakyat. Bayangkan sejak 1983, pemberontak Harimau Tamil telah membunuh lebih 70,000 rakyat yang tidak berdosa.

Hasil daripada serangan paling hebat ini, ketua Harimau Tamil, V. Prabhakaran yang memimpin sejak awal penubuhannya dulu melarikan diri. Ini bermakna pemberontak ini mengalami kekalahan yang paling teruk dan tersebar berita angin kononnya Prabhakaran melarikan diri ke Malaysia.

Kalau benar dia melarikan diri keluar dari Sri Lanka, kenapa memilih Malaysia? Adakah Malaysia sebuah negara yang selamat bagi para pemberontak seperti Prabhakaran? Setakat ini kisah Prabhakaran melarikan diri ke Malaysia tidak ada sebarang bukti tetapi jangan ambil mudah kerana berita begini dengan sendirinya membentuk satu persepsi tentang Malaysia.

Walaupun pemimpin pemberontak itu melarikan diri tetapi saki baki pemberontak yang berada di wilayah berkenaan terus melakukan kekejaman dan membunuh rakyat yang mahu menyeberangi sempadan zon perang ke kawasan yang dikuasai oleh tentera kerajaan.

Setakat ini dianggarkan lebih 250,000 orang awam terperangkap dalam zon perang. Mereka berada dalam keadaan yang sangat berisiko kerana pemberontak Harimau Tamil telah membunuh banyak orang awam yang cuba mendapatkan pertolongan tentera kerajaan.

Harimau Tamil adalah pemberontak pemisah sejak awal 1970-an dulu. Tetapi akhir 1980-an kerana lembapnya kerajaan mengambil tindakan, pemberontak ini menguasai kawasan yang semakin luas terutama di pinggir Timur Laut.

Di Sri Lanka, keturunan Tamil adalah minoriti dan untuk mendapat kuasa memerintah Sri Lanka, wujudlah kumpulan pemisah Harimau Tamil.

Mereka adalah pihak yang bertanggungjawab membunuh beberapa tokoh politik ternama Sri Lanka dan juga India serta menjadi penyokong yang membawa kepada pembunuhan perdana menteri India, Rajiv Gandhi pada 1991. Malah pemberontak ini mendakwa menjadi perintis kepada serangan berani mati.

Ternyata masalah yang dicetuskan oleh pemberontak Harimau Tamil memaksa kerajaan mengeluarkan belanja yang sangat besar untuk memerangi kumpulan ini. Sepatutnya peruntukkan yang besar kepada ketenteraan di Sri Lanka boleh digunakan untuk membangunkan negara dan memberi keselesaan hidup kepada rakyat.

Kini Sri Lanka mempunyai 200,000 anggota tentera iaitu empat kali ganda pada tahun 2000. Tujuannya untuk meningkatkan kekuatan bagi mendepani Harimau Tamil yang dianggap sebuah pertubuhan pemberontak yang begitu terancang serta terlatih.

Mereka mempunyai jaring antarabangsa terutama untuk mendapatkan senjata. Maka untuk membanteras sebuah kumpulan pemberontak yang berakar umbi suku abad bukanlah suatu perkara yang mudah, malah peralatan senjata yang digunakan oleh Harimau Tamil setanding dan sesetengahnya lebih canggih daripada yang digunakan oleh tentera kerajaan.

Pada 2006 FBI menangkap empat lelaki yang menjadi orang tengah penjualan senjata berupa peluru berpandu, pelancar roket serta raifel AK-47 kepada Harimau Tamil. Ini menunjukkan jaringan antarabangsa Harimau Tamil terutama untuk mendapatkan senjata canggih yang menjadi faktor menyukarkan tentera kerajaan melumpuhkan kumpulan pemberontak ini.

Jaringan antarabangsa ini yang meletakkan tentera kerajaan dalam keadaan yang sangat terdesak tambahan pula pembunuhan ke atas orang awam begitu berleluasa.

Maka apa yang boleh dipelajari daripada peristiwa penguasaan Harimau Tamil ini ialah jangan sama sekali memberi peluang kepada mana-mana pihak yang mahu mengambil tindakan yang membelakangkan undang-undang.

Setiap rakyat berhak mendapat jaminan keselamatan dan semua ini hanya boleh didapati sekiranya aspek-aspek keselamatan dilaksanakan tanpa sebarang tolak ansur.

Harimau Tamil telah membuktikan bahawa mereka adalah pengganas yang melakukan kezaliman terhadap rakyat dan pengganas bukanlah pembela rakyat walaupun pada mulanya Harimau Tamil memperjuangkan kedudukan puak minoriti Tamil di Sri Lanka. Sejarah boleh berulang kalau kita tidak berusaha untuk mencipta sejarah baru dan jangan ulangi kegagalan Sri Lanka.

Tiada ulasan: