Sabtu, 7 November 2009

Presiden boneka

Berikut petikan wawancara eksklusif Malaysiakini dengan pensyarah undang-undang Dr Abdul Aziz Bari di pejabatnya di kampus Universiti Islam Antarbangsa pagi ini:

Tentang presiden PAS menggantikan Abdul Hadi

Apa yang saya lihat, ini telahan (saya) saja, (menteri besar Kedah) Datuk Seri Azizan Razak boleh diketengahkan. Dan saya fikir, perkara yang kita tidak harus lupa, PAS ini tidak macam parti lain. Ia ada kekuatannya sendiri. Yang perlu, pemimpin yang faham dan jelas, tidak semestinya karismatik seperti dalam kategori (Datuk Seri) Anwar Ibrahim.

Yang masalahnya, dia (Abdul Hadi) tidak jelas. Dia tidak dapat membaca dan bermain (politik) sepatutnya. Jadi dalam konteks Azizan ini, saya lihat pentadbirannya, caranya menjawab soalan wartawan jauh lebih baik daripada Abdul Hadi. Dia antara tokoh yang boleh diketengahkan walaupun tua sedikit daripada presiden yang ada sekarang.

Tentang Abdul Hadi tidak mempertahankan 'amanatnya'

Kita boleh katakan media tidak memberikan (dia) peluang. Tetapi kita boleh katakan, dia memang tidak mampu mempertahankannya. Kalau dibandingkan dengan (kepintaran) Nik Aziz pun berbeza walaupun media memutarbelitkan (kenyataannya).

Oleh kerana dia ada perwatakan macam magnet dan cakapnya pandai macam orang politik, (hasilnya) lain, dapat juga mesejnya disampaikan. Tetapi Abdul Hadi tidak dapat, itu satu lagi (ciri) dapat dilihat dalam menilai kepimpinan dia.

Tentang peranan Abdul Hadi sebelum reformasi 1998

Sebelum (era) reformasi, dia tidak ada peranan yang penting, naib presiden saja atau timbalan presiden. Jadi, saya rasa isunya sekarang ini, dia seorang timbalan yang bagus. Itu yang selalu disebutkan (pengamat politik) dan (kenyataan) itu saya setuju.

Kalau dia (sebagai) nombor dua, dia seorang yang setia dan dapat melaksanakan apa yang disuruh.

Tetapi kalau letak dia (sebagai) kapten, setakat ini memang jelas tidak dapat. Itu menjelaskan kenapa dia tidak dapat membalas serangan terhadap 'Amanat Hadi' itu. Jadi apabila serangan itu sudah bersifat politik, dia sudah tidak dapat main lagi.

Tentang pengaruh pemimpin PAS Terengganu lain terhadapnya

Itulah watak (kepemimpinan PAS) Terengganu berbanding Kelantan – dengan terbukanya, adventure-nya, dengan keberaniannya, dengan kelainannya, dengan keunikannya. Seolah-olah orang Kelantan ini “Cina Melayu”. Maknanya, watak Cina dalam masyarakat Melayu.

Bukan saya hendak kata, (tetapi pendapat) semua orang, kalau kita bandingkan dengan Nik Aziz, (Abdul Hadi) berbeza. Beliau dapat mempertahankan Kelantan dari tahun 1990. Dan musuhnya bukan kecil-kecil - musuhnya (bekas perdana menteri) Dr Mahathir (Mohamad), musuhnya (waktu itu, timbalan perdana menteri) Anwar pada satu ketika.

Dan pada satu ketika (selepas 2004), dia hanya (bertahan) dengan satu majoriti sahaja (kerusi dalam DUN), tetapi dapat bertahan berbanding dengan Terengganu dan Perak barangkali.

(Keadaan) ini melambangkan kejituan kepimpinan itu. Mengapa? Berbalik kepada (manifesto) parti, setahun lebih kita belum nampak lagi apa itu negara kebajikan yang PAS bawa ini. Apakah (slogan) 'PAS untuk Semua' itu. (Manifesto) itu memerlukan seorang pemimpin yang berwatak ideolog untuk menonjolkan apakah wawasan sebenarnya. (Manifesto) ini tidak dijelaskan.

Jadi isunya, bukan (kemerosotan di) Bagan Pinang (sahaja), isu yang lebih besar lagi, soal kelesuan parti dalam menterjemahkan gimik, slogan dalam wawasan yang ia sendiri bawa.

Tentang kemenangan tipis PAS di Manek Urai

Satu, Manek Urai memang sebelum pilihan raya (itu), ada sedikit kekecohan, (seperti) poster dia tidak dinaikkan atas alasan, di Kelantan ada strategi lokalisai. Tetapi akhirnya naik juga (poster Abdul Hadi). Dan mungkin kita tidak dapat menafikan, (PAS) hampir kalah itu isu jambatan (yang dijanjikan BN).

Rakyat di situ melihat, kalau (PAS) kalah pun tidak mengapa, (sebab) kerajaan (PAS) tidak ada kesan, yang penting dapat jambatan.

Di Bagan Pinang pun banyak lagi. Saya lihat, kalau tidak kena gaya, boleh jadi (pilihan raya kecil) Ijok juga (yang dirampas semula Pakatan), menyebabkan mereka (BN) berfikir, mereka telah menang.

Kalau daripada plihanraya umum sampai sekarang, ahli 100 (orang), tentu ada masalahnya. Seratus ahli (PAS) saja hendak lawan 3,000 (orang). Soalnya sekarang, kenapa (ahli) tidak bertambah selepas pilihan raya umum? Apakah itu tidak ada kaitan dengan imej lembab, imej monyok itu tadi?

Mungkin ada orang kata, di Bagan Pinang ini banyak undi pos. Memang betul, tetapi masalah dengan imej yang seperti ini boleh menarik orang masuk PAS? Dalam keadaan Kelab Penyokong PAS (KPP) masih tidak tahu di mana (nasibnya), itu pun tidak dijelaskan lagi di mana peranan mereka.

(Isu-isu) itu yang cuba hendak ditepis orang (pengikut) Hadi ini. Abdul Hadi tidak memimpin sebenarnya. Dia mengikut kata orang (di sekelilingnya).

Tentang Abdul Hadi sebagai presiden 'boneka'

Susah hendak menafikan begitu. Susah hendak menafikan bahawa beliau adalah boneka.

Dalam sidang akhbar selepas mesyuarat maraton itu (malam 28 Oktober lalu), seolah-olah dia tidak jelas apa yang dicakapkannya. Dan ada (pihak dalam PAS) yang mengatakan, dia bercakap lain daripada (keputusan) mesyuarat. (Keputusan) yang didakwa 75 peratus yang hadir mahukan tindakan diambil kepada Dr Hasan Ali (bukan seluruh PAS negeri).

Ini satu lagi (alasan) yang menunjukkan kepimpinannya tidak jitu.

Dan apa yang nampak di Selangor itu cukup penting dari segi imej. Memang BN hendak menggambarkan Pakatan tidak boleh bekerja, sentiasa hendak bergaduh. Itu tema yang mereka hendak bawa.

Dan Abdul Hadi membenarkan (tema) ini terus berlaku dengan tidak mengambil tindakan kepada Dr Hasan. Dan selepas itu, disebut dalam mesyuarat itu, dia masih mempertahankan (Dr Hasan). Dia masih menyebut (siasat PAS) Selangor, Selangor, Selangor, tanpa menyebut Dr Hasan. Kenapa?

Tentang penguasaan kumpulan Abdul Hadi dalam pemilihan PAS

Kalau dilihat daripada (segi) undi, mereka (penentang Nasharudin Mat Isa) menang sebenarnya. Tetapi saya tidak pasti kalau pemilihan sekali lagi, Nasharudin boleh menang. Sebelum ini pun ditimbulkan bahawa YB (Nasharuddin) tewas kalau digabungkan dua pilihan lain (Mohamad Sabu dan Datuk Husam Musa) yang sebenarnya sama (kuat) itu.

Tentang kerajaan perpaduan sebagai 'umpan' Umno

Kerajaan perpaduan ini umpan Umno kepada PAS yang dimakan Abdul Hadi, Nasharudin dan kawan-kawannya, yang tidak dimakan orang yang cerdik seperti Nik Aziz. Ahli tidak sokong. Tetapi mereka berterusan (ke arahnya).

Walaupun tidak lagi bercakap soal perpaduan, tetapi masih lagi (bercakap) soal Melayu Islam – isu yang sebenarnya tidak relevan sekarang. Umno tidak melakukan apa-apa pun untuk Islam dan Melayu, sebenarnya.

Kemudian, barangkali ini bukan soal umpan daripada Umno, tetapi soal ketidakmampuan Abdul Hadi dan kumpulanya bermain dalam politik baru yang mengetengahkan idea, (seperti) yang cuba dibawa "kumpulan Erdogan".

Mereka tidak dapat main. Jadi mereka lanyak kumpulan ini sebagai macai Anwar Ibrahim, sebagai golongan liberal, sekular dan sebagainya yang menguntungkan Umno.

Tentang Abdul Hadi 'cemburu' pada Anwar

Persepsi kecemburuan itu memang tidak dapat ditolak. Memang sukar hendak dinafikan, terutamanya kalau kita lihat semula muktamar di Ipoh tahun lalu di mana Abdul Hadi menyebut betapa PAS mempunyai banyak kerusi DUN, betapa PAS (lebih) besar dan sebagainya (berbanding PKR atau DAP).

Sepatunya sentimen itu (dimainkan), tetapi dalam menentukan perdana menteri dan sebagainya, itu bukan soal utama. Soalnya siapa yang boleh menjadi gam (yang mengikat Pakatan), ikon. Dan Abdul Hadi tidak begitu. Dalam parti pun tidak.

Dan apabila ketua Dewan Ulama mencadangkan nama Abdul Hadi, saya ingat semua orang ketawa tentang kelogikan cadangan itu.

Tetapi kita juga tidak harus lupa bahawasanya sekarang, orang Cina berkata, kalau mereka boleh mengundi, mereka akan undi Nik Aziz sebagai perdana menteri.

Khamis, 5 November 2009

Mencari motif sebenar penahanan Dr Asri dan cabaran buat Dr Hasan Ali

Malam Ahad lalu saya agak uzur dan tertidur awal. Walaupun telefon bimbit diletakkan di bawah bantal, SMS wartawan Harakahdaily, Azamin Amin, lebih kurang jam 12 tengah malam gagal mengejutkan saya. Sehinggalah saya terjaga bila terdengar isyarat SMS kedua Azamin, sekitar jam 4 pagi, membawa berita yang esoknya menggemparkan negara: Bekas mufti ditahan kerana mengajar agama tanpa tauliah.

Sebenarnya isu tauliah bukanlah perkara baru. Di Selangor sendiri, pada zaman BN, rasanya ramai tokoh-tokoh pendakwah terkemuka juga tidak mendapat tauliah, antaranya Dato' Ishak Baharom, bekas Mufti Selangor sendiri. Tokoh-tokoh agama tersohor, termasuk yang pernah terbabit dalam proses pentauliahan kepada pendakwah lain, seperti Ustaz Ismail Kamus dan Dr Haron Din juga tidak terkecuali dilarang mengajar agama di negeri termaju itu.

Malah, rasanya, Mufti Perak, Dato' Seri Harussani Zakaria turut tidak dibenarkan berceramah agama di negeri tertentu.

Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang ditahan JAIS itu memang boleh dianggap tokoh yang sering mencetuskan minat media, terutama selepas dilantik menjadi Mufti Perlis.

Meskipun perwatakan seseorang mufti selalunya jarang diteropong media, namun sosok Dr Asri dilihat berbeza. Banyak ideanya mengundang kontroversi berpanjangan. Khabarnya kolum beliau dalam Mingguan Malaysia diminati bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Pada pagi Isnin, 2 Nov, di Mahkamah Rendah Syariah, Gombak Timur, Marina Mahathir turut memberikan sokongan buat Dr Asri, selain Pengarah Sisters in Islam, Zainah Anwar.

Lebih menarik apabila ada wakil rakyat PAS dan KeADILan bersama Dr Asri, bukan saja di mahkamah pagi itu, tetapi juga semasa kuliahnya.

Serentak itu, banyak persoalan berbangkit. Ramai tertanya-tanya apakah alasan (baca: motif) sebenar Dr Asri ditahan? Pihak JAIS, melalui Pengarahnya, Mohammed Khusrin Munawi memberikan alasan mendatar, iaitu Dr Asri melakukan kesalahan mengajar tanpa tauliah.

Mencurah-curah sanggahan yang mempertikai alasan berkenaan termasuk daripada Perdana Menteri Najib Razak.

"Saya tahu banyak lagi orang yang buat macam-macam ceramah, tak didakwa pula, tetapi bila Dr Asri, dia ditahan," tegas Najib sambil menekankan penahanan itu dibuat oleh kerajaan negeri dan tiada kena mengena dengan kerajaan pusat.

Mungkin Najib, yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Selangpr, sudah dapat menelah bahawa ada tuduhan tangan-tangan ghaib yang mendalangi penangkapan itu akan dilemparkan kepada Umno.

Bukankah Umno sentiasa cuba mencari jalan pintas menawan negeri itu atau sekurang-kurangnya untuk memburuk-burukkan pemerintahan Pakatan Rakyat Selangor? Sukar diterima akal bahawa tiada motif terselindung di sebalik operasi penangkapan yang mengejutkan itu, malah ada pihak yang begitu gemar mengaitkannya dengan teori konspirasi. Dan mereka tentu ada alasan tersendiri.

"Cuma yang peliknya, kenapa Umno bersungguh-sungguh membantah dakwaan terhadap Dr Asri," kata Naib Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man. Beliau menjangkakan jika hal sama berlaku di negeri bukan Pakatan, misalnya Johor, mungkin kenyataan yang dikeluarkan Umno berbeza. Sedangkan, tambahnya, sikap PAS sentiasa konsisten dalam hal 'mengajar tanpa tauliah' ini. Kata Tuan Ibrahim, mana-mana tokoh agama sepatutnya mempunyai autoriti atau hak dan tidak perlu tauliah daripada Jabatan Agama untuk menyampai kuliah atau ceramah.

Ada juga yang menghubungkan peristiwa tangkapan itu dengan memorandum bantahan kepada Yang di-Pertuan Agong oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia, pada 30 Oktober lalu agar baginda menarik balik perlantikan Dr Asri sebagai Yang Dipertua Yadim.

Dr Asri, menurut kandungan memorandum itu, didakwa sentiasa bertentangan pandangan dengan para ulama dan mufti negeri-negeri lain. Semasa menjadi Mufti Perlis, beliau didakwa kerap kali membelakangkan pandangan jawatankuasa Mufti Kebangsaan dan "sentiasa lari dari berdialog secara tertutup dan beradab, sebaliknya mencari populariti di media".

Dr Asri turut dituduh tidak mengiktiraf iktikad ahli sunnah wal jamaah dari empat mazhab fiqh. Beliau bagaimanapun menafikan tuduhan itu.

Memorandum yang turut disokong 13 NGO Muslim itu juga mendakwa, "sebagai seorang yang terlalu muda serta gagal menghayati budaya adab sopan umat Ialam di Malaysia, Dr Asri lebih banyak mengundang kontroversi dan merupakan seorang yang keras, ekstrim serta tidak dapat menerima teguran, pandangan dan kritikan orang lain". Namun, ramai terkejut apabila mendapat tahu bahawa antara NGO terbabit adalah ABIM, Persatuan Alumni Kolej Islam, JIM, Persatuan Ulamak Malaysia, Persatuan Ulamak Kedah dan Teras.

"Tidak semestinya NGO yang menyokong memorandum itu bersetuju dengan tangkapan JAIS," kata seorang pemimpin sebuah badan Islam, "ia isu berbeza sama sekali, malah mungkin ada pemimpin NGO tersebut tidak membaca sepenuhnya kandungan memo berkenaan. Tapi, yang lebih penting, perbezaan pendapat dan pendekatan dalam hal agama mesti diselesaikan secara bijaksana, bukannya tangkap dan dakwa di mahkamah."

Hampir semua SMS dan emel yang saya terima mempunyai nada hampir sama, dan membantah keras penahanan Dr Asri tetapi turut mengaitkannya dengan tangan-tangan ghaib kuasa politik. Mereka menjangkakan ada motif lain yang lebih besar dan tidak percaya JAIS bertindak atas pertimbangan sendiri hanya atas alasan "tiada tauliah".

Dalam pada itu, Presiden JIM (salah satu pertubuhan yang menyokong memorandum Dr Asri tidak dilantik Yang Dipertua Yadim), Zaid Kamarudin mencadangkan agar JAIS mengambil ksempatan daripada krisis keyakinan terhadapnya ekoran penahanan Dr Asri untuk meneliti semula enakmen-enakmen pentadbirannya. Selain menyuarakan rasa terkejut di atas cara tangkapan yang mengaibkan, Zaid menegaskan: "JIM berharap JAIS akan bersikap amanah, jujur dan profesional dalam melaksanakan siasatan yang bebas, adil dan telus ke atas Dr Asri. Pemeliharaan keadilan dan hak asasi serta karamah insan haruslah menjadi pegangan."

Semasa ramai mempertikai kebijaksanaan JAIS menangani isu ini, timbul saranan agar proses pentauliahan di negeri-negeri Pakatan Rakyat dikaji semula. Penguat kuasa pula usah bertindak sembrono semata-mata atas alasan menurut undang-undang.

Apa pun, bukan segalanya buruk buat JAIS. Bulan puasa lalu mengingatkan kita betapa meriah dan kudusnya penghayatan Ramadan di Selangor, begitu juga dengan majlis tazkirah, tadarus, kuliah-kuliah agama dan khutbah Jumaat. Begitu ramai tokoh agama yang selama ini tersisih dapat menyumbang ilmu mereka di Darul Ehsan ini.

Exco Agama, Dr Hasan Ali, yang menjadi perhatian (dan sasaran) utama menjelang seminar khas PAS 7 Nov, pastinya terbeban dengan isu ini. Banyak soalan yang perlu dijawabnya sendiri. Orang ramai tidak mahu mendengar penjelasan Pengarah JAIS. Mahu tidak mahu ia sudah menjadi isu politik dan orang politik seperti Dr Hasan sajalah boleh menjernihkannya walaupun kuasa dalam hal agama ini pun banyak sekatannya.

Pakatan Rakyat harus 'memanfaatkan' isu ini bagi memperkukuh gabungan, begitu juga PAS, dan jangan pula ia tambah mengusutkannya dengan menjadikan isu ini untuk mengeruhkan lagi keadaan dalaman parti.

Diakui Dr Hasan memang dalam keadaan sukar, terutama menguruskan karenah JAIS yang khabarnya masih "menjadi lubuk Umno", di samping menjaga sensitiviti pihak istana. Bagaimanapun, krisis selalunya akan mempamerkan kehebatan seseorang tokoh dalam mengendalikan konflik berbangkit dan ini satu cabaran buat Pesuruhjaya PAS Selangor itu.

'Krisis' agama rugikan umat

MELIHAT kepada apa yang berlaku antara Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan bekas Mufti Negeri Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin, boleh disimpulkan sebagai isu yang amat membimbangkan.

Sebabnya, polemik ini menambah sengsara umat Islam atau pun orang Melayu. Episod Melayu berpecah akibat perbezaan fahaman politik belum pun selesai, kini kita berhadapan dengan 'krisis' dalam bab agama.

Entahlah, apa lagi yang boleh menjadi 'payung' kepada umat Islam, kalau dalam bab agama yang suci ini pun kita bercelaru.

Dalam hal ini, yang pastinya gawat dan keliru adalah orang awam. Demikian juga golongan yang sedang 'mencari' agama melalui pengajian bukan secara formal di masjid, surau dan sebagainya.

Apa pun isunya, kegawatan ini perlu segera diselesaikan agar umat Islam tidak keliru sehingga membawa kepada perpecahan dan menjadikan umat Islam makin lemah.

Ingatlah firman Allah SWT: "Taatlah kamu kepada Allah dan Rasulnya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati, sesungguhnya Allah berserta orang yang sabar." (al-Anfaal: 46).

Pada masa yang sama, kita harus berlaku adil kepada JAIS dalam penguatkuasaan tauliah kepada penceramah agama di Selangor.

Yang pasti, tauliah itu berniat baik. Ia bagi memastikan penceramah berlandaskan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dan bersandarkan kepada mazhab Imam Syafie.

Ini bertepatan dengan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 Mac 1996, Sidang Majlis Keselamatan Negara pada 17 Oktober 1996 dan mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan Hal Ehwal Islam Malaysia Ke 27 pada 24 Jun 1997. Kesemua itu memutuskan bahawa hanya akidah ASWJ menjadi pegangan umat Islam di Malaysia. Mana-mana ajaran yang bercanggah dengan fahaman dan amalan ASWJ dilarang dan disekat penyebarannya.

ASWJ berpegang kepada empat sumber utama hukum dalam Islam iaitu al-Quran, sunnah, ijmak ulama dan qias. Pegangan tauhid di atas jalan Imam Abu Hassan al-Asyaari atau disebut fahaman al-Asya'irah.

Walaupun mazhab utama yang diamalkan adalah mengikut Imam Syafie tetapi penggunaan mazhab lain seperti Imam Hambali, Hanafi dan Maliki turut dibenarkan dalam keadaan tertentu.

Ini terkandung dalam Perkara 54 qaul muktamad yang diikuti dalam mengeluarkan fatwa dalam Undang-undang Negeri Selangor, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) 2003.

Dalam mengeluarkan apa-apa fatwa di bawah Seksyen 48 atau memperakukan apa-apa pendapat di bawah Seksyen 53, Jawatankuasa Fatwa hendaklah pada lazimnya mengikut qaul muktamad Mazhab Shafie.

Bagaimanapun, jika berpendapat dengan mengikut qaul muktamad Mazhab Syafie suatu keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam akan terhasil, Jawatankuasa Fatwa boleh mengikut qaul muktamad Mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali.

Perkara berkaitan tauliah ini pula adalah di bawah perkenan Duli Yang Mulia Sultan sebagai Ketua Agama atau ulil amri negeri masing-masing. Dengan kata lain, mematuhi arahan tersebut juga bermakna kita mematuhi arahan pemerintah.

Dalam aspek yang lain, kita juga tidak mahu tradisi menuntut ilmu agama secara informal ini terbantut akibat 'krisis' yang berlaku ini.

Semenangnya, pengajian agama di Malaysia terutama di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur kini semakin mendapat perhatian umat Islam.

Kuliah-kuliah sama ada pada waktu zuhur, maghrib, duha dan subuh Ahad sentiasa dipenuhi oleh para jemaah yang dahagakan ilmu.

Di sinilah pentingnya penceramah yang bertauliah supaya ilmu yang disampaikan itu bertepatan dan tidak bercanggah dengan ASWJ dan mazhab Syafie yang dominan di negara kita.

Kebimbangan paling besar adalah jika berlaku penyelewengan akidah terutama di kalangan mereka yang bergelar 'ustaz dan ustazah'. Sebabnya, penyelewengan oleh golongan 'agama' lebih buruk kesannya terhadap akidah dan amalan masyarakat berbanding kerosakan yang berlaku jika ia disampaikan oleh golongan bukan agamawan.

Pada masa yang sama, sebahagian besar jemaah yang mengikuti kuliah di masjid dan surau adalah orang awam. Justeru adalah penting memastikan kuliah tersebut mematuhi ASWJ terutama dalam membicarakan hal berkaitan ilmu tauhid.

Sehubungan itu, ada baiknya diadakan muzakarah atau seminar bagi menjelaskan kepada masyarakat awam di negara kita apakah itu fahaman ASWJ dan bentuk fahaman lain yang perlu ditolak.

Jangan dibiarkan masyarakat awam terus tertanya-tanya dan keliru apakah ajaran Islam sebenarnya yang perlu mereka ikuti.

Negara mempunyai ramai ulama dan cendekiawan Islam yang mampu merungkaikan permasalahan ini supaya isu ini tidak lagi menjadi barah dalam masyarakat.

Kita tidak mahu hanya gah pada bilangan atau kuantiti umat Islam sahaja tetapi tidak ada kualiti. Lihatlah apa yang berlaku kepada umat Islam di Palestin yang diganyang oleh zionis tetapi kita hanya mampu 'memandang'.

Jumlah umat Islam yang berbilion di seluruh dunia tidak cukup menggerunkan musuh-musuh Islam. Inilah yang digambarkan melalui hadis Nabi SAW: "Hampir tiba masanya kamu akan diserbu oleh bangsa-bangsa lain, sebagaimana orang-orang lapar mengadap hidangan di dalam jamuan". Sahabat bertanya, "apakah semua itu berlaku disebabkan oleh jumlah kami yang sedikit?"

Rasulullah SAW menjawab: "Bahkan ketika itu jumlah kamu amat ramai, tetapi ramainya kamu tidak lebih dari seumpama buih di permukaan banjir. Allah akan mencabut dari hati musuh-musuh kamu rasa gerun mereka terhadap dirimu, dan dimasukkan ke hatimu penyakit al-wahan". Seorang sahabat bertanya, "Ya Rasulullah, apakah al-wahan itu?" Jawab Rasulullah SAW: "Al-wahan ialah cinta dunia dan takut menghadapi maut." (riwayat Abu Daud daripada Sauban).