DRAMA perisikan dan pembunuhan terancang yang berlaku di Dubai pada Januari lepas, ia sama sekali tidak memenuhi kategori filem James Bond era Roger Moore, Sean Connery dan Pierce Brosnan yang penulis anggap sebagai era pesona.
Ini kerana agensi perisikan yang menjadi perhatian bukan M-I6 British tetapi Mossad Israel. Mungkin dari segi mencapai sasaran, ia lebih kepada kategori James Bond era Daniel Craig - bunuh dulu, jawab kemudian.
Tetapi apabila pihak berkuasa Emiriyah Arab Bersatu (UAE) berhasil membongkar tindakan ganas 27 suspek Israel, Mossad dituduh sebagai dalang yang bertanggungjawab membunuh komander sayap tentera Hamas, Mahmoud al-Mabhuh oleh ejen-ejen Zionis itu. Menurut polis Dubai, pembunuh al-Mabhuh memasuki bilik hotelnya di mana komander Palestin itu diseksa dan disoal siasat menggunakan elektrik. Beliau mati dipercayai akibat suntikan racun ke saluran sarafnya.
Walaupun sukar untuk mengaitkan pembabitan mana-mana pihak dalam pembunuhan terancang berprofil tinggi itu, UAE ada alasan untuk mempercayai bahawa ia memang kerja Mossad.
Faktor pertama, Hamas yang merupakan entiti pejuang Palestin adalah seteru utama Israel yang menjajah tanah air Palestin. Al-Mabhuh yang merupakan antara pemimpin kanan Hamas, secara automatik termasuk dalam senarai individu paling dikehendaki Israel.
Faktor kedua, yang agak penting dan menonjolkan kecekapan agensi perisikan UAE sendiri adalah bukti video di hotel dan lapangan terbang serta pasport palsu yang digunakan oleh skuad pembunuh berkenaan. Pasport tersebut sebenarnya milik enam warga sebenar British yang telah diklon, lima pasport milik rakyat Ireland yang menggunakan data sahih daripada individu yang masih hidup, pasport Australia, satu pasport Jerman yang didapati tulen dan satu pasport palsu dari Perancis.
Berikutan pendedahan itu, pemilik sebenar identiti yang digunakan oleh skuad pembunuh itu kini hidup dalam ketakutan. Pada masa yang sama, Hamas telah berikrar untuk membalas dendam atas kematian komander tertinggi mereka. Akibat pendedahan itu juga, Israel dikecam oleh masyarakat antarabangsa, termasuk rakan-rakan karibnya di Barat. Minggu lalu, Britain mengusir diplomat Israel yang dikenal pasti sebagai ketua Mossad di negara itu. Ia sesuatu yang amat memalukan Israel.
Mossad adalah singkatan daripada perkataan Yahudi bermaksud Institut Perisikan dan Operasi Khas .
Seperti agensi perisikan lain, Mossad berperanan mengumpul data perisikan dan melakukan operasi rahsia seperti melakukan sabotaj, memburu musuh nyata dan terlindung Israel serta menghalang mana-mana negara atau kumpulan memperoleh senjata bertujuan menyerang Israel.
Mossad adalah entiti utama dalam kelompok perisikan Israel yang turut merangkumi Aman (sayap perisikan tentera) dan Shin Bet (keselamatan dalam negeri), manakala pengarahnya tidak menjawab kepada Knesset (Parlimen Israel), sebaliknya hanya kepada Perdana Menteri.
Keupayaan Mossad diiktiraf sebagai sebuah agensi perisikan yang menggerunkan selepas berjaya mengesan dan memburu pejuang-pejuang Palestin yang terlibat dalam kejadian membunuh atlet Israel semasa Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman. Dalam kejadian itu, 11 atlet ditawan dan dibunuh oleh kumpulan yang menggelarkan diri mereka Black September Organisation.
Dalam kebanyakan dokumen dan tulisan, kerajaan Yahudi yang dipimpin Golda Meir dilapor telah mengarahkan Mossad untuk melaksanakan tindakan balas dengan membunuh kesemua mereka yang terlibat. Maka Operasi Bayonet dilancarkan.
Pada Julai 1973, dalam 'peristiwa Lillehammer', enam ejen Mossad ditahan atas tuduhan membunuh Ahmed Bouchiki, seorang warga Maghribi yang disangka mereka Ali Hassan Salameh iaitu ketua Black September. Kejadian itu memalukan Mossad.
Baru-baru ini, Abu Daoud iaitu individu yang didakwa sebagai perancang utama penculikan dan pembunuhan di Munich menafikan pejuang Palestin yang dibunuh oleh Mossad itu mempunyai kaitan dengan operasi Munich. Cubaan Mossad untuk membunuh Abu Daoud juga tidak kesampaian, yang masih hidup sehingga sekarang.
Kesanggupan Mossad untuk melakukan operasi pembunuhan sememangnya satu fakta yang telah banyak didokumentasikan, malah difilemkan termasuk filem Munich yang mengisahkan perihal skuad pembunuh yang memburu anggota Black September Organisation.
Pada hari ini, sasaran utama Mossad adalah Hamas. Sejak tahun 2000, kira- kira 13 pegawai tinggi Hamas telah dibunuh oleh Israel. Mereka termasuk Ahmed Yassin iaitu pengasas bersama Hamas yang ditembak menggunakan helikopter Apache Israel di Tebing Gaza pada 22 Mac 2004. Penggantinya, Abdel Aziz al-Rantissi pula tumpas pada 17 April 2004. Seorang lagi pemimpin kanan Hamas, Nizar Rayan mati syahid bersama empat isterinya dan 11 anaknya dalam serangan udara Yahudi pada 1 Januari 2009.
Jadi, apabila ada pihak mahu mempertikaikan rumusan yang dibuat oleh pihak berkuasa UAE bahawa Mossad membunuh al-Mabhuh, inilah rekod pembunuhan terancang oleh rejim Zionis. Mossad mungkin cekap tetapi sekarang mereka bukan halimunan lagi. Yang jelas, modus operandi mereka adalah sama dengan entiti pengganas yang lain.