Sabtu, 1 November 2008

betulkah Najib kemut 5 billion??

Hari ini telah dipastikan bahawa sistem ekonomi kapitalis neoliberal telah berakhir. Krisis ekonomi yang melanda sistem kapitalis neoliberal ini sedang nazak. Secara bengong, hanya Najib Razak sahaja yang cuba menafikannya dan berkata Malaysia “terselamat.”

Dasar Ekonomi Bengong (DEB) ini akan membawa mudarat yang amat sangat kepada orang ramai. Justeru, mari kita memahami dasar ekonomi Najib ini.

Dua hari sebelum meninggalkan Kementerian Pertahanan, Najib telah menandatangani perjanjian membeli Eurocopter. Helikopter ini berharga RM2 bilion. Brazil telah membeli helikopter yang sama dengan harga 1 bilion ringgit. Apakah Malaysia ditipu 1 bilion ringgit?

Jawabnya - tidak. Harga helikopter ini sama. Tidak berubah-ubah. Tukang buat dan tukang jual ini tidak menipu. Kita rakyat Malaysia yang kena tipu oleh Najib. Harga ini telah ‘dinaikkan’. Yang membayar nanti kita semua kerana yang membeli helikopter ini kerajaan.

Kerajaan itu orang ramai. Orang ramai itu kita semua.

Cara “menipu” ini samalah seperti cara Najib membeli jet pejuang Sukhoi (Rusia) dan kapal selam Scorpene (Perancis). Yang berbeza kali ini hanyalah tidak ada perterjemah cun dari Mongolia. Juga kali ini bukan syarikat perunding Razak Baginda yang menjalankan urus jual-beli.

Berita masih belum jelas syarikat kroni mana pula yang mendapat komisen 1 bilion ringgit membeli Eurocopter ini.

Dari mana agaknya duit-duit ini akan datang? Apakah duit ini juga datang dari punca yang sama? Dalam suasana gawat ini banyak persoalan timbul kenapa beli helikopter?

Pertanyaan ini terjawab pantas. Belum pun satu bulan menjadi menteri kewangan, Najib telah “melarikan 5 bilion ringgit” duit KWSP. Duit ini ialah duit simpanan kaum buruh dan kaum pekerja. Duit KWSP adalah duit simpanan yang wajib disimpan oleh semua pekerja.

Majikan juga diwajibkan menyumbang dalam dana KWSP. Duit KWSP ini untuk kegunaan di hari tua – sebagai pencen atau untuk diambil membuat rumah, pergi naik haji dan sebagainya.

Menurut DEB Najib, duit 5 bilion ringgit ini akan disalurkan kepada syarikat ValueCap Sdn Bhd. Penyaluran duit KWSP ini bertujuan menaikkan harga nilai saham syarikat-syarikat yang dianggap “jatuh nilai”.

Persoalan timbul - nilai saham ini rendah kerana orang ramai tidak yakin terhadap syarikat-syarikat ini. Memasukkan duit ke dalam syarikat ini tidak akan membawa apa-apa keuntungan. Untuk sementara waktu, kemungkinan nilai saham syarikat ini akan naik tetapi akhirnya akan jatuh terlingkup juga.

Apabila saham ini mendapat suntikan 5 bilion ringgit, maka nilai sahamnya naik. Apabila nilainya naik, maka makin ramai tuan empunya saham akan menjualkan saham mereka kerana ekonomi sedang gawat. Apabila saham banyak terjual, maka nilai saham ini akan jatuh kembali.

Hanya orang bengong sahaja yang tidak faham bagaimana spekulasi bergerak pantas di bursa saham Kuala Lumpur. Lima bilion ringgit ini akan dicekup oleh pemodal besar terutama dari luar negara.

Dalam masa yang singkat 5 bilion ringgit ini pasti akan hangus. Lima bilion ringgit ini adalah duit kita semua yang diperjudikan di Bursa Malaysia oleh Najib.

Lihat pula ekonomi kita. Harga bahan bakar petroleum telah jatuh. Ketika artikel ini ditulis, harga setong minyak mentah 62 dolar. Untuk mengeluarkan minyak dari perut laut, Petronas memerlukan 60 dolar. Ertinya, dalam satu tong kita hanya untung 2 dolar. Jika harga minyak jatuh lagi maka tidak berbaloi Petronas mengeluarkan minyak.

Lihat pula harga kelapa sawit. Harganya juga jatuh. Pada ketika ini harga setan minyak sawit kurang lebih 1,500 ringgit. Perbelanjaan mendapat setan minyak sawit dianggarkan antara 1,200 ke 1,700 ringgit. Dalam masa yang tidak lama kos pengeluaran – baja, buruh, pengangkutan – lebih tinggi daripada pendapatan.

Justeru, kerana menyedari semua ini Pakatan Rakyat meminta agar Belanjawan 2009 disemak kembali. Belanjawan yang dibentangkan di Parlimen sekarang berdasarkan harga minyak yang melebihi 100 dolar setong dan harga sawit hampir 3,000 ringgit setan.

Pendapatan negara yang dijadikan asas Belanjawan 2009 bergantung kepada hasil petroleum dan minyak sawit. Jika harga dua bahan eksport utama negara kita jatuh, ertinya pendapatan negara jatuh. Justeru Belanjawan 2009 wajib dikaji semula.

Najib yang menjalankan DEB (Dasar Ekonomi Bengong) telah menolak permintaan Pakatan Rakyat di Parlimen. Apa yang dilakukan oleh Najib ialah “melarikan duit KWSP.”

Selama lebih 30 tahun sistem ekonomi kapitalis neoliberal diperkenalkan oleh Amerika Syarikat. Kapitalis neoliberal bermakna “apa yang boleh jual akan dijual, apa yang boleh beli dibeli”.

Sistem ini mengetepikan peranan daulah. Kerajaan tidak dibenarkan memiliki hospital, sekolah dan universiti, janakuasa elektrik, sistem pengangkutan, air atau menyediakan subsidi untuk orang ramai.

Menurut falsafah neoliberal, jika kerajaan campur tangan, maka sistem ekonomi akan cacat.

Justeru gerombolan United Malays National Organistion telah turut mengamalkan sistem kapitalis neoliberal. Hasilnya – lembaga elektrik dijual pada kroni, lembaga agihan air dijual pada kroni, jalan raya dijual pada kroni, hospital dijual pada kroni.

Siapa kroni ini ? Mereka anak-beranak dan kaum keluarga gerombolan United Malays National Organisation.

Untuk menipu rakyat, maka gerombolan United Malays National Organisation mengatakan bahawa ini adalah Dasar Ekonomi Baru untuk menolong orang Melayu. Apabila ada kritikan muncul, maka gerombolan ini akan berselindung bawah Perlembagaan Persekutuan dan hak keistimewaan Melayu.

Jika kritikan datang daripada bukan Melayu, maka mereka akan mengatakan bahawa bukan Melayu tidak ada hak untuk membincangkan hak keistimewaan Melayu. Gerombolan ini akan mengancam mereka dengan tindakan undang-undang.

Tingkah laku dan perangai gerombolan United Malays National Organisation ini samalah seperti satu gerombolan perompak – selepas melakukan rompakan, mereka berselindung di masjid, kuil atau gereja.

Beginilah taktik yang telah dilakukan oleh gerombolan United Malays National Organisation berulang-ulang kali.

DEB Najib ini akan membawa mudarat yang maha besar kepada kita semua – Melayu dan bukan Melayu. Ekonomi kapitalis tidak pernah kenal kamu beragama apa, kamu berbangsa apa atau kamu bersembahyang di mana.

Apabila ekonomi kuncup, yang terpukul tenat ialah kelas bawahan – kaum pekerja, kaum buruh, kaum tani dan nelayan dipukul hebat. Ramai warga hilang pekerjaan dan mata pencarian.

Kita wajib menerima hakikat bahawa Malaysia turut sama mengamalkan sistem ekonomi kapitalis neoliberal. Sistem ini berpusat di Amerika Syarikat. Apabila ekonomi Amerika Syarikat menguncup, maka semua ekonomi kapitalis neoliberal dalam dunia ini juga akan turut menguncup.

Justeru Pakatan Rakyat tidak ada pilihan melainkan wajib mengambil alih kerajaan secepat mungkin untuk menyelamatkan negara daripada bencana kemelesatan ekonomi.

DEB Najib wajib digantikan secepat mungkin. Malah Najib sendiri wajib dihumbankan dalam tong sampah sejarah.

Langkah awal ialah konsep kembali ke bumi. Pertanian wajib dijadikan tulang belakang ekonomi Malaysia. Pertanian ini bukan hanya menanam sawit atau getah sahaja tetapi rakyat wajib dibantu untuk menghasilkan tanaman makanan.

Jika ekonomi meleset, orang ramai masih ada makanan. Makanan untuk diekspot bukan tujuan utama kerana pasaran makanan dunia juga sedang menguncup. Jika kita dapat mengekspot makanan, maka anggaplah ini sebagai bonus.

Kembali ke bumi bertujuan membeli masa agar kita dapat menyusun kembali struktur ekonomi kita yang selama 30 tahun ini telah diporak-perandakan oleh dasar kapitalis neoliberal.

Tidak dapat tidak penstrukturan baru ekonomi yang akan dibawa oleh Pakatan Rakyat tidak akan berpandukan keuntungan maksimum atau dasa “apa boleh jual, jual; apa boleh beli, beli”.

Struktur ekonomi baru wajib memperlihatkan peranan daulah yang lebih kuat. Wajib diwujudkan garis pemisah untuk mengasingkan pengaruh kaum pemodal dari politik negara.

Kuasa kaum pemodal menentukan dasar ekonomi negara berlandaskan neoliberal. Dasar ini sedang terbogel dan terbukti gagal. Dasar kapitalis neoliberal ini wajib ditinggalkan. Rakyat dunia memerlukan satu struktur baru yang berasaskan kekutaan kaum pekerja, buruh dan tani.

****Betul ke tidak tak taula....tp org politik ni biasala...ratuslion, ribulion, bilion, milion, triplelion ni biasalah geng, congak-congak ngan tangan je diorg nih....org ckp org korparat kwn baik org politikus, manakala org politikus ni kawan baik pulak dgn org korparat....adoiii...ntahla, aku pun dah bengong nih....


Abdullah terkial-kial,curah air ke daun keladi

DI PENGHUJUNG karier politiknya, Presiden Umno dan Perdana Menteri (PM), Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi membuat keputusan yang menjadi bahan jenaka di kalangan ahli-ahli Umno, apabila beliau meminta para pelobi dan perayu undi calon-calon yang bertanding, menghentikan kegiatan mereka.

Bercakap kepada pemberita dalam persidangan media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di PWTC, petang Jumaat lalu, Abdullah mengingatkan pelobi dan perayu undi supaya berhati-hati sebelum ditangkap pemantau parti.

Amaran yang tidak berkesan itu, tidak sepatutnya dibuat oleh Abdullah kerana semua jawatan dipertandingkan, tetapi Abdullah sudah tidak 'berada di situ' apabila perwakilan membuat keputusan memilih siapa yang mereka mahu nanti.

Malahan, Dato' Seri Najib Tun Razak sendiri yang dinamakan sebagai penganti Abdullah, turut mengharapkan pencalonan kerana beliau sendiri mengharapkan 'menang tanpa bertanding' bagi jawatan Presiden � di suatu sudut lain ada seorang calon lagi yang turut mengharapkan pencalonan jawatan nombor satu Umno itu.

Apakah orang-orang Najib tidak ada memainkan peranan menjadi pelobi dan perayu undi bagi mendapatkan pencalonan mutlak dari bahagian-bahagian?

Selagi Najib belum menerima pencalonan dari 132 bahagian, Najib sebenarnya tidak mampu untuk tersenyum girang, kerana saingannya (walaupun kelihatan seperti mustahil), masih mampu melakukan sesuatu.

Abdullah yang kelihatan terkial-kial untuk menafikan beliau lebih mirip menyokong Dato' Seri Mohd Ali Rustam sebagai Timbalan Presiden Umno, semua pihak sedang meneliti kenyatan-kenyataan yang keluar dari mulut Abdullah mengenai pertandingan kali ini.

Selepas 27 tahun, jawatan-jawatan tertinggi Umno, buat pertama kali dipertandingkan secara terbuka. Walaupun Abdullah enggan mempertahankan jawatannya, atas kehendaknya sendiri, tetapi para penyokongnya yang belum bersedia untuk kehilangan Abdullah, menjalankan tugas dan gerak kerja untuk menafikan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin boleh menang mudah bagi jawatan Timbalan Presiden Umno.

Sejauh mana 'gerakan orang Abdullah' ini mendapat persetujuan Abdullah, namun tiada siapa mampu menafikan orang-orang termasuk Setiausaha Politiknya, Dato' Alwi Che Ahmad dan Dato' Reezal Merican Naina Merican menjalankan kerja-kerja melobi dan merayu supaya pencalonan untuk Mohd Ali dicukupkan.

Menjelang minggu ketiga persidangan bahagian berlangsung, Mohd Ali dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib berjaya mengumpul 40 pencalonan (Mohd Ali 23 dan Muhammad 17).

Kuota untuk bertanding Timbalan Presiden ialah 39, menunjukkan bahawa jika hanya seorang sahaja calon yang menentang Muhyiddin, dipercayai calon itu, berjaya mendapat cukup quota untuk bertanding - jika jumlah bahagian yang tidak mencalonkan Muhyiddin diambil kira.

"Najib memang beregu dengan Muhyiddin,"kata seorang bekas Naib Presiden Umno tetapi sehingga kini, belum ada satu kenyataan rasmi yang Najib keluarkan mengenai regunya kecuali usahanya menghalang Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut bertanding Timbalan Presiden Umno.

Khabarnya, Najib ada memberi signal kepada beberapa ketua bahagian dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri-negeri, bahawa beliau mahukan Muhyiddin sebagai timbalannya tetapi disebabkan Najib pun bertanding bagi jawatan Presiden Umno, maka kenyataan itu tidak berani diucapkan secara terbuka.

Malahan, ada orang-orang Mohd Ali berkempen mengatakan Najib merestui Mohd Ali bertanding Timbalan Presiden bagi memudahkan Najib menjadi Perdana Menteri, tanpa ada gangguan dari timbalannya, yang merupakan seorang Ketua Menteri.

Justeru, seruan dan arahan supaya pelobi dan perayu undi pulang ke kawasan masing-masing dan jangan berada di hotel-hotel dan tempat-tempat pertemuan, ibarat mencurah air ke daun keladi.

Sebenarnya, Abdullah sendiri, pernah bertanding Ahli MT dan Naib Presiden cukup berpengalaman dalam soal pelobi dan perayu undi. Mana mungkin, mereka yang hendak bertanding tidak mempunyai pelobi dan perayu undi, kerana kerja itu adalah kerja sukarela yang bermanfaat.

Begitu juga Najib. Mustahil Najib mahu mengarahkan orang-orangnya supaya balik ke kawasan masing-masing kerana kedatangan mereka ke Kuala Lumpur dan pemergian mereka ke merata tempat, bagi berjumpa dengan perwakilan dan ketua-ketua bahagian, adalah budaya dan satu kemestian dalam pertandingan parti.

Ini bukan kerja baru. Ini bukan budaya baru. Ini bukan cerita baru. Kerja ini, sudah lama dilakukan. Budaya ini sudah lama diperkenalkan.

Cerita ini sudah menjadi rahsia terbuka kepada semua perwakilan dan ketua-ketua bahagian, khususnya mereka yang tidak berjawatan dalam kerajaan.

"Bila lagi nak rasa duit menteri,"kata seorang ketua bahagian dari Kuala Lumpur. Menurutnya, musim pertandinganlah menjadikan menteri (yang nak bertanding) bersifat pemurah. Jika tidak, jangan haraplah hendak merasakan belanja mereka, katanya.

Apa yang menarik, semua yang hendak bertanding bakal ditelanjangkan kisah mereka. Masing-masing akan memburukkan antara satu dengan yang lain. Akhirnya, mereka semuanya akan diketahui pekung mereka sebaik sahaja sampai tarikh mengundi.

Sudah ada risalah, makalah, sms, buku, vcd dan macam-macam dokumen memburuk-burukkan antara satu dengan lain tersebar. Ada juga tohmahan dibuat untuk memecahkan ikatan dan regu Najib-Muhyiddin.

Malah, orang-orang yang mengaku sebagai penyokong sejati Abdullah seolah-olah diharamkan daripada mengundi dan menyokong Muhyiddin. Abdullah mungkin menafikan cerita ini tetapi, di bawah - cerita ini tersebar dengan gagahnya.

Malahan, para penyokong totok Abdullah sedaya upaya mahu Najib tidak yakin dengan kejujuran Muhyiddin supaya akhirnya nanti, Najib menolak Muhyiddin sebagai regunya.

Muhyiddin tahu semua ini tetapi apabila ditanya oleh kawan-kawannya, Muhyiddin berkata; "belum pernah saya menulis surat atau mengeluarkan kenyataan supaya Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi berhenti. Jauh sekali saya mendesaknya supaya tidak mempertahankan jawatan Presiden Umno. Kenapa apabila beliau enggan mempertahankan jawatan Presiden, saya dipersalahkan?"

****kesian dgn pak lah....takyah larang, dah org dah tau pak lah dah tak lama dah nak jd pm, buat apa org nak dgr ckp pak lak lg....buat apa nak ampu pak lah lagi....mestilah geng2 juak2 umno ni kalut dok melobi n dok mengampu org lain plak le....kesian-kesian...


Najib 116, Ku Li 1, Muhyiddin 69, Ali 25, Taib 22

7.05 pm Bahagian Kubang Pasu mencalonkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi jawatan presiden dan timbalan presiden.

Dengan itu, Najib kini memperolehi 116 pencalonan manakala Muhyiddin mendapat 69 pencalonan.

pencalonan umno 1 nov 2008Bagi naib presiden pula, bahagian berkenaan mencalonkan Datuk Hishammuddin Hussein, Tan Sri Isa Samad dan Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dengan ini, kedudukan terkini calon naib presiden ialah Datuk Hishammuddin Hussein 95 pencalonan, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi (69), Datuk Shafie Apdal (49), Datuk Khaled Nordin (52) dan Datuk Syed Hamid Albar (22).

Calon lain ialah Datuk Rais Yatim (10), Tan Sri Isa Samad (13), Datuk Jamaluddin Jarjis (10), Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik (10), Datuk Shahidan Kassim (6), Datuk Mohamad Hassan (3), Datuk Musa Aman (2), Datuk Mohd Ali Rustam (1) dan Tan Sri Annuar Musa (1), Datuk Mohd Afifuddin Omar (1) dan Datuk Halimah sadique (1).