Sabtu, 3 Januari 2009

Tiada ahli India tinggalkan PKR

Tidak ada tindakan ahli-ahli India keluar PKR beramai-ramai susulan tidak berpuas hati terhadap parti itu dan terpengaruh dengan isu ahli parlimen Kapar, S Manikavasagam, kata timbalan presidennya.

Dr Syed Husin Ali menyifatkan usaha mengajak ahli-ahli berbuat demikian seperti disusun oleh bekas timbalan setiausaha agung PKR P Jenapala petang kelmarin di sebuah hotel sebagai "gagal". "Tidak ada pemimpin India dari PKR yang hadir.

"Bilangan wartawan yang berkumpul mengharapkan berita hangat dari mesyuarat tersebut lebih ramai dari ahli biasa yang menghadiri mesyuarat ini," katanya.

"Bukan saja Jenabala kecewa, bahkan wartawan pun kecewa.

"Dua minggu lalu Jenapala digugurkan daripada jawatannya sebagai timbalan setiausaha agung kerana diisytiharkan muflis."

Dr Syed Husin juga menuduh pengarang-pengarang media arus perdana sebagai "sama sekali tidak menghormati etika kewartawanan" berhubung peletakan jawatan Manikavasagam sebagai timbalan pengerusi badan perhubungan PKR Selangor.

Beliau menyifatkan pengumuman peletakan jawatan Manikavasagam, juga dikenali Mike, kelmarin sebagai "cerita lama" kerana sejak September lagi telah mengumumkan hasrat berbuat demikian.

"Media mereka mengada-adakan hal yang tiada dan memutarbelit kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pimpinan Pakatan Rakyat, terutama PKR," katanya.

Tambahnya, mesyuarat biro politik parti itu kelmarin "mengambil perhatian" tentang laporan meluas oleh sesetengah media berhubung isu ugutan meninggalkan PKR yang dibuat oleh Mike.

Isu-isu lain yang turut dibincangkan termasuklah laporan perkembangan politik Sarawak, pindaan perlembagaan PKR dan kongres nasional khas Februari ini.

Blog Mahathir jual ruangan iklan

Blog paling popular milik mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan menjual ruangan iklan mulai tahun baru ini, khususnya untuk syarikat-syarikat kecil.

Kadarnya ditetapkan antara RM300 hingga RM1,000 sehari, bergantung kepada jenis dan kedudukan iklan tersebut di dalam blog.
chedet mahathir blog 020508Pembantu khasnya Sufi Yusof memberitahu Malaysiakini hari ini, keputusan membuka iklan dibuat selepas permintaan-permintaan orang ramai.

Permintaan itu, katanya, berterusan apabila blog itu mendapat sambutan yang amat memberangsangkan.

"Keuntungan bukanlah keutamaan (kami), sebaliknya mahu memberikan pendedahan kepada syarikat-syarikat kecil. Tetapi kalau (dapat) menampung sedikit kos, bagus juga," katanya lagi.

Blog Dr Mahathir menutup tirai tahun lalu dengan rekod jumlah pengunjung sebanyak 10.9 juta – angka yang amat tinggi bagi sebuah blog yang baru tujuh bulan beroperasi.

Syarikat yang berminat boleh menempatkan iklan-iklannya di atas halaman utama blog tersebut Chedet.cc, selain di sisi kanan dan halaman dalam.

Ejen iklan blog tersebut Mutual Digital Sdn Bhd menjelaskan iklan itu boleh membantu syarikat-syarikat kecil dan menampung kos pengendalian blog paling popular itu.

Pengarahnya Wan Amril Nurman Wan Lokman menambah polisi pengiklanan di blog tersebut diputuskan oleh pejabat Dr Mahathir sendiri.

"Tetapi syarikat rokok dan alkohol tidak adalah. Itu saya pasti," katanya, diminta mengulas syarat-syarat tertentu yang dikenakan untuk menempah iklan.

Beliau juga berkata, sambutan pengiklan terhadap blog itu belum dapat dijangkakan lagi kerana masih baru.

Wan Amril Nurman menambah, walau tempahan belum penuh sehingga hujung bulan ini, tetapi permintaannya “ada dan memberangsangkan”.

Chedet.com - 'che det' adalah nama gelaran dan nama pena Dr Mahathir - yang mula dibangunkan pada Mei lalu meraih populariti mendadak sehingga muncul sebagai laman blog yang paling dicari di Malaysia.

Khamis, 1 Januari 2009

Letak jawatan: Mike tunggu Anwar

S Manikavasagam hanya meletakkan jawatan timbalan ketua perhubungan PKR Selangor tetapi mengekalkan anggota Majlis Pimpinan Tertinggi dan ahli parlimen Kapar.

Beliau mengugut meninggalkan parti selepas berdepan masalah dengan kepimpinan kerajaan Selangor yang diketuai oleh ketua perhubungan PKR negeri Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Bercakap dalam satu sidang media di sebuah hotel di Kuala Lumpur petang ini, Manikavasagam berkata beliau telah menghantar surat peletakkan jawatan itu pagi tadi yang berkuatkuasa serta-merta.

Katanya, beliau bersedia menerima apa-apa bentuk tindakan disiplin daripada PKR yang bermesyuarat malam ini.

"Apa-apa tindakan kepada saya, saya rela. Disingkir daripada parti, (saya) tidak ada masalah kerana saya membela nasib orang yang miskin," katanya, yang sering dipanggil Mike.

Jumaat lalu, Manikavasagam dilaporkan berkata, beliau akan keluar daripada PKR kerana tidak bersetuju dengan Abdul Khalid, termasuk cara menteri besar itu mentadbir Selangor.

Abdul Khalid pula dilaporkan berkata Manikavasagam bebas untuk berbuat demikian. Beliau juga tidak berminat untuk berjumpa Mike atau merayunya menimbang semula keputusan tersebut.

Menteri besar itu kemudiannya menafikan pernah berkata demikian.

Beliau bagaimanapun menafikan mempunyai perselisihan peribadi Abdul Khalid.

"Tidak ada perselisihan faham dengan Tan Sri Khalid kerana saya bawa isu masyarakat. Boleh jumpa (beliau) bila-bila masa," katanya.

Manikavasagam menambah, nasibnya dalam PKR akan ditentukan selepas beliau berbincang dengan penasihat parti Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa minggu lagi.

"Keluar parti? Tunggulah. Kena bincang dengan Anwar. Kena bincang dengan beliau dulu," katanya.

Beliau akan terus mengekalkan jawatan ahli parlimen walaupun disingkirkan daripada PKR, tambahnya.

Anwar dan presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sekarang berada di luar negara dan dijangka pulang 6 Januari ini, sementara Manikavasagam pula akan ke India antara 5 hingga 15 Januari.

Perjumpaan dengan Anwar itu antaranya untuk berbincang "beberapa perkara penting di Selangor" dan juga negeri-negeri yang dikuasai negeri Pakatan Rakyat.

Isu-isu yang beliau tidak berpuas hati termasuklah pelantikan ketua kampung Melayu di sebuah taman yang majoritinya penduduknya berketurunan India dan kemerosotan jualan akibat pemindahan stesen bas lama Klang ke terminal baru di Jalan Meru.

Di sidang media yang sama, beliau turut melahirkan rasa kecewa dengan kenyataan-kenyataan pemimpin Pakatan Rakyat termasuk Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi DAP Karpal Singh yang menggesa beliau keluar parti.

"Semua itu menyakitkan hati. Sedangkan mereka tidak tahu pendirian saya," kata Mike lagi.

Mengulas dakwaan beliau bakal menyertai MIC, Manikavasagam menjelaskan beberapa pemimpinnya pernah mengajak beliau untuk menyertai parti tersebut.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini beliau tidak berhasrat untuk menyertai sebarang parti termasuk Barisan Progresif India (IPF), Parti Progresif Rakyat (PPP) dan Parti Bersatu India Malaysia (MUIP).

Mike mendakwa kira-kira 300 hingga 400 penyokongnya terutama di Johor menunggu isyarat lanjut daripadanya.

Tambahnya, beliau juga mendakwakan mendapat sokongan di beberapa buah negeri seperti Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.