Khamis, 27 November 2008

Motif Mahathir untuk bantu Mukhriz menang

Sehingga hari ini, sudah lima tahun Tun Dr Mahathir Mohamad meninggalkan kerusi Perdana Menteri, tetapi kata-katanya terhadap Umno, masih lagi berbisa, malahan merisaukan para penyandang jawatan, dari yang paling tinggi hinggalah yang terendah.
Terbaru, beliau bercakap mengenai ada calon Timbalan Presiden Umno, yang mulanya terlalu sedikit mendapat pencalonan tetapi minggu-minggu terakhir meningkat dengan kelajuan yang mengejutkan, hingga mencukupi kuota untuk layak bertanding, dikaitkan dengan politik wang.

Dakwaan Dr Mahathir itu, tentunya menyinggung perasaan dua calon lain, selain Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin tetapi ada juga yang berpendapat, Dr Mahathir sebenarnya 'melontar sebutir batu untuk membunuh dua ekor burung.'

Sebenarnya, Dr Mahathir didakwa tidak begitu fokus terhadap pertandingan antara Muhyiddin dengan Dato' Seri Mohd Ali Rustam dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib kerana beliau sudah berkira-kira, Muhyiddin bakal menjadi pilihan perwakilan kerana sejak awal, Dr Mahathir begitu gembira dengan keberanian Muhyiddin bercakap isu dipercepatkan Pelan Peralihan Kuasa antara Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Namun, hati kecilnya ingin melihat Muhyiddin menang tanpa bertanding seperti Najib yang mendapat pencalonan bulat dari bahagian-bahagian kecuali Gua Musang yang mencalonkan Tengku Razaleigh Hamzah.
Jika bukan Timbalan Presiden yang menjadi fokus Dr Mahathir, jawatan apakah yang ditumpukan?
Ada pihak mendakwa, Dr Mahathir terlalu kecewa apabila Dato' Seri Mohamad Khir Toyo dan Khairy Jamaluddin mencukupi kuota pencalonan untuk merebut jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, sedangkan dua minggu terdahulu, anaknya, Dato' Mukhriz sahaja yang layak bertanding jawatan itu, sedangkan Dr Mohamad Khir dan Khairy Jamaluddin masih jauh ketinggalan.

Dari mata kasar Dr Mahathir, lonjakan mendadak di minggu-minggu terakhir mesyuarat bahagian-bahagian seolah-olah 'digelumangi dengan wang' hingga menyebabkan peningkatan pencalonan mereka yang belum mencukupi kuota, kelihatan mendadak. Ia tentunya menimbulkan kecurigaan. Mungkin Dr Mahathir membayangkan, bahagian-bahagian yang masih belum bermesyuarat, akan terpengaruh dengan calon yang sudah mendahului dan boleh disifatkan sebagai pilihan mutlak, sebagaimana Najib mendapat pencalonan.

Malangnya, bayangan Dr Mahathir itu, tidak berlaku kerana ketika Khairy Jamaluddin yang sudah hilang tempat berpaut, apabila Abdullah mengumumkan hasratnya tidak mempertahankan jawatan Presiden Umno, masih diterima 52 Pemuda bahagian (yang mencalonkannya). Khairy Jamaluddin dilihat bukan sahaja terpaksa melawan dengan Mukhriz dan Dr Mohamad Khir tetapi turut berdepan dengan serangan demi serangan dari Dr Mahathir. Namun, Khairy tetap mengambil sikap berdiam diri kerana baginya, lebih baik menjadi mangsa serangan Tun (Dr Mahathir) daripada menjawabnya hingga nanti dianggap sebagai biadap kerana tidak menghormati seorang negarawan tersohor.

Sebaik sahaja Dr Mahathir menyebut mengenai politik wang, beberapa pihak memintanya memberikan bukti dakwaan yang dibuatnya itu supaya Lembaga Disiplin Umno dapat menjalankan siasatan. Namun Dr Mahathir memilih untuk mendedahkan sahaja nama calon-calon yang dikatakan terlibat politik wang tetapi sekadar menyebut tanpa disertakan dengan bukti. Gertakan Dr Mahathir itu menyebabkan salah seorang dari lapan calon Naib Presiden, Dato' Seri Mohamad Khaled Nordin merayu supaya bekas Perdana Menteri tidak meneruskan niatnya itu kerana ia akan memberi kesan tidak elok dan bakal berlaku penganiyaan terhadap calon-calon tertentu.

Dalam perkembangan yang sama, Muhyiddin berani untuk disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) kerana beliau yakin beliau tidak terlibat dengan permainan politik kotor itu, bagi mendapatkan pencalonan.
Abdullah dilihat lebih condong kepada Mohd Ali dalam pesaingan Timbalan Presiden manakala Dr Mahathir dilihat ke arah Muhyiddin. Bagi jawatan Ketua Pemuda, Abdullah tentunya condong kepada Khairy yang juga menantunya manakala Dr Mahathir tentulah mahukan anaknya, Mukhriz memenangi pesaingan itu.

Yang bersendirian bagi jawatan Timbalan Presiden, Muhammad manakala, bagi jawatan Ketua Pemuda, Dr Mohamad Khir banyak bergantung kepada kerja sendiri yang dia buat. Setakat ini, Dr Mohamad Khir mendapat 62 pencalonan, berbanding Mukhriz 74 dan Khairy, 52. Masa lima bulan untuk berkempen ini, sudah digunakan Mukhriz dan Dr Mohamad Khir yang menolak jawatan kabinet jika menang pemilihan nanti, manakala, Khairy mencabar kesemua calon-calon Ketua Pemuda berdebat untuk menyatakan misi dan visi masing-masing membawa Pergerakan Pemuda Umno menempuh gelora politik yang semakin teruk.
Apakah anggota-anggota Lembaga Disiplin Umno akan tertekan dengan kenyataan Dr Mahathir itu, hingga menyebabkan mereka menggerakkan jentera untuk memulakan siasatan dan seterusnya mendakwa kesemua pesalah laku politik wang dalam pertandingan kali ini. Apakah ada keberanian di pihak Lembaga Disiplin untuk menyiasat dakwaan jika aduan turut melibatkan calon-calon yang Dr Mahathir mahu mereka menang?
Jika tidak, kredibiliti Lembaga Disiplin akan disangsikan.
Maklumlah, Dr Mahathir tentunya mahu mereka yang disokongnya, itu menang tanpa bertanding. Sama ada berjaya atau tidak strategi Dr Mahathir kali ini, dengan memberi bayangan kepada Lembaga Disiplin supaya menyiasat calon-calon yang mendapat pencalonan melonjak di minggu-minggu terakhir, akan terjawab sebaik sahaja Lembaga Disiplin membuka fail siasatan.

Jika tidak, sebutir batu yang mahu membunuh dua ekor burung itu tidak akan berjaya kerana Lembaga Disiplin mustahil mahu bertindak atas bayangan Dr Mahathir kerana mereka memerlukan setiap dakwaan disertakan dengan bukti kukuh. Setakat ini, Lembaga Disiplin sudah mengesahkan terdapat 30 peratus aduan adalah palsu dan dibuat kerana tujuan tertentu.

Arak: Kejayaan pertama PAS di Shah Alam

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) yang pertama di Selangor - di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat - yang akan membataskan jualan minuman keras berkuatkuasa Januari depan. Ia telah diluluskan dalam mesyuarat MBSA hujung bulan lepas, kata sumber-sumber majlis itu kepada Malaysiakini hari ini.
Langkah ini dianggap sebagai kejayaan pertama usaha PAS - salah sebuah parti komponen Pakatan - untuk menguatkuasakan peraturan tersebut seperti mana diperkenalkan di Kelantan yang ditadbir oleh parti itu. Sebelum ini, dilaporkan mesyuarat exco kerajaan Selangor telah menolak cadangan tersebut yang dikemukakan oleh pihak PAS.Berikutan itu, timbul desas-desus yang mengatakan PAS akan meneruskan usahanya dengan meminta ahli-ahli majlis dari parti itu supaya mengemukakan cadangan tersebut di PBT yang mereka wakili.
Menurut sumber-sumber MBSA lagi, berikutan itu, pengeluaran lesen bagi tiga premis - kedai runcit, restoran dan kedai serbaneka 24 jam - akan disemak semula."Mereka perlu mengemukakan rayuan yang akan dipertimbangkan oleh jawatankuasa pelesenan yang juga dianggotai ahli MBSA," kata sumber-sumber tersebut.

Semakan semula lesen bagaimanapun, tambah sumber-sumber, semakan semula ini tidak melibatkan premis lain seperti hotel, kelab malam, kedai ubat Cina, pasaraya besar dan jualan oleh pemborong. Semakan semula lesen itu akan mempertimbangkan faktor lokasi tempat ia beroperasi dan maklum balas orang awam. Perkara itu didakwa telah ditimbulkan pertama kali kira-kira dua bulan sebelum cadangan itu diterima hujung bulan lalu, untuk menyediakan dokumen yang lebih terperinci. Sementara itu, ahli parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad ketika dihubungi mengesahkan penerimaan majlis itu terhadap cadangan yang dikemukakan seorang ahli majlis itu.
Katanya, beliau difahamkan, perkara itu telah dibincangkan dan diterima oleh wakil DAP sendiri. Cuma, tambahnya, terdapat sebahagian daripada ahli majlis daripada kalangan PKR yang menentang cadangan itu.Bagaimanapun, Khalid berkata, setakat yang beliau tahu, PAS tidak pernah mengarahkan ahli-ahlinya mengemukakan permohonan membataskan penjualan minuman keras di negeri itu."Perkara ini tidak pernah dibincangkan di peringkat parti," katanya yang juga bekas timbalan pesuruhjaya PAS yang baru digugurkan minggu lepas.

Mesyuarat MPK ditanya tentang desas-desus seorang ahli majlis PAS yang akan membentangkan cadangan itu dalam mesyarat Majlis Perbandaran Klang (MPK) hari ini, Khalid berkata, perkara itu mungkin terilham daripada kejayaan membawa usul itu di MBSA. Seorang ahli majlis di MPK yang juga ahli PAS kawasan Kota Raja dijangka membentangkan cadangan pembatasan jualan minuman keras di kawasan perbandaran berkenaan hari ini. Bagaimanapun, Malaysiakini difahamkan, sehingga tamat mesyuarat pada tengah hari tadi, cadangan itu tidak dibuat.

Pihak media telah memperolehi salinan kertas cadangan tersebut.

Malaysiakini menghubungi ahli majlis MPK berkenaan melalui SMS untuk mendapat komennya. Dalam jawapannya, juga melalui SMS, beliau berkata tidak mahu mengulas mengenainya.

Diminta mengulas isu tersebut, Khalid menegaskan, apa yang dilakukan ahli majlis PAS itu "hanyalah cadangan dan bukannya tuntutan".Beliau berkata, ia dikemukakan bertujuan mengawal masalah sosial seperti alkoholisme yang menular di kalangan anak muda.Katanya lagi, cadangan itu bukanlah sebahagian daripada usaha PAS menerapkan nilai-nilai Islam di negeri itu, sebaliknya bertujuan memberikan faedah kepada semua pihak tanpa mengira fahaman dan agama masing-masing.Beliau turut menegaskan bahawa keputusan itu tidak bermaksud "pengharaman penuh", sebaliknya hanya tempat-tempat tertentu sahaja.

"Kalau kita lihat, 7-Eleven, misalnya, merupakan pengenalan pertama alkohol kepada orang muda," katanya.Sementara itu, ketua penerangan PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Sharir ketika dihubungi menafikan terdapat "rancangan kedua" atau plan B PAS untuk membataskan penjualan alkohol di negeri itu setelah gagal diterima dalam mesyuarat exco negeri itu bulan lepas."Tidak ada plan A atau plan B.
Tidak ada pelan," katanya, apabila diminta mengulas laporan akhbar-akhbar berbahasa Cina yang menyebut PAS merancang membataskan jualan alkohol di seluruh Selangor.Roslan, juga setiausaha akhbar kepada presiden PAS berkata, cadangan itu tidak dibincangkan di peringkat parti dan jika ada, ia inisiatif peribadi ahli majlis PAS sendiri.
Mengulas laporan cadangan exco agama Selangor dan juga pesuruhjaya PAS negeri Datuk Dr Hasan Ali yang dilaporkan ditolak oleh mesyuarat exco Selangor, Roslan berkata, tokoh PAS itu cuma ingin kerajaan melaksanakan apa yang sudah termaktub dalam enakmen jenayah syariah Selangor 1995. Beliau juga menyelar pihak yang membocorkan keputusan mesyuarat tersebut kerana menurutnya perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat exco kerajaan negeri merupakan rahsia.
Beliau berkata, cadangan itu bukanlah pengharaman tetapi membataskan jualannya kepada orang Islam."Kelantan pun tidak haram. Cuma tidak boleh beli, minum di tempat terbuka," katanya.

Saiful nafi dakwaan dia meninggal dunia

Mohd Saiful Bukhari Azlan hari ini menafikan dakwaan yang disiarkan di laman web dan cakap-cakap bahawa dia kini terlantar sakit, menjadi lumpuh dan mengidap penyakit kelamin sehingga ke tahap lebih liar kononnya telah meninggal dunia.Mohd Saiful, 23, yang sebelum ini mendakwa dirinya diliwat oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan demikian dalam satu kenyataan yang dibacanya kepada wartawan selepas hadir di pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pagi ini.
Dia menyifatkan semua adalah tidak benar dan merupakan fitnah serta suatu pembohongan besar yang direkacipta oleh pihak-pihak yang tertentu yang tidak bertanggungjawab.Berikut adalah kenyataan penuh Mohd Saiful:"Saya dengan ini menyangkal segala tohmahan dan fitnah yang dibuat ke atas diri saya, yang tersebar di dalam laman-laman web serta cakap-cakap yang menyatakan kononnya, saya kini terlantar sakit, menjadi lumpuh dan mengidap penyakit kelamin sehingga ke tahap saya telah meninggal dunia.
Ini semua adalah tidak benar dan merupakan fitnah serta suatu pembohongan besar yang direkacipta oleh pihak-pihak yang tertentu yang tidak bertanggungjawab.Saya ingin menegaskan bahawa keadaan kesihatan saya adalah sangat baik dan tidak sebagaimana yang difitnah oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.Saya sendiri berdoa ke hadrat Allah SWT agar kebenaran dapat ditegakkan."Sebelum membaca kenyataan tersebut, Saiful memberitahu pemberita yang dia tidak mahu mengulas lanjut tujuan kehadirannya di JAWI hari ini.

Sebelum itu, Mohd Saiful tiba pada kira-kira jam 11.08 pagi dengan temani oleh peguam Zamri Idrus dan bapanya, Azlan Mohd Lazim (foto bawah).Mohd Saiful tiba dengan memakai songkok dan berkot hitam, berkemeja putih dan berseluar hitam.Mohd Saiful dan Zamri kemudiannya masuk ke unit siasatan bahagian penguatkuasa JAWI, manakala bapanya menunggu di luar.Sebelum masuk, Zamri yang ditemui pemberita enggan menjawab dan sekadar berkata, beliau akan mengulaskannya kemudian.

Apabila ditemui selepas Mohd Saiful selesai bertemu JAWI, Zamri menjawab ringkas: "Ada sedikit perbincangan dengan pihak JAWI,"

Pada 15 Ogos lalu, Mohd Saiful telah melakukan sumpah laknat atau mubahalah di Masjid Wilayah Persekutuan dengan mengatakan bahawa dirinya telah diliwat secara paksa oleh Anwar pada 26 Jun lalu.
Manakala pada 9 Julai lalu, Anwar telah mengadukan isu laporan polis Saiful, kepada unit siasatan, bahagian penguatkuasaan JAWI, mengikut undang-undang dan peruntukan qazaf (kesalahan bawah jenayah syariah bagi tuduhan palsu).
Penasihat PKR itu dilaporkan sebelum ini sebagai berkata, atas nasihat ulama dan peguam, beliau telah membuat aduan tersebut bagi membersihkan namanya dan keluarganya daripada fitnah jahat dan mengaibkan itu. Menurut seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997, "mana-mana orang yang menuduh orang lain melakukan zina (atau liwat) tanpa mengemukakan, mengikut hukum syarak, empat orang saksi lelaki atau ikrar orang yang dituduh itu adalah melakukan suatu kesalahan.
"Jika disabitkan dengan kesalahan qazaf, seseorang boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 8 Ogos lalu terhadap tuduhan melakukan hubungan seks di luar tabii terhadap Saiful di sebuah kondominium di ibu negara pada 26 Jun lalu.