Sabtu, 24 Januari 2009

Rakyat Kelantan yang berhati mulia

Lebih 10,000 rakyat Kelantan bersama pemimpin dan pegawai kanan kerajaan menunaikan solat hajat bagi menyelamatkan umat Islam di Palestin, kini menjadi mangsa kezaliman rejim haram Yahudi.

Selain itu masyarakat bukan Islam yang terdiri dari kaum Cina, India dan Siam serta penganut Buddha melaungkan kata-kata Hidup Palestin di majlis Solat Hajat Perdana dan Pelancaran Tabung Cakna Palestin di Stadium Sultan Mohammad Ke IV malam tadi.

Wakil Umno dan Barisan Nasional (BN) sebaliknya tidak kelihatan biar pun dijemput hadir pada program anjuran kerajaan negeri itu.

Program bermula jam 5 petang dengan persembahan nasyid oleh kumpulan Raihan. Orang ramai mulai tiba sejak selepas Asar dan terus berasak-asak di pintu stadium menjelang waktu Maghrib.Image

Solat hajat diimamkan Adun Demit, Ustaz Mohamad Mustapha. Selepas solat Maghrib diadakan zikir munajab yang menyaksikan padang bola stadium di segenap ruang dipenuhi manusia, kecil, besar, tua dan muda.

Selepas solat Isya yang juga diimamkan Mohamad yang juga bekas Yang Dipertua Abim Kelantan, bacaan al Quran diperdengarkan oleh pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias), Ustaz Lokman Ibrahim dan terjemahannya dibaca Setiausaha Politik Menteri Besar, Haji Anual Bakri Haron.

Kemudian kumpulan Raihan mengambil tempat dengan mendendangkan tiga lagu nasyid.

Selepas itu seramai 240 pelajar-pelajar Maahad Muhammadi Lelaki mempersembahkan pentomen yang diarah seorang blogger, Syed Azidi Syed Aziz atau lebih dikenali sebagai Kickdefella yang bertajuk Mengapa Aku Dibunuh.

Wakil sekretariat NGO Kelantan, Nazri Deraman berharap perhimpunan membantah kekejaman Israel itu menjadi simbol kepada solidariti rakyat Kelantan.

Katanya kehadiran rakyat tanpa mengira agama dan bangsa menjadi kesatuan untuk menyatakan rasa simpati rakyat negeri ini terhadap mangsa keganasan tentera Yahudi di Gaza.

Wakil kaum Cina, Chia Chua Lai, wakil kaum India, Thuraman a/l Arjunan dan wakil kaum Siam, Chan Ko En a/l Eh Rong melaungkan teriak Hidup Palestin yang bergema di dalam stadium selepas menyampaikan ucapan mengutuk keganasan Yahudi.

Wakil penganut Buddha, We Choi Lin juga melahirkan rasa sedih terhadap apa yang berlaku ke atas umat Islam di Palestin sekarang angkara keganasan tentera Yahudi.

"Saya meminta Israel menghentikan keganasan dan perang sehingga menyebabkan sudah ramai rakyat Palestin yang tidak berdosa menjadi korban.

"Keserakahan manusia seperti dilakukan tentera Yahudi menyebabkan kehidupan manusia di muka bumi menjadi tidak tenteram," katanya.

Di akhir ucapannya beliau melaungkan perkataan 'Hidup Palestin, Hidup Islam'. Menjelang jam 12 malam orang ramai yang berada di padang basah kuyup ekoran hujan lebat.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, timbalannnya, Dato' Ahmad Yakob, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Aiseri Alias, anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat dan pegawai kerajaan.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohd Fairuz Khairuddin, Ketua Penerangan KeADIlan, Tian Chua dan wakil Hamas, Najis Suris al Ghaza.

Cakna Palestin-Rakyat Kelantan yang BAGUS-BAGUS

Sebahagian daripada RM1.4 juta derma rakyat Kelantan kepada Tabung Cakna Palestin akan diguna untuk membantu pelajar-pelajar di Palestin yang kekurangan prasarana tempat belajar akibat diserang Israel.

Banyak sekolah musnah ketika tentera haram Yahudi melancarkan perang ke atas Gaza selama 22 hari, bermula akhir Disember lalu.

Anggota Exco kerajaan negeri, Dato Husam Musa berkata, sebahagian kutipan derma berkenaan akan digunakan untuk membeli ubat-ubatan dan ambulans serta membantu pelajar.

"Kita akan mengenal pasti keperluan utama untuk dibeli antaranya ubat, menyedia prasarana sekolah dan ambulans," katanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab 11, Kota Bharu, hari ini.

Mangsa yang mana sebelum ini koma, sekarang sudah mulai sedar. Difahamkan berlaku jangkitan kuman di bahagian paru-parunya.Image

Husam berkata, kutipan sebanyak RM1.4 juta diperolehi pada pelancaran Tabung Cakna Palestin di Stadium Sultan Mohammad Ke IV malam tadi yang disumbang pelbagai pihak.

Katanya juga pegawai khasnya, Dr Rosli Alani Abdul Kader akan mengetuai rombongan kerajaan Kelantan ke Palestin bagi menyampaikan bantuan kepada penduduk yang menderita akibat serangan ganas Yahudi.

"Kita akan membeli keperluan untuk disampaikan kepada mereka di Mesir memandangkan negara itu berdekatan dengan Palestin," katanya.

Husam yang juga Naib Presiden PAS melahirkan rasa kesal sikap pengurusan PLKN yang lambat memaklum kejadian yang menimpa mangsa kepada ibu bapanya.

Menurutnya banyak rungutan daripada ibubapa terhadap sikap pengurusan PLKN yang dianggap sambil lewa.

"Ibubapa tidak menyalahkan pihak PLKN terhadap kemalangan yang berlaku, tetapi mereka meminta supaya PLKN memaklumkan segera mengenai kemalangan yang menimpa anak mereka," ujarnya.

Beliau juga mencadangkan PLKN menempatkan seorang doktor di setiap kem PLKN dan bukannya penolong pegawai perubatan seperti yang dilakukan sekarang.

Pada kunjungan itu beliau menyampaikan sumbangan peribadi kepada bapa mangsa, Mohd Husin Yunus.

Sebelum itu beliau melawat pelatih Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN), Mohd Alhasyhiemi Mohd Hussin, 18 di Unit Rawatan Rapi akibat lemas ketika banjir melanda Kem PLKN, Tegas Mesra Selama, Perak 1 Januari lalu.

Ahad, 18 Januari 2009

Tahniah!!!!! Bravo.........

TAHNIAH!!!!! TAHNIAH!!!!!

Nak ucapkan tahniah kepada para penyokong Pakatan Rakyat di atas kemenangan PAS di Kuala Terengganu semalam.

Semoga PAS & PR bertambah maju.......amin.......

Ahad, 11 Januari 2009

Projek kelas F 'bukan rasuah BN'

Datuk Seri Mohd Najib Razak menafikan pemberian projek kepada 583 kontraktor kelas F di Terengganu pagi tadi sebagai rasuah politik demi memenangkan BN dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu.

"Ia bukan rasuah, apa yang kita (kerajaan BN) buat sehari dua ini adalah sebahagian pakej rangsangan fiskal saya umum (dulu)," kata timbalan perdana menteri.

Mohd Najib mengumumkan pengagihan kontrak projek kecil berjumlah RM15.8 juta di Kuala Terengganu - sebahagian RM900 juta peruntukan tahun ini untuk kontraktor kelas F di seluruh negara daripada pakej RM7 bilion yang diumumkan di Dewan Rakyat, November lepas.

"(Pengagihan) itu bukan pembelian undi tetapi pelaksanaan projek yang telah dirancang sebelum (bekas ahli parlimen) Datuk Razali Ismail meninggal dunia.

"Pemberian projek kepada kontraktor kelas F terbabit adalah sebahagian rangsangan fiskal pembangunan ekonomi seluruh negara," katanya petang ini selepas menyampaikan bantuan kepada sekolah agama rakyat yang berdaftar dengan Kementerian Pelajaran di pantai timur.

Mohd Najib diminta mengulas dakwaan Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa pagi ini bahawa projek-projek pembangunan yang dijanjikan oleh kerajaan sewaktu pilihanraya kecil ini sebagai taktik lama untuk merasuah pengundi.

Pagi tadi, beliau merasmikan majlis pelancaran pengundian Projek Infrastruktur Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS) daerah Kuala Terengganu untuk tahun ini di Wisma Darul Iman.

Setiap projek bernilai RM30,000 hingga RM200,000 diberikan kepada semua 583 kontraktor kelas F yang hadir melalui undian berkomputer.

Tidak kenal calon BN........

Beberapa pengundi termasuk yang tinggal berdekatan rumah Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh di Jalan Ibrahim mendakwa tidak mengenali calon BN itu walaupun pernah terserempak dengannya.

Mereka umumnya bagaimanapun menafikan beliau seorang ahli politik muda yang sombong dan sukar didekati.

Ditemui Malaysiakini di Jalan Panji Alam, pengundi lebih mengenali ketokohan arwah bapanya sebagai pegawai tinggi kerajaan negeri.

"Saya tidak kenal beliau, tapi saya kenal ayahnya. Tetapi kalau beliau ajak bertemu (di program BN), kita pergi," kata seorang penduduk di Mengadang Akar dalam satu tinjauan ringkas.

Ali Mohamad berkata, keadaan itu mungkin kerana perbezaan umurnya dengan calon tersebut.

"Dia muda lagi, pakcik sudah tua. Tetapi pakcik baik benar dengan ayahnya.

"Wan Ahmad Farid pernah datang ke kampung ini, kita pergi beramai-ramai bertemunya," katanya.

"Dia baik dan tidak sombong tetapi lagaknya menyebabkan orang nampak dia bengkeng (garang)."

Rakannya Chik Salleh dari kampung sama berkata, beliau tidak mengenali Wan Ahmad Farid walaupun bekas timbalan menteri itu pernah melawat kampungnya.

Bagaimanapun, katanya, beliau turut hadir dalam lawatan calon BN di kampungnya, kira-kira dua kilometer dari rumah Wan Ahmad Farid, di DUN Ladang sebelum ini.

"Acap juga dia mari kampung ini, sampai ke tepi tangga rumah ini, kita pun bercakap dengan dia," katanya.

Cheku Ali Teh dari Kampung Gelugor Raja dalam DUN Wakaf Mempelam berkata, beliau tidak begitu mengenali Wan Ahmad Farid.

"Tetapi saya pernah beberapa kali pergi ke rumahnya, selalunya kalau ada jamuan hari raya.

"Dia bersalam dengan saya, dia tengok dan senyum kepada saya.

"Pelawok (bohong) kalau orang kata dia sombong kerana orangnya baik sangat,” katanya ketika ditemui malam tadi.

Ahmad Mat Amin juga dari Gelugor Raja berkata, sepanjang pengetahuannya calon BN itu tidak sombong seperti sangkaan ramai.

Seseorang yang tidak mengenalinya memang mudah untuk menuduhnya sebagai sombong, katanya yang pernah bekerja mengecat rumah bapa Wan Ahmad Farid.

"Kita boleh pergi bertemunya tetapi kalau tiada urusan nak pergi buat apa," katanya lagi.

Sikap Wan Ahmad Farid yang didakwa elitis dan kurang mesra menjadi perbualan di kalangan pengundi Kuala Terengganu termasuk di kalangan penyokong Umno sendiri.

Sikap ini dibimbangi akan mengurangkan peluangnya untuk menyabut cabaran calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut.

Persaingan dua calon parti besar yang turut diwarnai calon bebas Azharudin Mamat @ Azam akan diketahui keputusannya pada 17 Januari ini.

Sabtu, 3 Januari 2009

Bersedia hadapi krisis ekonomi

Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah hari ini menggesa rakyat Malaysia bersiap sedia menghadapi krisis ekonomi berpanjangan berikutan kelembapan ekonomi global dan krisis kewangan yang teruk sekarang.

"Bagi tahun-tahun mendatang, ancaman kelembapan ekonomi global dan krisis kewangan teruk terus menghantui fikiran kita semua.

raja nazrin perak"Kesannya terhadap ekonomi domestik tidak dapat dielakkan dan ini dicerminkan dalam langkah persediaan yang diambil oleh kerajaan Malaysia dalam menghadapi jangkaan kegawatan ekonomi domestik," titah baginda semasa berucap di persidangan Rotary International District 330 ke-74 di Ipoh, lapor Bernama.

"Ia merupakan petanda lebih banyak kesulitan boleh dijangkakan dan rakyat Malaysia perlu bersiap sedia sekiranya berlaku kegawatan (ekonomi)."

Raja Dr Nazrin merasmikan persidangan itu sebagai mewakili Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, yang merupakan penaung Kelab Rotary Perak.

Baginda turut memuji kewujudan pertubuhan amal seperti Kelab Rotary yang amat penting berikutan punca sumber kini semakin berkurangan dan tahap keyakinan juga menurun pada masa sukar ini.

"Peranan anggota Rotary tidak boleh diketepikan. Kehadiran anda menawarkan keyakinan kepada masyarakat bahawa ada kumpulan yang boleh diharapkan apabila
diperlukan," titah baginda.

Baginda bertitah kira-kira 25 tahun lalu, apabila ayahanda baginda ditabalkan sebagai Sultan Perak, hanya terdapat empat kelab Rotary di negeri ini tetapi bilangannya telah bertambah menjadi 14.

"Ini amat membanggakan kerana di satu pihak ketika kita menyaksikan dunia menjadi semakin materialistik dan individualistik; pada masa yang sama kita tidak kekurangan individu dan kumpulan yang berjiwa pemurah dan penyayang.

"Beta berharap lebih banyak kelab Rotary akan ditubuhkan supaya lebih ramai masyarakat akan mendapat manfaat daripada semangat sukarela dan permurah anda," titah baginda.

Wahid penuhi ciri kemenangan PAS

PAS memilih Mohd Abdul Wahid Endut untuk bertanding kerusi parlimen Kuala Terengganu kerana beliau mempunyai faktor-faktor kemenangan di kerusi itu.

Setiausaha PAS negeri Yahaya Ali berkata, antaranya ahli dan penyokong PAS mahukan beliau bertanding di kerusi tersebut.

bm version kuala terengganu parliament state seat breakdown 031208"Beliau sudah lima penggal menang di Wakaf Mempelam dan ini menunjukkan orang ramai mahukan beliau.

"Kita percaya beliau mempunyai pengaruh yang kuat di Kuala Terengganu kerana beliau juga yang dipertua PAS kawasan Kuala Terengganu," katanya ketika diminta mengulas pemilihan mengejut Abdul Wahid sebagai calon PAS dalam pilihanraya kecil itu yang bermula Selasa depan.

Pemilihannya diumumkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Stadium Negeri di Kuala Terengganu malam tadi.

Yahaya yang juga timbalan pengarah pilihanraya PAS bagi pilihanraya kecil tersebut berkata, pemilihan Abdul Wahid tidak akan memecahkan undi para penyokong PAS.

Diminta mengulas alasan Abdul Wahid dicalonkan oleh parti itu sedangkan namanya bukan pilihan utama, Yahaya berkata, pilihan atau tidak itu "hanya senarai yang dibuat orang ramai".

Katanya, orang ramai bebas membuat pilihan mereka tetapi akhirnya pucuk pimpinan yang menentukan setelah mengambil kira pelbagai faktor.

"Pemimpin lebih tahu hendak membuat pilihan, jadi tidak perlu lagi bercakap mengenai pemilihan Abdul Wahid sebagai calon.

"(Dan) insya Allah beliau akan menang," katanya.

Abdul Wahid akan berdepan dengan ketua Umno bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh bagi merebut kerusi tersebut pada hari pengundian 17 Januari ini.

Pilihanraya kecil tersebut diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Razali Ismail, akhir November lalu.

Tiada ahli India tinggalkan PKR

Tidak ada tindakan ahli-ahli India keluar PKR beramai-ramai susulan tidak berpuas hati terhadap parti itu dan terpengaruh dengan isu ahli parlimen Kapar, S Manikavasagam, kata timbalan presidennya.

Dr Syed Husin Ali menyifatkan usaha mengajak ahli-ahli berbuat demikian seperti disusun oleh bekas timbalan setiausaha agung PKR P Jenapala petang kelmarin di sebuah hotel sebagai "gagal". "Tidak ada pemimpin India dari PKR yang hadir.

"Bilangan wartawan yang berkumpul mengharapkan berita hangat dari mesyuarat tersebut lebih ramai dari ahli biasa yang menghadiri mesyuarat ini," katanya.

"Bukan saja Jenabala kecewa, bahkan wartawan pun kecewa.

"Dua minggu lalu Jenapala digugurkan daripada jawatannya sebagai timbalan setiausaha agung kerana diisytiharkan muflis."

Dr Syed Husin juga menuduh pengarang-pengarang media arus perdana sebagai "sama sekali tidak menghormati etika kewartawanan" berhubung peletakan jawatan Manikavasagam sebagai timbalan pengerusi badan perhubungan PKR Selangor.

Beliau menyifatkan pengumuman peletakan jawatan Manikavasagam, juga dikenali Mike, kelmarin sebagai "cerita lama" kerana sejak September lagi telah mengumumkan hasrat berbuat demikian.

"Media mereka mengada-adakan hal yang tiada dan memutarbelit kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pimpinan Pakatan Rakyat, terutama PKR," katanya.

Tambahnya, mesyuarat biro politik parti itu kelmarin "mengambil perhatian" tentang laporan meluas oleh sesetengah media berhubung isu ugutan meninggalkan PKR yang dibuat oleh Mike.

Isu-isu lain yang turut dibincangkan termasuklah laporan perkembangan politik Sarawak, pindaan perlembagaan PKR dan kongres nasional khas Februari ini.

Blog Mahathir jual ruangan iklan

Blog paling popular milik mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan menjual ruangan iklan mulai tahun baru ini, khususnya untuk syarikat-syarikat kecil.

Kadarnya ditetapkan antara RM300 hingga RM1,000 sehari, bergantung kepada jenis dan kedudukan iklan tersebut di dalam blog.
chedet mahathir blog 020508Pembantu khasnya Sufi Yusof memberitahu Malaysiakini hari ini, keputusan membuka iklan dibuat selepas permintaan-permintaan orang ramai.

Permintaan itu, katanya, berterusan apabila blog itu mendapat sambutan yang amat memberangsangkan.

"Keuntungan bukanlah keutamaan (kami), sebaliknya mahu memberikan pendedahan kepada syarikat-syarikat kecil. Tetapi kalau (dapat) menampung sedikit kos, bagus juga," katanya lagi.

Blog Dr Mahathir menutup tirai tahun lalu dengan rekod jumlah pengunjung sebanyak 10.9 juta – angka yang amat tinggi bagi sebuah blog yang baru tujuh bulan beroperasi.

Syarikat yang berminat boleh menempatkan iklan-iklannya di atas halaman utama blog tersebut Chedet.cc, selain di sisi kanan dan halaman dalam.

Ejen iklan blog tersebut Mutual Digital Sdn Bhd menjelaskan iklan itu boleh membantu syarikat-syarikat kecil dan menampung kos pengendalian blog paling popular itu.

Pengarahnya Wan Amril Nurman Wan Lokman menambah polisi pengiklanan di blog tersebut diputuskan oleh pejabat Dr Mahathir sendiri.

"Tetapi syarikat rokok dan alkohol tidak adalah. Itu saya pasti," katanya, diminta mengulas syarat-syarat tertentu yang dikenakan untuk menempah iklan.

Beliau juga berkata, sambutan pengiklan terhadap blog itu belum dapat dijangkakan lagi kerana masih baru.

Wan Amril Nurman menambah, walau tempahan belum penuh sehingga hujung bulan ini, tetapi permintaannya “ada dan memberangsangkan”.

Chedet.com - 'che det' adalah nama gelaran dan nama pena Dr Mahathir - yang mula dibangunkan pada Mei lalu meraih populariti mendadak sehingga muncul sebagai laman blog yang paling dicari di Malaysia.

Khamis, 1 Januari 2009

Letak jawatan: Mike tunggu Anwar

S Manikavasagam hanya meletakkan jawatan timbalan ketua perhubungan PKR Selangor tetapi mengekalkan anggota Majlis Pimpinan Tertinggi dan ahli parlimen Kapar.

Beliau mengugut meninggalkan parti selepas berdepan masalah dengan kepimpinan kerajaan Selangor yang diketuai oleh ketua perhubungan PKR negeri Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Bercakap dalam satu sidang media di sebuah hotel di Kuala Lumpur petang ini, Manikavasagam berkata beliau telah menghantar surat peletakkan jawatan itu pagi tadi yang berkuatkuasa serta-merta.

Katanya, beliau bersedia menerima apa-apa bentuk tindakan disiplin daripada PKR yang bermesyuarat malam ini.

"Apa-apa tindakan kepada saya, saya rela. Disingkir daripada parti, (saya) tidak ada masalah kerana saya membela nasib orang yang miskin," katanya, yang sering dipanggil Mike.

Jumaat lalu, Manikavasagam dilaporkan berkata, beliau akan keluar daripada PKR kerana tidak bersetuju dengan Abdul Khalid, termasuk cara menteri besar itu mentadbir Selangor.

Abdul Khalid pula dilaporkan berkata Manikavasagam bebas untuk berbuat demikian. Beliau juga tidak berminat untuk berjumpa Mike atau merayunya menimbang semula keputusan tersebut.

Menteri besar itu kemudiannya menafikan pernah berkata demikian.

Beliau bagaimanapun menafikan mempunyai perselisihan peribadi Abdul Khalid.

"Tidak ada perselisihan faham dengan Tan Sri Khalid kerana saya bawa isu masyarakat. Boleh jumpa (beliau) bila-bila masa," katanya.

Manikavasagam menambah, nasibnya dalam PKR akan ditentukan selepas beliau berbincang dengan penasihat parti Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa minggu lagi.

"Keluar parti? Tunggulah. Kena bincang dengan Anwar. Kena bincang dengan beliau dulu," katanya.

Beliau akan terus mengekalkan jawatan ahli parlimen walaupun disingkirkan daripada PKR, tambahnya.

Anwar dan presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sekarang berada di luar negara dan dijangka pulang 6 Januari ini, sementara Manikavasagam pula akan ke India antara 5 hingga 15 Januari.

Perjumpaan dengan Anwar itu antaranya untuk berbincang "beberapa perkara penting di Selangor" dan juga negeri-negeri yang dikuasai negeri Pakatan Rakyat.

Isu-isu yang beliau tidak berpuas hati termasuklah pelantikan ketua kampung Melayu di sebuah taman yang majoritinya penduduknya berketurunan India dan kemerosotan jualan akibat pemindahan stesen bas lama Klang ke terminal baru di Jalan Meru.

Di sidang media yang sama, beliau turut melahirkan rasa kecewa dengan kenyataan-kenyataan pemimpin Pakatan Rakyat termasuk Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi DAP Karpal Singh yang menggesa beliau keluar parti.

"Semua itu menyakitkan hati. Sedangkan mereka tidak tahu pendirian saya," kata Mike lagi.

Mengulas dakwaan beliau bakal menyertai MIC, Manikavasagam menjelaskan beberapa pemimpinnya pernah mengajak beliau untuk menyertai parti tersebut.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini beliau tidak berhasrat untuk menyertai sebarang parti termasuk Barisan Progresif India (IPF), Parti Progresif Rakyat (PPP) dan Parti Bersatu India Malaysia (MUIP).

Mike mendakwa kira-kira 300 hingga 400 penyokongnya terutama di Johor menunggu isyarat lanjut daripadanya.

Tambahnya, beliau juga mendakwakan mendapat sokongan di beberapa buah negeri seperti Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.