Sabtu, 8 Ogos 2009

Kapten Iron Maiden - yeah...yeah....


KUMPULAN rock heavy metal Iron Maiden bergambar di hadapan pesawat Boeing 757 mereka sendiri yang dipandu oleh penyanyi utamanya, Bruce Dickinson. - AP


NEW YORK 7 Ogos - Apabila tidak membuat persembahan bersama kumpulan rock heavy metal Iron Maiden, penyanyi utamanya, Bruce Dickinson 'bertukar' kerja sebagai juruterbang.

Semasa jelajah dunia 2008-09 kumpulan itu Somewhere Back in Time yang dimuatkan di dalam DVD baru Iron Maiden, Flight 666 yang telah diundi sebagai dokumentari muzik terbaik semasa Festival South-by-Southwest tahun ini, Dickinson memainkan dua peranan sebagai penyanyi utama dan ketua juruterbang kapalterbang Boeing 757 kumpulan itu.

Dia memakai uniform Astraeus Airlines iaitu kemeja putih juruterbang dan seluar yang diseterika rapi semasa menerbangkan pesawat di antara lokasi jelajah.

Kemudian, dia melompat-lompat di atas pentas memakai pakaian yang ganjil-ganjil termasuk baju tentera Britain abad ke-19 yang berwarna merah sambil menyanyikan lagu The Trooper atau topeng berbulu untuk lagu Powerslave.

Selepas persembahan, selaku juruterbang untuk kumpulan itu, dia terpaksa menahan diri daripada keluar minum hingga lewat malam, muncul awal dan menghindari minuman beralkohol bagi memenuhi peraturan industri penerbangan iaitu tempoh rehat yang mencukupi dan kandungan alkohol dalam darah sifar.

Dickinson tidak kisah menjadi party-pooper (tidak menyertai parti gembira) memandangkan jelajah itu menawarkannya peluang untuk menggabungkan minatnya untuk menerbangkan pesawat dan muzik rock.

"Satu-satunya peringatan ialah bahawa saya bekerja lebih kuat berbanding orang lain.

"Tetapi saya tidak pernah merasa penat bekerja kerana bagi saya menyanyi dengan Iron Maiden dan menerbangkan sebuah jet adalah dua pekerjaan terbaik di dunia," kata Dickinson.

Kumpulan heavy metal legenda Britain itu, yang memenangi Anugerah Brit untuk Persembahan Secara Langsung Terbaik awal tahun ini, menamatkan jelajah mereka pada awal April selepas mengadakan persembahan di hadapan hampir dua juta peminat di 38 negara.

Ahli kumpulan yang lain, pengasas dan pemain bass, Steve Harris; pemukul dram, Nicko McBrain dan pemain gitar, Dave Murray, Adrian Smith dan Janick Gers kembali ke rumah masing-masing untuk berehat selama beberapa bulan sebelum berkumpul semula akhir tahun ini untuk memulakan projek album baru yang dijadualkan akan diterbitkan pada tahun depan.

Bagaimanapun, Dickinson akan segera kembali menjalankan tugas sebagai kapten syarikat penerbangan komersial untuk Astraeus, yang menyewakan pesawat dan krew penerbangan untuk syarikat penerbangan lain.

Tiada ulasan: