Rabu, 31 Disember 2008

ujian pertama pengerusi baru SPR

Pengerusi baru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Yusuf, yang memulakan perkhidmatannya hari ini, akan turun padang bagi merasai sendiri persaingan sengit PAS-BN dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu seminggu lagi.

"Ini ujian pertama dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu dan juga (mahu mencari) pengalaman sebagai pengerusi SPR yang baru," katanya.

spr chairman abdul azizBeliau (keluar dari kereta) bercakap kepada media lebih kurang 10 minit ketika disambut oleh timbalan pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar (kanan sekali) dan setiausaha barunya Datuk Ngah Senik di lobi pejabat suruhanjaya itu kira-kira 10 pagi.

Persediaan pilihanraya kecil itu berjalan lancar dan beliau akan meneliti secara lebih terperinci, katanya.

"Penamaan calon pada 6 Januari. Semuanya telah disiapkan, (termasuk) tempat penamaan calon, tempat pengundian, (dan) tempat pengiraan.

"Dan kita juga akan lihat lebih terperinci (persediaan untuk pilihanraya itu). Yang mana boleh diperbaiki lagi, kita perbaiki," tambahnya.

Abdul Aziz juga berkata, SPR akan bekerjasama dengan polis bagi memastikan keselamatan sepanjang kempen tersebut, sehingga 17 Januari ini.

Diminta mengulas dakwaaan bahawa daftar pemilih yang disediakan dalam pilihanraya kecil itu tidak bersih, Abdul Aziz berkata:

"Macam basuh baju juga. Bukan bersih semua sekali gus. Prosesnya berterusan."

Bagaimanapun, tambah beliau, penyelarasan dengan agensi kerajaan berkaitan seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) amat penting dalam proses penyediaan daftar itu.

spr chairman abdul aziz 311208 1Bekas ketua setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata semasa berkhidmat di kementerian berkenaan, beliau telah pun meminta jabatan itu membersihkan data-data mereka.

"Mereka (pengundi) yang berumur 150 dan ke atas, takkanlah hidup lagi," katanya.

Perkara itu turut ditegaskan oleh Wan Ahmad.

"Kalau jabatan berwajib (JPN) tidak bersih data mereka (melibatkan orang) yang meninggal dunia... SPR hanya agensi yang menggunakannya," tambahnya.

Mengulas cadangan pendaftaran pengundi secara automatik mereka yang cukup umur 21 tahun, Abdul Aziz hanya menjawab ringkas:

"Itu isu yang lainlah. Kita kajilah (cadangan itu). Bila dah diwajibkan, hendak kuatkuasakan pula. Bukan senang hendak kuatkuasakan."

Cadangan itu dikemukakan oleh bekas pengerusi Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, Jun 2001.

Abdul Aziz berikrar meneruskan kerja-kerja bekas pengerusi itu yang disifatkannya "cemerlang".

Jika perlu, tambahnya, insitusi itu akan diperkemaskan.

Dalam masa terdekat ini, Abdul Aziz akan mengadakan perbincangan terperinci dengan pegawai-pegawai SPR bagi memahami perjalanan dan situasi suruhanjaya itu.

Ketua 'cawangan hantu' sertai PAS

Pemimpin Umno cawangan mengikut langkah bekas ketua bahagian Petaling Jaya Selatan, Datuk Zahar Hashim minggu lalu didakwa datang daripada "cawangan hantu".

Setiausaha bahagian itu Mohamad Yahya Sudin mendedahkan, cawangan-cawangan berkenaan hanya wujud menjelang mesyuarat agung tahunan Umno sahaja.

Susulan itu, tambahnya, Umno bahagian itu masih kuat dan berfungsi seperti biasa walaupun tanpa bekas ketuanya itu yang menyertai PAS pada 24 Disember lalu.

Menurutnya lagi, angka sebenar ketua-ketua cawangan Umno yang melompat parti dikenal pasti dalam mesyuarat khas malam tadi di sebuah hotel di Petaling Jaya.

Dipengerusikan timbalan ketua bahagian itu Datuk Raja Hapipudin Raja Nong Chik, mesyuarat tersebut membincangkan usaha memantapkan Umno Petaling Jaya Selatan selepas menerima tamparan hebat akibat tindakan mengejut Zahar.

Bekas kapten bersara itu - yang mendedahkan isu pembelian helikopter Eurocopter – mendakwa 28 ketua cawangan dan 13 ahli jawatankuasa (AJK) bahagian mengikut jejak langkahnya.

Tidak menolak jumlah ketua cawangan tersebut yang berbuat demikian, Yahya berkata sebahagiannya bukan cawangan yang sah atau "cawangan hantu."

Beliau bagaimanapun menjelaskan hanya tujuh daripada 39 AJK bahagian itu yang meninggalkan Umno, bukan 13 orang seperti yang didakwa.

"Itu pun ahli jawatankuasa yang dilantik, bukan dipilih," tambahnya.

Yahya berkata, daripada tujuh AJK itu pula, empat daripadanya merupakan “orang Zahar” yang menguruskan pejabat Umno bahagian dan dibayar gaji oleh bekas ketua itu.

Umno Petaling Jaya Selatan mempunyai 39 AJK – 20 dipilih, sepuluh dilantik dan sembilan lagi mewakili sayap-sayap Pemuda, Wanita dan Puteri.

Bahagian itu juga mempunyai lebih 100 cawangan dengan jumlah keanggotaan lebih kurang 20,000 orang.

Sabtu, 27 Disember 2008

Gobalakrishnan: Saya tahu mengapa saya dilarang...

Terdapat dua sebab mengapa ahli Parlimen dari Semenanjung, N Gobalakrishnan dilarang masuk ke Sarawak Rabu lalu.

Menurut ahli Parlimen Padang Serai, Kedah itu, beliau dilarang masuk ke negeri itu kerana pembangkang semakin menjadi ancaman kepada kerajaan Sarawak dan juga ucapannya di Dewan Rakyat yang menghentam Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

ijok pkr gobalakrishnan 260407 indian crowdGobalakrishnan berkata, beliau sudah banyak kali ke Sarawak sebelum ini dan tidak pernah menghadapi sebarang masalah dengan pihak imigresen negeri tersebut sehinggalah dua hari
lalu. Pihak berkuasa bagaimanapun tidak memberi sebab berhubung larangan tersebut.

Gobalakrishnan berkata, kunjungan terbarunya ke Sarawak ialah minggu lalu di mana beliau pergi ke Lubok Antu, yang terletak di selatan bandar Kuching, untuk membantu penduduk di situ membuat persediaan untuk menyambut Krismas.

"Mengapa larangan dikena ke atas saya sekarang? Ini sudah pastinya (bermotif) politik," katanya.

"Sejak beberapa bulan lalu, saya sudah beberapa kali mengunjungi rumah-rumah panjang dan saya mengumpul sokongan dari kalangan penduduknya, terutama dari kaum Dayak," tambah Gobalakrishnan.

Tambahan lagi, katanya, kerajaan negeri tersebut turut menjemputnya untuk menghadiri perayaan Hari Gawai pada bulan Jun.

"Mengapa tiba-tiba saja ini berlaku?" soalnya.

'Cabar di mahkamah'

Gobalakrishnan berkata beliau tidak akan membiarkan perkara itu begitu sahaja.

Beliau mahu mencabar larangan ke atasnya itu di Mahkamah Tinggi Kuching. Menurutnya, pihak berkuasa negeri tersebut telah melanggar Akta Imigresen.

"Mereka telah menggunakan Artikel 66 (1) di mana ketua menteri mempunyai hak untuk melarang sesiapa sahaja masuk (ke Sarawak). Tetapi di bawah artikel 66 (1)(c), sebarang individu dari sebuah badan yang ditubuhkan di bawah perlembagaan persekutuan tidak boleh dilarang masuk. Dewan Rakyat adalah di bawah perlembagaan persekutuan," hujahnya.

Rabu lalu, Gobalakrishnan dilarang masuk ke Sarawak oleh pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Beliau ke sana untuk menghantar satu seminar anjuran PKR di luar bandar Kuching dan untuk menziarahi keluarga angkatnya (Iban) di Kapit, sebuah pekan yang terletak di tengah-tengah Sarawak, sempena perayaan Krismas.

PKR telah meningkatkan kempennya di menjelang pilihanraya negeri - diura-urakan akan diadakan pada 2010.

Pemimpin utamanya Datuk seri Anwar Ibrahim mendakwa pembangkang semakin kuat untuk menumbangkan kerajaan BN pimpinan Abdul Taib.

Anwar juga telah meminta barisan pemimpin kanan parti itu termasyk ahli-ahli parlimennya setiap minggu melawat Sarawak untuk menemui rakyat negeri tersebut.

Beliau percaya tindakan itu ada kaitan dengan tindakannya mempertahankan seorang ahli parlimen DAP bagi Kuching, Chong Chieng Jen di Dewan Rakyat, yang mempersoalkan peranan sebuah syarikat milik kerajaan Sarawak, sewaktu perbahasan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM, minggu lalu.

Ketika membahaskan, Chong mendakwa Taib telah memberi projek pembinaan jalan bernilai jutaan ringgit kepada syarikat milik keluarganya CMS Group - yang pengerusinya terdiri daripada anak Taib - Datuk Sulaiman Abdul Rahman Taib, yang kini menjadi menteri pelancongan.

taib mahmud�s family in cahya mata sarawak shares 100907Pemegang saham utama syarikat tersebut, termasuklah seorang lagi anak Taib - Abu Bakar Taib - selaku timbalan pengerusi - serta isteri Taib, yang menguasai syarikat tersebut.

Chong turut mengecam Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang didakwanya gagal menyiasat perkara itu ekoran banyak projek-projek pembinaan telah diberikan kepada syarikat berkenaan oleh kerajaan negeri tanpa melalui tender terbuka.

Gobalakrishnan kemudiannya bangun menyokong Chong.

Katanya, beliau akan membangkitkan insiden larangan terhadapnya untuk memasuki Sarawak apabila Dewan Rakyat bersidang lagi pada Februari depan.