Ahad, 22 Mac 2009

Pertemuan antara pucuk pimpinan parti perlu setiap masa - Nik Aziz

Pertemuan diantara pucuk pimpinan parti seharusnya diadakan pada bila-bila masa dan bukannya kerana sesuatu isu sahaja, demikian dinyatakan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis Perasmian Kempen Pemilikan Rumah Rasmi Peringkat negeri Kelantan(MAPEX) di KB Mall semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan,Kerjaraya,Utiliti dan Alam Sekitar,Mejar(B)Md .Anizam Abd Rahman.

Menurut Nik Aziz lagi, beliau sedia menerima penjelasan Presiden PAS,Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berhubung kerajaan poerpaduan.

Namun katanya ia mestilah berlandaskan ketetapan yang diputuskan dalam Muktamar PAS tahun lalu iaitu mesti memperkukuhkan Pakatan Rakyat.

"Bagi saya kalau nak bersatu untuk bela bangsa melayu tanpa mengambil kira Islam, saya tak boleh terima, tetapi kalau ia berkaitan dengan Islam, saya akan sokong dan kalau ada cina sanggup terima Islam tak ada masalah bagi saya, saya nak perkuatkan Islam dan kalau melayu sendiri tolak Islam buat apa dengan melayu jenis ini,"ujar beliau.

"Masalah bangsa ialah masalah kedua, Islam dulu kena buat, macam Islam di Kelantan orang bukan Islam boleh terima, jadi tiada masalah pun",katanya lagi.

Menyentuh dakwaan yang mengatakan ada konspirasi antara Dato Zahid Ibrahim dan Dato Seri Anwar Ibrahim yang mengaturkan pertemuan Pimpinan PAS dengan Dato Seri Najib, Nik Aziz berkata inilah perkara sampingan dan bagi beliau akan tetap dengan pendirian untuk mematuhi keputusan muktamar PAS tahun lepas.

"Saya ni bagaikan nakhoda kapal, jadi kalau tukang angkat layar nak jumpa dia kena jumpa, tukang sauh nak jumpapun dia kena jumpa juga ,nakhoda kapal ni dia kena jumpa semua anak kapalnya.

"Namun keputusan dia mestilah anak kapal kena patuh, begitu juga keputusan saya ialah kita semua kena mematuhi keputusan di Muktamar PAS di Ipoh tahun lalu yang ingin memperkukuhkan Pakatan Rakyat dan kalau ada nak buat selain dari itu, ia mestilah melalui keputusan mesyuarat semua pimpinan parti"katanya lagi.

Mohd Ali: Detik paling mencabar dalam hidup saya...

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menyifatkan larangan beliau bertanding jawatan presiden Umno minggu depan sebagai "satu detik yang paling mencabar dalam hidupnya" selepas 41 tahun berkhidmat dalam parti.

Semalam, panel rayuan Umno menolak rayuan Mohd Ali terhadap keputusan Lembaga Disiplin Umno itu.

Dalam mesyuaratnya semalam, panel tersebut sebulat suara memutuskan untuk mengekalkan larangan terhadap Mohd Ali untuk bertanding selepas didapati bersalah terlibat dalam politik wang.

Pengerusi panel rayuan itu Tan Sri Mohd Zuki Kamaluddin berkata keputusannya berkuatkuasa serta-merta.

"Inilah adalah satu detik yang paling mencabar dalam hidup saya," kata Mohd Ali apabila ditanya reaksi terhadap keputusan tersebut.

Namun, tegasnya, beliau akan terus memberi sumbangan kepada parti, agama dan bangsa.

Tidak patah semangat

Mohd Ali berkata, itulah niat awalnya ketika menyertai umno sejak berumur 18 tahun dan tidak akan patah semangat walaupun menerima hukuman dilarang bertanding jawatan timbalan presiden Umno.

Selasa lalu, Mohd Ali dilarang bertanding jawatan tersebut selepas Lembaga Disipli Umno mendapatinya melanggar tataetika parti fasal 10.1 selepas ejen-ejennya terbabit dalam rasuah dan sogokan politik.

"Apa-apa juga yang berlaku, saya sudah bersedia kerana niat saya berparti adalah semata-mata untuk agama, bangsa dan negara.

"Apa yang penting kita perlu ikhlas dalam perjuangan," kata Mohd Ali kepada pemberita ketika menghadiri satu majlis perkahwinan di Taman Saujana Indah, Bukit Katil, Melaka hari ini.

Beliau umno supreme council special meeting 260809 ali rustamjuga dijemput memberi ceramah kepada Kelab Umno luar negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang ini dan merasmikan kursus pemimpinan kelab tersebut pada sebelah malamnya di tempat yang sama.

Naib presiden Umno itu juga mahu parti diutamakan dan memastikan peralihan kuasa berjalan lancar.

Terima keputusan

Sambil menerima keputusan itu dengan hati terbuka, Mohd Ali mahu penyokongnya menerima keputusan lembaga disiplin panel rayuan tersebut.

Beliau juga berkata, walaupun mungkin mereka kecewa dengan keputusan tersebut, namun sokongan terhadap parti wajar diberi keutamaan ketika umno berdepan dengan pelbagai cabaran dan debaran berlakunya peralihan kuasa.

"Dulu kita ada tiga calon iaitu seorang ketua menteri dan dua orang lagi bekas menteri besar. Kini tinggal bekas menteri besar. Perwakilan bijak dan terserah kepada kebijaksanaan mereka untuk membuat pilihan.

"Bagi saya, saya akan terus memberi sokongan padu kepada parti dan kepada kedua-dua calon yang bertanding kerana kedua-duanya adalah sahabat saya di dalam dan luar parti.

"Selain itu, pastikan peralihan kuasa pada akhir bulan ini atau awal bulan depan berjalan lancar," katanya.

Fairus letak jawatan timbalan KM

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohamad Fairus Khairuddin telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Menurut The Star, tiada alasan yang diberikan bagi peletakan jawatan tersebut serta jawatan exco kerajaan negeri.

mohammad fairus penang deputy cm deny resign 160708 01Manakala Lim pula berkata beliau telah menerima peletakan jawatan Mohamad Fairus berkuatkuasa pada 8 April depan.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan sebab-sebab Mohamad Fairus meletak jawatan tersebut.

Fairus bagaimanapun akan kekal sebagai Adun Penanti dan juga anggota PKR.

Semalam, Lim dilaporkan berkata, beliau meluluskan permohonan cuti Mohamad Fairus Khairuddin atas permintaan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lanjut pengajian

Bagaimanapun, ketika dihubungi melalui SMS, Fairus berkata beliau meletak jawatan untuk "melanjutkan pengajiannya".

"Sebabnya adalah untuk melanjutkan pelajaran,," kata SMS yang dihantar kepada wartawan Malaysiakini di Pulau Pinang, Low Chia Ming.

Bagaimanapun, Fairus tidak menjelaskan mengenai pengajiannya dan bila beliau akan melanjutkan pengajiannya.

anwar ibrahim 290408Petang tadi, Anwar Ibrahim memberitahu sidang akhbar di Subang bahawa Fairus meletak jawatan atas sebab yang sama.

"Beliau telah menyuarakan hasratnya untuk melanjutkan pengajiannya," kata Anwar.

Fairus, 33, adalah antara yang termuda pernah memegang jawatan timbalan ketua menteri dalam sejarah Pulau Pinang.

Bagaimanapun "masalah sikap" sepertimana yang didakwa oleh bekas pegawai-pegawainya, telah menjadikannya sasaran kritikan sejak kebelakangan ini.

Beliau bagaimanapun menafikannya, dengan berkata ramai yang cemburu kerana beliau dilantik memegang jawatan tersebut.

Fairus adalah lulusan ijazah dalam Sains Politik dan Hubungan Antarabangsa dari Universiti Islam Antarabangsa and Sijil Pengajian Syariah dari Universiti Malaya.

Beliau juga lulusan ijazah sarjana dalam Pengajian Strategik dan Pertahanan serta MBA dalam Pengurusan Strategik, dari sebuah universiti di United Kingdom.

Peletakan jawatan Fairus tidak mengejutkan kerana sebelum ini spekulasi tersebar luas yang beliau akan berbuat demikian kerana prestasi yang tidak memuaskan.