Ahad, 22 Mac 2009

Fairus letak jawatan timbalan KM

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohamad Fairus Khairuddin telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Menurut The Star, tiada alasan yang diberikan bagi peletakan jawatan tersebut serta jawatan exco kerajaan negeri.

mohammad fairus penang deputy cm deny resign 160708 01Manakala Lim pula berkata beliau telah menerima peletakan jawatan Mohamad Fairus berkuatkuasa pada 8 April depan.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan sebab-sebab Mohamad Fairus meletak jawatan tersebut.

Fairus bagaimanapun akan kekal sebagai Adun Penanti dan juga anggota PKR.

Semalam, Lim dilaporkan berkata, beliau meluluskan permohonan cuti Mohamad Fairus Khairuddin atas permintaan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lanjut pengajian

Bagaimanapun, ketika dihubungi melalui SMS, Fairus berkata beliau meletak jawatan untuk "melanjutkan pengajiannya".

"Sebabnya adalah untuk melanjutkan pelajaran,," kata SMS yang dihantar kepada wartawan Malaysiakini di Pulau Pinang, Low Chia Ming.

Bagaimanapun, Fairus tidak menjelaskan mengenai pengajiannya dan bila beliau akan melanjutkan pengajiannya.

anwar ibrahim 290408Petang tadi, Anwar Ibrahim memberitahu sidang akhbar di Subang bahawa Fairus meletak jawatan atas sebab yang sama.

"Beliau telah menyuarakan hasratnya untuk melanjutkan pengajiannya," kata Anwar.

Fairus, 33, adalah antara yang termuda pernah memegang jawatan timbalan ketua menteri dalam sejarah Pulau Pinang.

Bagaimanapun "masalah sikap" sepertimana yang didakwa oleh bekas pegawai-pegawainya, telah menjadikannya sasaran kritikan sejak kebelakangan ini.

Beliau bagaimanapun menafikannya, dengan berkata ramai yang cemburu kerana beliau dilantik memegang jawatan tersebut.

Fairus adalah lulusan ijazah dalam Sains Politik dan Hubungan Antarabangsa dari Universiti Islam Antarabangsa and Sijil Pengajian Syariah dari Universiti Malaya.

Beliau juga lulusan ijazah sarjana dalam Pengajian Strategik dan Pertahanan serta MBA dalam Pengurusan Strategik, dari sebuah universiti di United Kingdom.

Peletakan jawatan Fairus tidak mengejutkan kerana sebelum ini spekulasi tersebar luas yang beliau akan berbuat demikian kerana prestasi yang tidak memuaskan.

Tiada ulasan: