Khamis, 5 Mac 2009

MAIN boleh bertindak

khbar Herald Catholic boleh dikenakan tindakan oleh majlis-majlis agama Islam negeri (MAIN) jika terus berdegil mahu menggunakan empat perkataan iaitu Allah, Baitullah, solat dan Kaabah dalam terbitannya.

Akhbar untuk penganut agama Kristian itu juga boleh dikenakan tindakan jika diedarkan di luar kawasan Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin berkata, MAIN boleh mengambil tindakan menghalang penyebaran agama lain kepada orang Islam.

''Mana-mana agama lain tidak boleh menyebarkan agama tersebut kepada umat Islam dan fatwa mengenainya telah diwartakan di negeri-negeri, bahkan ada peruntukan bagi larangan tersebut.

''Sebagai contoh, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) boleh mengambil tindakan ke atas Herald Catholic jika menyebarkan terbitan menggunakan perkataan Allah mengikut Akta 505 kerana menyebarkan agama lain kepada umat Islam," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tegas beliau, terdapat banyak undang-undang, akta dan enakmen di negeri-negeri yang boleh digunakan untuk menghalang sebarang bentuk penyalahgunaan empat perkataan itu oleh pihak tertentu.

Abdullah memberitahu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak boleh mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak ekoran bidang tugasnya hanya sebagai penyelaras dan penasihat kepada MAIN.

''Namun nasihat Jakim biasanya didengar kerana pentadbiran agama Islam di negara ini terletak di bawah Majlis Raja-Raja dengan urus setianya adalah Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi," katanya.

Tiada ulasan: