Isnin, 15 Disember 2008

Syarikat korporat dipelawa majukan tanah MPKB-BRI

Mana-mana syarikat korporat termasuk Digi Telecomunication dipelawa membangunkan tanah milik Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di Lembah Sireh.

Tanah tersebut seluas 15 ekar diberi kerajaan negeri kepada MPKB BRI untuk dimajukan dengan projek pembangunan.

Yang Dipertua MPKB-BRI, Shafie Ismail berkata, pihaknya membuka peluang kepada mana-mana syarikat korporat membangunkan tanah tersebut yang terletak di kawasan pertumbuhan baru di persisiran Sungai Kelantan.

"Lokasinya cukup strategik kerana kedudukan berhampiran Jambatan Sultan Yahya Petra dan Pasaraya Tesco," katanya ketika merasmikan Majlis Korban Perdana anjuran MPKB-BRI dengan kerjasama Digi di Lembah Sireh, baru-baru ini.

Turut hadir Pengurus Teknologi Digi Wilayah Timur, Abdul Rashid Samdin.

Pada majlis itu beliau juga mengucap terima kasih kepada Digi kerana menyumbang sebanyak 20 ekor lembu yang dikorbankan pada program tersebut.

Daging korban terbabit kemudiannya diagih-agih kepada penduduk miskin yang tingggal di kawasan MPKB-BRI.

Shafie juga berharap Digi meneruskan kerjasama dengan MPKB-BRI bagi menaja pelbagai program lain bagi manfaat orang ramai pada masa akan datang.

5,000 pemuda akan bantu menangkan PAS di Kuala Terengganu

Kira-kira 5,000 pemuda PAS tegar akan turun membantu gerak kerja Pilihan Raya Kecil P.36 Kuala Terengganu menjelang 17 Januari akan datang.

Kenyataan tersebut dibuat Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Azman Shafawi Abdul Rani kepada Harakahdaily ketika menjelaskan mengenai perkembangan operasi pemuda PAS.

"Kita akan menggerakkan pemuda PAS dengan kekuatan seramai 5,000 orang petugas yang komited bagi membantu kerja-kerja PRK kali ini," katanya.

Jelasnya, semua jentera di semua peringkat telah pun digerakkan dan kesemua kawasan diarahkan untuk turun membuka bilik gerakan masing-masing.

"Pemuda PAS negeri sendiri akan melancarkan Jentera PRK Pemuda pada 20 Disember ini dengan perancangan mengadakan lebih daripada 50 program bagi menjayakan operasi dan kempen kita.

"Kami juga bekerjasama dengan Pemuda Pakatan Rakyat yang akan turun bersama-sama bagi membantu usaha mencapai kemenangan ini," ujarnya.

Ditanya mengenai peluang, Azman yang juga merupakan Naib Ketua Pemuda PAS Pusat menjelaskan ia cerah memandangkan PAS telah berjaya memenangi tiga Dun di dalam parlimen tersebut.

Pemuda PAS juga katanya, telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Negeri Terengganu agar mereka menjalankan tugas dengan profesional dan tidak bersifat berat sebelah.

"Apa yang dibimbangi, sekiranya Dato' Wan Farid dipilih sebagai calon, beliau yang juga merupakan Timbalan Menteri di Kementerian Dalam Negeri menggunakan kuasa untuk kepentingan dirinya.

"Jadi, kita minta supaya polis bertindak dengan profesional dan adil," katanya lagi.

Azman berkata, isu pengundi hantu mungkin akan timbul lagi memandangkan daftar pemilih yang digunakan merupakan daftar pemilih yang lama.

Mengulas mengenai kempen PRK ini juga ujarnya, telah dimulakan dengan pemberian wang royalti minyak kepada Terengganu sebagai gula-gula kepada pengundi khususnya di Kuala Terengganu.

"Itupun kita belum pasti adakah rakyat Terengganu akan dapat menikmatinya atau pihak tertentu sahaja," tegasnya.

PAS katanya, mengalu-alukan kedatangan kesemua jentera daripada negeri-negeri termasuk daripada rakan-rakan Pakatan Rakyat bagi membantu merampas kerusi Parlimen Kuala Terengganu daripada BN.

Ali Rustam terdesak tarik balik larangan lawat Kelantan

Lapan tahun lalu, Ketua Menteri Melaka, Dato' Seri Mohd Ali Rustam melarang kakitangan kerajaan negeri terbabit melawat Kelantan, namun beberapa hari lalu tegahan itu tiba-tiba ditarik balik.

Apakah motif tersebut, sedangkan tindakannya sebelum ini jelas bersifat dendam politik.

Biar pun larangan itu mengambil masa selama lapan tahun, namun ia seperti tidak pernah diendahkan kakitangan kerajaan Melaka apabila banyak rombongan datang di sini ketika larangan masih berkuatkuasa.

Malah, Mohd Ali sendiri keluar masuk kampung di Pasir Mas ketika berlangsung pilihan raya kecil Dun Pengkalan Pasir pada Disember 2005.

Bagi Naib Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman, Ketua Menteri Melaka itu disifatkan sebagai seorang yang hipokrit dan menjadi pengampu besar dalam Umno.

"Negeri-negeri lain yang juga diperintah Barisan Nasional tidak pernah melarang kakitangan mereka melawat Kelantan seperti dilakukan Mohd Ali.

"Tindakan terbarunya tidak lain lagi kerana mahu menonjolkan diri kononnya sebagai seorang pemimpin yang terbuka bagi melayakkannya dipilih sebagai Timbalan Presiden Umno pada pemilihan Mac depan," katanya di sini.

Baru-baru ini Mohd Ali mengumumkan menarik balik larangan kepada kakitangan kerajaan Melaka daripada melawat Kelantan ketika melancarkan Tahun Melawat Melaka di sini.

Abdul Latif berkata, Dewan Pemuda PAS Negeri tidak nampak Ketua Menteri Melaka itu ikhlas apabila tiba-tiba menarik balik larangan kakitangannya daripada melawat Kelantan.

"Sebenarnya keputusannya itu mempunyai hasrat terselindung bagi mencari penyokong di kalangan perwakilan Umno di negeri ini untuk mencapai impiannya menjadi Timbalan Perdana Menteri," ujarnya.

Bagaimanapun beliau menyambut baik tindakan dilakukan Mohd Ali dan mendoakan semoga diberi hidayah oleh Allah Taala supaya kembali ke landasan Islam sebenar.

****Ni takde tujuan lain, semuanya nak cari pengaruh dalam pemilihan nanti supaya dia dpt tempat dan menang jawatan TPM tue.....satu lagi mungkin gak sebagai tanda terima kasih dia pada perwakilan dan bahagian dalam negeri kelantan y mencalonkan dia ni.....benda2 macam ni setakat congak dalam kepala je, budak2 pun bole tau apa maksud dia, tujuan dia....
semuanya utk publisiti dalam kempen dia.....apa2 pun tqvm la....