Isnin, 15 Disember 2008

Syarikat korporat dipelawa majukan tanah MPKB-BRI

Mana-mana syarikat korporat termasuk Digi Telecomunication dipelawa membangunkan tanah milik Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di Lembah Sireh.

Tanah tersebut seluas 15 ekar diberi kerajaan negeri kepada MPKB BRI untuk dimajukan dengan projek pembangunan.

Yang Dipertua MPKB-BRI, Shafie Ismail berkata, pihaknya membuka peluang kepada mana-mana syarikat korporat membangunkan tanah tersebut yang terletak di kawasan pertumbuhan baru di persisiran Sungai Kelantan.

"Lokasinya cukup strategik kerana kedudukan berhampiran Jambatan Sultan Yahya Petra dan Pasaraya Tesco," katanya ketika merasmikan Majlis Korban Perdana anjuran MPKB-BRI dengan kerjasama Digi di Lembah Sireh, baru-baru ini.

Turut hadir Pengurus Teknologi Digi Wilayah Timur, Abdul Rashid Samdin.

Pada majlis itu beliau juga mengucap terima kasih kepada Digi kerana menyumbang sebanyak 20 ekor lembu yang dikorbankan pada program tersebut.

Daging korban terbabit kemudiannya diagih-agih kepada penduduk miskin yang tingggal di kawasan MPKB-BRI.

Shafie juga berharap Digi meneruskan kerjasama dengan MPKB-BRI bagi menaja pelbagai program lain bagi manfaat orang ramai pada masa akan datang.

Tiada ulasan: