Selasa, 23 Disember 2008

Khalid diarah bayar RM120,000 pada Mahfuz

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan Utusan Melayu Bhd dan bekas Ketua Pengarangnya, Datuk Khalid Mohamad membayar RM120,000 kepada Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar dalam kes saman fitnah yang difailkan oleh pemimpin PAS tersebut.

Mahfuz, selaku plaintif, memfailkan saman itu pada 2001 dengan menamakan Ketua Pengarang Kumpulan akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia Datuk Khalid Mohd (ketika itu) dan penerbit akhbar harian itu Utusan Melayu Berhad sebagai defendan-defendan, lapor Bernama.

Dalam pernyataan tuntutannya plaintif mendakwa defendan pertama telah dengan sengaja dan niat jahat membenarkan penerbitan dan percetakan kata-kata yang mengandungi unsur fitnah terhadap plaintif yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia pada 4 Mac 2001.

Plaintif mendakwa penerbitan perkataan-perkataan itu menyebabkan dia menanggung malu dan menjejaskan kredibiliti di kalangan masyarakat.

Plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi melampau dan mengarahkan defendan meminta maaf serta menarik balik tuduhan fitnah terhadapnya.

Defendan-defendan dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada Mac 2002 pula menyatakan artikel "Demonstrasi Mahfuz isytihar bersama Keadilan" yang disiarkan itu adalah benar dari segi kandungan dan fakta dan menafikan bahawa ia bersifat fitnah.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 23 Disember bagi keputusan saman fitnah ahli Parlimen, Pokok Sena Mahfuz Omar terhadap Utusan Melayu Berhad dan ketua pengarang kumpulan akhbar syarikat itu.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Mohd Yazid Mustafa menetapkan tarikh itu setelah mendengar hujahan peguam Mohamed Hanipa Maidin, bagi pihak Mahfuz, dan M Reza Hassan bagi kedua-dua defendan.

Tiada ulasan: