Tafsiran Tan Sri Aziz Abdul Rahman bahawa “maksud bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi” dalam Perkara 152 Perlembagaan negara turut merangkum bidang pendidikan sebagai bidang urusan rasmi negara. Undang-undang negara yang secara khusus dan secara terang-terangan dilanggar ialah Akta Pendidikan 1996 (Perkara 17(1)) yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan di negara ini.
Kementerian Pelajaran pula telah menganjurkan persidangan meja bulat kononnya untuk mendapatkan maklumbalas daripada semua pihak. Malangnya tujuh pilihan yang dirumuskan dalam pertemuan meja bulat pada 16 Disember 2008 itu kabur dan mengelirukan sehingga boleh menyusahkan ibubapa dan pelajar-pelajar selepas ini.
PPSMI ini telah dilaksanakan bermula pada tahun 2003 hinggalah sekarang. Beratus-ratus bantahan telah dibuat melalui persidangan dan kenyataan media daripada pelbagai golongan seperti GAPENA, Kumpulan Perihatin, PKPIM, Dong Jiao Zong, Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional, UMNO Johor, Pemuda PAS dan lain-lain lagi.
Ramai individu telah memberi pandangannya termasuk Menteri Luar, Dato’ Seri Dr. Rais Bin Yatim; Bekas Menteri Besar Negeri Selangor, Dato’ Muhammad Khair Toyo; Ahli Parlimen Batu Pahat, YB. Dr. Fuad Zarkasi; bekas Pengerusi MAS, Tan Seri Abdul Aziz Abdul Rahman; Bekas Menteri Pendidikan, Tun Abd Rahman Yaakob; bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr. Hassan Ahmad Datuk Dr. Zainal Kling; Tan Sri Prof Emeritus Ismail Hussein; Prof. Dr Awang Sariyan dan ramai lagi. Malangnya pihak kerajaan khususnya Menteri Pelajaran, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein tidak langsung menunjukkan langkah yang positif ke arah mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu.
DPP Pusat beranggapan sudah sampai masanya individu dan NGOs ini memperkukuhkan hubungan, merangka pelan tindakan bersama dan melangkah ke tahap kedua bantahan ini. DPP Pusat telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Januari 2006 melalui Tetuan Mohamed Hanipa & Associates. Kes ini masih sedang berjalan di mahkamah.
Itulah ketegasan PAS dalam memperjuangkan isu ini. Bagi mengajar orang-orang politik pendekatan sekadar bantahan dalam persidangan yang kemudiannya dikeluarkan dalam media ini sudah tidak sesuai lagi.
Orang politik sangat faham bahawa selagi bantahan ini tidak menggugat undi mereka dalam pilihanraya umum atau pemilihan dalam perhimpunan agong parti mereka maka selagi itulah mereka tidak akan berganjak. Tapi orang politik ini cukup cemas jika individu dan NGOs ini berani meredah onak dan duri berjuang di luar medan persidangan. Individu dan NGOs ini perlu lebih agresif lagi termasuk melebarkan pemahaman ini di kawasan luar bandar di mana impak negatif PPSMI ini lebih terkesan kepada pelajar-pelajar di sana.
Walaubagaimana pun sesuatu yang perlu diingat adalah bantahan ini adalah sesuatu yang boleh menggugat kerajaan. Pihak kerajaan akan menggunakan semua kekuatan media dan akta-aktanya untuk menekan para pejuang ini. Tidak mustahil ISA akan digunakan. Kalau pejuang-pejuang kemerdekaan terdahulu berani berhadapan dengan tekanan pihak penjajah yang jauh lebih kejam daripada pemerintah sekarang, mengapa pula kita yang kononya berjiwa merdeka takut terhadap tekanan ini?
Mengapa kita yang kononnya lebih bijak ini tiba-tiba menjadi dayus dalam memperjuangkan isu-isu rakyat ini? Jangan pula apabila dipujuk dan digertak oleh pihak tertentu maka individu dan NGOs yang terbabit membuat pusingan ’u-turn’ berpaling balik ke belakang. Akhirnya bahasa Melayu akan terus dipinggir dalam negara ini. Ingatlah, bahawasanya bahasa itu jiwa bangsa!
SUHAIZAN KAIAT
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Pusat
019-7285174
Tiada ulasan:
Catat Ulasan