Sabtu, 27 Disember 2008

Rahim layak tanding naib presiden

Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik mendapat pencalonan ke-20 hari ini untuk layak bertanding jawatan naib presiden Umno Mac depan.

abdul rahim tamby chik interview 030805 thinkingBeliau yang juga ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, mendapat pencalonan tersebut dari Umno bahagian Seremban yang bermesyuarat hari ini.

Ini bermakna, sembilan calon layak bertanding jawatan tersebut. Lapan calon lain yang sudah layak sebelum ini ialah Datuk Hishammuddin Husein yang mendapat (142 pencalonan), Datuk
Ahmad Zahid Hamidi (103), Datuk Khaled Nordin (79), Datuk Shafie Apdal (78), Datuk Syed Hamid Albar (30),Tan sri Mohd Isa Samad (26), Datuk Jamaluddin Jarjis (25) dan Datuk Rais Yatim (25).

Selain Rahim, Umno Seremban turut mencalonkan Isa dan Rais untuk jawatan naib presiden.

Manakala bahagian tersebut mencalonkan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk jawatan timbalan presiden.

Rahim merupakan pengerusi Risda. Beliau dilahirkan di Pengkalan Balak, dekat Masjid Tanah di Melaka dan lulusan ijazah ekonomi gunaan dari Universiti Malaya.

Ketika menjadi ketua menteri dari 1982 hingga 1994, bekas ketua Pemuda Umno itu menjadikan Melaka sebuah negeri yang kuku di segi ekonominya.

Beliau berkahwin dengan Puan Sri Zabedah Abdullah dan dikurniakan empat orangg anak.

Rahim meletak jawatan ketua menteri dan ketua Pemuda Umno pada 1992 ekoran dakwaan skandal seks yang membabitkan gadis di bawah umur.

Beliau menafikan dakwaan tersebut dan Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Moktar Abdullah kemudiannya mengumumkan "tidak cukup bukti" untuk mendakwa Rahim.

Tiada ulasan: