Sabtu, 27 Disember 2008

Peluang PAS dan calon bebas...

Dengan mengambil kira keputusan pilihanraya umum Mac lalu, PAS akan memastikan kehadiran calon-calon bebas tidak akan merosakkan sekali lagi peluangnya untuk memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dalam pilihanraya kecil 17 Januari ini.

Mac lalu, calon PAS, Mohamad Sabu kalah tipis di tangan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Razali Ismail bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Razali menewaskan Mohamad yang juga naib presiden PAS dengan 628 undi, sedangkan calon bebas, Maimun Yusuf mendapat 685 undi.

Kali ini, PAS akan memastikan kehadiran calon-calon bebas tidak akan merosakkan peluang parti itu untuk merampas kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari depan.

Tiga orang telah menyatakan hasrat mereka untuk bertanding sebagai calon bebas.

Mereka ialah Maimun dan dua orang lagi, iaitu usahawan, Mohd Azlan Ismail dan Isma Airfath Hassanuddin dari Rantau Panjang, Kelantan.

Manakala parti serpihan PAS - Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) - telah menamakan bekas pemimpin PKR, Haron Abdul Rahman sebagai calonnya.

'Hilang deposit'

Parti itu nampaknya tidak kisah dengan kegagalan calonnya di Permatang Pauh sebelum ini untuk mendapat undi yang cukup bagi mendapat balik wang deposit.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali, ketika dihubungi, melihat pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu lebih menjurus kepada pertembungan PAS dan BN.

"Pertandingan utama masih antara BN dan PAS," katanya sambil menambah parti itu yakin menang walaupun BN telah menamakan Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Ketua Umno Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai calonnya.

Katanya, kehadiran calon bebas dan calon Akim tidak akan menjejaskan peluang PAS untuk menang kali ini.

Mustafa yang lebih mesra dengan panggilan 'Cikgu Pa' dikatakan salah seorang daripada empat individu yang mungkin dipilih sebagai calon PAS dalam pilihanraya kecil tersebut.

Yang lainnya ialah Timbalannya, Datuk Wan Mutalib Embong; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Buruk, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan seorang ahli perniagaan, Dr Mohd Kazani Abdullah.

Syed Azman dikatakan sebagai calon pilihan dan pernah memenangi kerusi parlimen Kuala Terengganu dalam pilihanraya 1999. Beliau tewas kepada Razali dalam pilihanraya umum 2004.

Tiada ulasan: