Khamis, 5 Mac 2009

MAIN boleh bertindak

khbar Herald Catholic boleh dikenakan tindakan oleh majlis-majlis agama Islam negeri (MAIN) jika terus berdegil mahu menggunakan empat perkataan iaitu Allah, Baitullah, solat dan Kaabah dalam terbitannya.

Akhbar untuk penganut agama Kristian itu juga boleh dikenakan tindakan jika diedarkan di luar kawasan Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin berkata, MAIN boleh mengambil tindakan menghalang penyebaran agama lain kepada orang Islam.

''Mana-mana agama lain tidak boleh menyebarkan agama tersebut kepada umat Islam dan fatwa mengenainya telah diwartakan di negeri-negeri, bahkan ada peruntukan bagi larangan tersebut.

''Sebagai contoh, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) boleh mengambil tindakan ke atas Herald Catholic jika menyebarkan terbitan menggunakan perkataan Allah mengikut Akta 505 kerana menyebarkan agama lain kepada umat Islam," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tegas beliau, terdapat banyak undang-undang, akta dan enakmen di negeri-negeri yang boleh digunakan untuk menghalang sebarang bentuk penyalahgunaan empat perkataan itu oleh pihak tertentu.

Abdullah memberitahu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak boleh mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak ekoran bidang tugasnya hanya sebagai penyelaras dan penasihat kepada MAIN.

''Namun nasihat Jakim biasanya didengar kerana pentadbiran agama Islam di negara ini terletak di bawah Majlis Raja-Raja dengan urus setianya adalah Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi," katanya.

Speaker DUN Perak tidak kebal

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai kuasa menyiasat dakwaan salah laku Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar berhubung tindakannya menggantung Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir dan enam Exco kerajaan negeri daripada menghadiri sidang DUN.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berkata, pihaknya berhak berbuat demikian kerana beliau termasuk dalam kategori penjawat awam.

“Sivakumar tidak kebal daripada tindakan undang-undang jika dibuktikan melakukan sesuatu di luar amalan biasa tugas rasmi beliau,” tegasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis tamat latihan asas Pegawai SPRM (penguasa dan penolong penguasa) Siri 3/2008 dan kenaikan pangkat penguasa suruhanjaya itu, di sini hari ini.

Ahmad Said mengulas dakwaan sesetengah pihak bahawa SPRM tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan siasatan terhadap Sivakumar.

Selasa, 24 Februari 2009

Hamas, Fatah wajar rebut peluang berdamai

SUASANA politik di Israel kini tidak menentu apabila tidak ada mana-mana parti politik utama di negara itu mencatat kemenangan mutlak pada pilihan raya negara itu pada 10 Februari lalu.

Parti Likud pimpinan Benjamin Netanyahu yang diberi mandat membentuk kerajaan oleh Presiden Israel, Shimon Peres kini bekerja keras untuk membentuk kerajaan campuran melibatkan pemimpin-pemimpin parti utama termasuk pemimpin Parti Kadima, Tzipi Livni yang enggan menyertai kerajaannya.

Pada masa yang sama, rantau itu, terus mencuri perhatian dunia dengan usaha Mesir untuk mendamaikan Hamas dan Fatah - dua puak dalam Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang bertelagah.

Mesir yang kecewa dengan sikap Israel menggagalkan usahanya untuk membawa Hamas dan rejim Zionis Israel itu bersetuju dengan pelaksanaan gencatan senjata berpanjangan di Genting Gaza, kini beralih tumpuan untuk mendamaikan Hamas dan Fatah.

Keputusan Kabinet Israel itu, sekali gus memberi tamparan hebat kepada usaha Mesir untuk membawa Palestin dan Israel menyambung semula proses rundingan damai yang sudah lama terbantut.

Kegagalan itu berpunca daripada sikap, Israel pada saat-saat akhir mengubah pendirian memasukkan syarat penyerahan askarnya Gilad Shalit yang ditahan oleh pejuang Hamas sejak tahun 2006 sebagai syarat baru bagi mewujudkan gencatan senjata berpanjangan di Gaza.

Mesir kini nampak bersungguh-sungguh berusaha mendamaikan kedua-dua puak dalam PLO itu. Hamas dan Fatah dijadual bertemu di Kaherah pada minggu ini bagi meneruskan rundingan damai antara mereka ke arah membentuk kerajaan perpaduan Palestin.

Selain Mesir, Syria yang merupakan sekutu kuat Hamas turut menunjukkan kesediaan untuk memainkan peranan bagi memujuk Hamas supaya bersedia berdamai dan membentuk kerajaan perpaduan Palestin.

Malahan beberapa pemimpin Hamas, terutama pemimpin utamanya Khaled Meshaal kini berada dalam buangan di Damsyik.

Dalam situasi politik Israel yang masih kabur dengan Netanyahu sedang berusaha keras untuk membentuk kerajaan campuran yang kukuh dan meluas melibatkan parti-parti penting, usaha Mesir dan Syria juga dilihat sangat penting bagi mendamaikan kedua-dua puak pejuang Palestin itu.

Pertamanya, bagi membolehkan pejuang Palestin bersatu berdepan dengan sebarang serangan baru dan tindakan provokasi yang bakal dicetuskan oleh kerajaan baru pimpinan Netanyahu.

Duta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Asia Barat, Robert Serry baru-baru ini memberi amaran keganasan boleh meletus semula dengan lebih dahsyat di Genting Gaza kecuali gencatan senjata berpanjangan diwujudkan antara Israel dan Palestin.

Keduanya, bagi membolehkan proses rundingan damai Israel-Palestin disambung semula dengan penduduk Palestin mempunyai wakil yang diterima oleh semua puak dalam PLO.

Dalam situasi ini, Hamas dan Fatah harus merebut peluang tersebut untuk berdamai ketika Israel, terutama Netanyahu sedang sibuk mengusahakan pembentukan kerajaan campuran yang stabil dan meluas.