Jumaat, 7 November 2008

Arahan Gani berjaya dicabar, kes Anwar kekal di mahkamah sesyen

Kemenangan moral pusingan pertama telah berjaya diperolehi oleh Penasihat KeADILan Dato' Seri Anwar Ibrahim apabila berjaya mencabar 'arahan' Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail untuk membicarakan kes dakwaan liwat di Mahkamah Tinggi.

Sebaliknya Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini memutuskan perbicaraan kes Anwar boleh didengar di mahkamah yang sama.

Keputuasan itu diumumkan jam 3.40 petang tadi oleh Hakim S.Komathy Suppiah sekaligus menyatakan sijil perakuan yang ditandatangani Gani Patail untuk memindahkan kes tersebut sebagai tidak sah.

Hujah bantahan oleh pihak pembelaan pada awal melibatkan persoalan mengenai tandatangan Peguam Negara itu pada sijil perakuan yang dilampirkan kepada mahkamah untuk memindahkan kes tersebut di bawah Seksyen 418A Kanun Tatacara Jenayah sedangkan Gani kini disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) setelah Anwar membuat laporan polis terhadapnya.

Keputusan tersebut turut mengambil kira bahawa Anwar sedang berdepan dengan Gani dalam kes konspirasi atas dakwaan liwat 1998 beserta Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan di samping janji Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa kedua-dua individu terbabit tidak akan terlibat sama sekali dalam kes beliau yang terkini.

Anwar yang ditemui wartawan melahirkan rasa syukur dan kegembiraannya di atas keputusan tersebut dimana pihak mahkamah telah menerima hujah pembelaan beliau yang melahirkan rasa kebimbangan terhadap Gani dan Musa yang bakal mempengaruhi perjalanan dan perbicaraan kes.

"Saya yakin dan kagum dengan keberanian yang ditunjukkan menandakan mahkamah membuat keputusan tanpa dibayangi sebarang tekanan mana-mana pihak khususnya yang melibatkan konspirasi politik," katanya di luar kamar mahkamah.

Sementara itu Anwar turut mengucapkan tahniah kepada pembebasan Penulis blog Raja Petra Kamaruddin daripada tahanan ISA dan pembebasan itu turut diraikan oleh seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keadilan.

Turut sama mengiringi Anwar ialah isterinya Datin Seri Wan Azizah, anak-anaknya termasuk Nurul Izzah, Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin dan lebih 50 penyokong beliau yang sudah berada di perkarangan Mahkamah Jalan Duta semenjak 3.00 petang lagi.

Anwar diwakili oleh barisan peguam yang diketuai oleh Sulaiman Abdullah. Turut serta peguam Sivarasah, N Sankara Nair, Lateefa Koya bersama beberapa peguam lain.

Dalam pada itu Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantaimelahirkan rasa syukur dan menganggapnya sebagai kemenangan dan kejayaan moral pusingan pertama kepada ayahnya Anwar yang didakwa atas tuduhan yang pernah didakwa pada 10 tahun lalu.

Pada 7 Ogos lalu, Anwar mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan melakukan hubungan seks di luar tabii terhadap bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada petang 26 Jun lalu di sebuah bilik di Desa Damansara Condominium, Bukit Damansara.

Jika disabitkan kesalahan bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan, Anwar boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Tiada ulasan: