Sabtu, 8 November 2008

UMNO terima 900 aduan politik wang

Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail meminta pucuk pimpinan UMNO segera menyelamatkan parti itu daripada kehancuran berikutan berleluasanya politik wang pada pemilihan sekarang yang disifatkan paling serius dengan lebih 900 aduan telah diterima setakat ini.

Menurut Tengku Ahmad Rithauddeen, beliau sudah pun berulang kali melaungkan amaran mengenai politik wang, malangnya lebih banyak aduan diterima kali ini berbanding pemilihan UMNO empat tahun lalu.

“Saya tidak ingat jumlahnya secara tepat tetapi rasanya sudah lebih 900 aduan mengenai politik wang diterima setakat ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pemilihan di peringkat 191 bahagian UMNO di seluruh negara dan pencalonan untuk jawatan-jawatan tertinggi parti itu telah bermula sejak 9 Oktober lalu dan dijadualkan berakhir Ahad ini.

Jumaat lalu, Majlis Tertinggi (MT) UMNO memberi amaran kepada ejen pelobi, pengurus kempen dan perayu undi calon-calon pemilihan UMNO yang berada di hotel-hotel sekitar ibu negara dan negeri-negeri supaya pulang ke bahagian masing-masing sebelum dikesan oleh pemantau serta dikenakan tindakan.

Ejen pelobi, pengurus kempen dan perayu undi calon-calon dipercayai menjadi pihak yang menyalurkan wang kepada perwakilan peringkat bahagian untuk membuat pencalonan calon-calon tertentu atau menolak mana-mana calon pesaing.

Tengku Ahmad Rithauddeen berkata, masalah utama dalam membanteras politik wang dalam UMNO kini ialah gejala buruk tersebut telah diterima oleh sebahagian besar ahli parti itu dan sudah menjadi satu bentuk budaya.

Beliau berkata, selagi minda pengamal politik wang dan ahli-ahli UMNO tidak berubah dan mereka sendiri tidak mahu gejala itu berlaku, agak sukar untuk menamatkan kegiatan politik wang.

“Perubahan minda ahli-ahli UMNO adalah perkara terpenting jika UMNO mahu melihat gejala tidak bermoral ini dihapuskan sepenuhnya,” tegas beliau.

Beliau mengulangi amaran bahawa mana-mana calon termasuk Ketua Bahagian UMNO yang baru dipilih dalam pemilihan tetap berhadapan dengan tindakan disiplin termasuk dilucutkan jawatan jika mereka didapati terlibat dalam politik wang.

Dalam pemilihan kali ini, tiga ketua bahagian telah dikenakan hukuman gantung jawatan dan beberapa orang lagi dikenakan tindakan amaran apabila terbabit dalam aktiviti politik wang dan sabotaj terhadap parti.

Selain itu, beberapa pemimpin lain di peringkat bahagian turut menerima nasib yang sama.

Mengikut statistik terakhir yang dikeluarkan Lembaga Disiplin UMNO pada 23 Oktober lalu, jumlah keseluruhan aduan yang diterima lembaga itu sehingga tarikh berkenaan ialah sebanyak 632 kes.

Jumlah aduan yang telah disiasat ketika itu ialah 135, sebanyak 40 aduan yang belum dimulakan siasatan, 51 aduan memerlukan dokumen tambahan, 92 aduan dalam kategori tiada tindakan lanjut dan 124 aduan bukan di bawah bidang kuasa Lembaga Disiplin.

Tiada ulasan: