Beliau, yang menjadi Menteri Pertahanan ketika pembelian itu diputuskan, mendakwa tuduhan pembangkang bahawa kerajaan berbelanja besar bagi pembelian 12 unit helikopter Eurocopter EC725 bernilai RM1.604 bilion ternyata meleset dan tidak berasas berdasarkan penilaian Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
Najib tidak pula mengulas laporan bahawa keputusan PAC yang diumumkan oleh Azmi itu tidak sebulat suara.
Beberapa anggota jawatankuasa itu berpendapat urusniaga untuk membeli Eurocopter EC725 Cougar bagi menggantikan helikopter Nuri yang berusia 42 tahun tidak dijalankan dengan sepatutnya.
Mereka memandang berat hakikat bahawa urusniaga itu hanya dibuat untuk Eurocopter.
"Tidak ada penender yang dipanggil untuk mengemukakan klarifikasi tender pada dokumen tender," Malaysian Insider memetik salah seorang anggota PAC.
Semalam, Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengecam Azmi kerana kenyataannya yang mendakwa tidak ada penyelewengan dari segi prosedur dalam pembelian Eurocopter itu.
"Keputusan yang dibuat bukan berdasarkan pandangan semua ahli PAC, ia sangat tidak adil dan tidak demokrasi apabila Azmi mendakwa keputusan tersebut adalah keputusan bersama.
"Saya juga diberitahu bahawa tiada sebarang undian dibuat sebelum keputusan itu dibuat," katanya.
Lim menyifatkan Azmi sebagai mendakwa sebagai boneka kepada beberapa kementerian tertentu dalam membuat keputusan berhubung siasatan jawatankuasa tersebut terhadap isu pembelian Eurocopter EC-725 itu.
Katanya, keputusan yang yang diumukan Azmi semalam yang mendapati tiada sebarang penyelewengan dari segi prosedur pembelian tersebut akan menyebabkan menghilangkan keyakinan rakyat terhadap PAC.
"Bagaimana beliau mendakwa tiada penyelewengan dalam prosedur urusan tender sedangkan tiada penilaian fizikal dan pandu uji dibuat terhadap helikopter berkenaan... itulah penyelewengan prosedur," katanya pada sidang media di lobi Parlimen.
Lim juga menggesa supaya Azmi menyerahkan laporan lengkap siasatan tersebut kepada Parlimen untuk dibahaskan sama ada untuk menerima atau menolak keputusan yang dibuat.
Beliau meminta Azmi bertindak sebagai pengerusi PAC yang telus tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak untuk kepentingan tertentu.
"Saya bukan minta dia undur, saya hanya mahu dia berindak sebagai pengerusi yang betul kerana pencapaiaannya kini sebagai pengerusi amat mendukacitakan," katanya.
Lim mengingatkan Azmi supaya tidak mempunyai 'pemikiran ala menteri' yang akan mempengaruhi keputusannya yang boleh mewujudkan keraguan orang ramai.
Kontroversi pembelian Eurocopter yang pertama kali dibangkitkan oleh blogger Syed Azidi Bukhari semakin hangat selepas Mentari Services Sdn Bhd mempertikaikan tatacara perolehan helikopter tersebut.
Pengerusi syarikat itu, Kapt (B) Datuk Zahar Hashim mendakwa keputusan kementerian mengeluarkan surat hasrat (LOI) kepada Eurocopter "agak luar biasa dan bertentangan dengan prosedur yang telah diamalkan selama ini."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan