Selasa, 14 Oktober 2008

apa rasionalnya diberikan DATUK kepada Shah Rukh Khan?

Apa dah jadi dengan Malaysia tanahairku ini!!. Sudahlah politik negara kian tidak menentu, kini kita dihangatkan lagi dengan berita seorang artis Bollywood iaitu Shah Rukh Khan. Beliau dikatakan salah seorang daripada 758 pemerima anugerah dan pingat sempena Harijadi Yang Dipertua Negeri Melaka yang ke-70. Pelakon Bollywood itu akan menerima Darjah Mulia Seri Melaka yang membawa gelaran Datuk. Kita bukan mahu mempertikaikan hal ini, cuma apakah rasionalnya seorang rakyat India yang hanya merupakan artis dan sesekali datang ke Malaysia untuk menghiburkan peminatnya diberi anugerah sedemikian?.

Apakah jasa-jasa yang telah disumbangkan kepada rakyat Malaysia amnya dan Melaka khasnya. Sungguh malang nasib rakyat Melaka bila mendapat "Sultan @ Yang Dipertua Negeri" seperti Khalil Yaakob ini. Rosak benar masa depan rakyat Melaka bila seorang pemimpin UMNO yang cukup "sinonim" dengan kes rasuahnya itu diangkat ke kedudukan semulia itu. Khalil ini disembah dan disanjung sebagai "Sultan" negeri bersejarah itu.

Namun, keputusan memberi anugerah kepada artis Bollywood itu ternyata satu "tindakan penghinaan" serta memalukan rakyat Malaysia amnya dan Melaka khasnya. Apakah sudah tiada rakyat Malaysia yang layak untuk diberi gelaran itu? Sebelum ini Khalil pernah dikecohkan dengan isu pemberian terlalu banyak pingat gelaran "Datuk" semasa Hari Keputeraannya. Khalil mencipta sejarah tersendiri dalam hal ini. Maklumlah, dari seorang rakyat biasa kini beliau duduk setaraf dengan raja-raja Melayu.

Bahkan beliau juga kini boleh mendabik dada kepada Sultan Pahang kerana kini "darjat" mereka hampir sama. Kalau di Pahang dulu, Khalil hanyalah Menteri Besar yang dipercayai bertanggungjawab "membankrapkan" negeri ini. Beliau dikatakan telah merompak segala hasil mahsul dan khazanah negeri terutaman hutan balak. Hutan-hutan dara yang sepatutnya dikeluarkan hasil tahun 2010 ke atas habis ditarahnya. Maka, akhirnya beliau meninggalkan hutang-piutang yang terlalu banyak untuk ditanggung oleh penggantinya.

Justeru itulah ekonomi dan KDNK di Pahang senantiasa merundum gara-gara penyelewengan yang dilakukan oleh Menteri Besar Pahang sejak dulu kini dan selamanya. Kini, Khalil boleh berbangga dengan statusnya sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka. Beliau kebal dari undang-undang setelah dianugerahkan gelaran "Tun" oleh PM Mahathir sebelum itu. Maka Khalil gembira dapat bermastautin di negeri yang cukup popular dengan "Taman Buaya" itu. Maklumlah, ketika di Pahang buaya Paya Bungor sendiri pun takut melihat kelibat Khalil turun ke air semasa Sukma 96 di Kuantan dulu. Hebohlah orang membicarakan hal ini ketika itu.

Kini Khalil dikatakan sudah serasi dengan buaya bahkan boleh menjinakkan pula buaya di Ayer Keroh itu. Maklumlah beliau kini adalah saling tak tumpah macam "Sultan Melaka". Ketika bergelar Menteri Penerangan, Khalil pernah berangan-angan untuk membina sebuah perkampungan artis ala Hollywood di Malaysia. Lokasi yang dipilih sudah pasti di Pahang iaitu berdekatan dengan Janda Baik. Mujurlah hasrat itu tidak tercapai jika tidak semakin musnah dan hancurlah masa depan rakyat Pahang ditangannya.

Kini beliau selesa berada disinggahsana negeri Hang Tuah itu. Namun, satu sikap yang sukar ditinggalkan sudah pastilah dengan "wang" atau pun "duit". Khabarnya kini di Melaka, habis projek-projek disapu oleh syarikat kroninya dari Pahang. Banyak projek-perojek besar yang sepatutnya diberikan kepada rakyat Melaka telah dianugerahkan kepada proksi-proksinya dari Pahang ini. Semua ini dilakukan demi perjuangan hidupnya yang masih belum selesai sejak sekian lama. Isu gelaran "Datuk" memang popular dan sering dikaitkan dengan "jual beli" atau "sistem barter" iaitu ada wang semua boleh jalan.

Sistem barter ini memang popular sejak zaman kesultanan Melayu Melaka dulu lagi. Khabarnya gelaran itu kini nilainya mencecah sehingga RM300,000 ringgit dan bergantung kepada cara bayarannya. Maka itulah Khalil harus mengambil kesempatan atas peluang ini. Kalau satu kepala RM300,000 maka jika diberikan kepada 30 kepala, (khabarnya ada 77 penerima darjah kebesaran Melaka itu) berapa banyak duit yang boleh disapu. Maka tanpa memikirkan "risiko" akibat tindakan bangangnya itu Khalil tersalah pandang akhirnya ter"anugerah"lah gelaran "Datuk" kepada aktor Bollywood itu.

Sekarang, semuanya sudah terbongkar. Soal siapa yang menjadi "broker" menjual gelaran itu hanya Khalil Yaakob sahaja yang layak mengetahuinya. Namun, kita pasti gelaran itu adalah "jual beli" dan bukan atas dasar jasa serta pengorbanan besar Shah Rukh Khan kepada rakyat Malaysia apatah lagi rakyat Melaka. Siasatan harus dilakukan terhadap Khalil Yaakob, jika tidak maka isu ini memanglah akan menjatuhkan maruah dan darjat orang-orang Melaka.

Khabarnya Bintang Bollywood, Shah Rukh Khan itu dijadual datang ke Melaka bulan depan bagi menerima gelaran yang dianugerahkan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Khalil Yaakob sempena sambutan Harijadi ke-70, hari ini. Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata kedatangan Shah Rukh Khan akan diuruskan dengan bantuan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin. Mesti ada udang disebalik mee cerita ini, jika tidak munasabah pulak Daim yang menguruskan kemasukan aktor tersebut ke Malaysia?.

[Pahlawan Hang Tuah ada mengatakan "Tak Melayu Hilang Di Dunia". Namun, kini Khalil Yaakob awal-awal lagi sudah menghilangkan identitinya dengan memberi anugerah kebesaran negeri melaka kepada rakyat India yang merupakan pelakon popular hindustan itu. Simpati benar kita kepada rakyat di bumi Melaka dengan perkembangan ini. Apa boleh buat, Khalil adalah "Raja di Melaka". Mahu atau tidak terpaksalah mereka sembah juga akhirnya !!. Kasihan juga buat rakyat Melaka, zaman dulu kita belajar sejarah Melaka cukup popular dengan Kesultanan Melayunya, namun kini setelah berabad-abad lamanya Melaka pula yang tidak bersultan. Akhirnya dianggatlah rakyat biasa sebagai Yang Dipertua Negeri seperti Khalil itu]

Lucu benar bila mendengar Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam menjawab persoalan perihal Aktor Bollywood Shah Rukh Khan dianugerahkan darjar kebesaran negeri Melaka yang membawa gelaran "Datuk". Menurut Ali Rustam, penganugerahan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) adalah berdasarkan sumbangannya mempromosi negeri ini melalui filem lakonannya yang ditonton jutaan peminat seluruh dunia. Katanya pelakon itu pernah datang ke Melaka membuat penggambaran filemnya bertajuk “One Two Ka Four” di A' Famosa Resort, Alor Gajah beberapa tahun lepas.

Manakala itu, salah satu lagu dalam filem berkenaan dibuat penggambaran di lokasi tersebut. Ini telah menyebabkan jutaan orang yang menonton filem itu mengenali Melaka. Ali Rustam membuat kenyataan demikian selepas istiadat penyampaian anugerah darjah, tauliah, bintang dan pingat kebesaran negeri Melaka sempena ulang tahun ke-70 Hari Jadi Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh Melaka semalam.

Shah Rukh Khan adalah antara 758 penerima anugerah darjah, tauliah, bintang dan pingat kebesaran negeri Melaka pada tahun ini. Namun begitu tarikh penyampaian anugerah kepadanya adalah berbeza dan masih belum ditetapkan lagi. Benarkah penganugerahan gelaran "Datuk" kepada Shah Rukh Khan adalah pelaburan yang mendatangkan banyak keuntungan balik kepada Melaka dari segi promosi secara percuma tanpa melibatkan wang. Beliau turut menegaskan jika kerajaan negeri hendak buat promosi Melaka secara sendiri melalui sesuatu filem yang ditonton jutaan orang di seluruh dunia tentu kosnya bernilai beratus juta ringgit.

Maka itulah kononnya jasa dan pengorbanan pelakon Bollywood itu harus dikenang oleh rakyat negeri Melaka. Soalnya, mengapa baru sekarang hendak dikenang? Kerana filem tersebut sudah ditayangkan beberapa tahun yang lepas. Apakah asas yang menyebabkan baru "hari ini" mahu diberi pengikhtirafan. Mungkinkah selepas ini pelakon Hong Kong pula akan diberi gelaran "Datuk" oleh kerajaan Malaysia. Ini kerana hero Hong Kong yang terkenal iaitu Jackie Chan kerap membuat filemnya di Malaysia. Bahkan babak dan aksi yang dilakonkan juga bukanlah sekadar lagu seperti dalam filem hindustan itu.

Jika sekadar beberapa saat A' Famosa Resort dipaparkan didalam lagu Shah Rukh Khan takkanlah sampai kerajaan Melaka boleh memberi gelaran Datuk kepadanya. Soalnya, apakah aksi dan babak itu menampakkan papa tanda lokasi berkenaan? Atau sekadar ditaman dan kolam peranginan itu sahaja. Jika tiada papan tanda, maka adakah penonton di seluruh dunia tahu lokasi itu dimana. Mungkin juga kalau dipaparkan nama "A'Famosa Resort", mungkin penonton di seluruh dunia hanya menggambarkan lokasi itu di Portugal. Ini kerana A'Famosa dibina oleh orang-orang Portugis semasa menjajah Melaka dulu.

Maka apakah logiknya Ali Rustam memberi alasan dangkal sebegitu untuk menutup "kontroversi" yang melibatkan Yang Dipertua Negeri Melaka, Khalil Yaakob itu. Maka itu tidak ada sebab musabab yang "konkrit" yang membolehkan beliau menerima anugerah tersebut melainkan anugera "Datuk" itu diniagakan oleh pihak-pihak tertentu dengan harga sekian-sekian. Jika benar ingin mengenang jasa, mengapa anak Melaka seperti Andre Goh yang sudah lama berjuang dibidang seni dan mengharumkan nama Melaka tidak menerima gelaran "Datuk"? Walhal beliau turut diberi anugerah yang sama iaitu Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) Tanpa Gelaran.

Kenapa puak-puak UMNO Melaka mendiamkan diri dalam isu ini. Bangkitlah segera untuk mempertahankan kedaulatan Melaka. Apalah ertinya perjuangan Pahlawan Hang Tuah dulu jika kini rakyat Melaka dimalukan seperti ini?. Kasihan benar melihat Andre Goh, beliau anak Melaka tetapi jasa dan pengorbanannya dibidang seni selama ini tidak diberi penghargaan oleh kerajaan neger Melaka. Sebaliknya orang luar yang hanya datang sini membuat pengambaran untuk "menyanyi" dan kemudiannya menyelitkan beberapa "saat" adegan tersebut dalam lagunya tiba-tiba diberi anugerah yang sama, tetapi dapat gelaran "Datuk".

Hina sungguhkah rakyat Melaka disisi Yang Dipertua Negeri Melaka itu? Satu lagi harus diingatkan, bahawa Shah Rukh Khan tidak boleh disamakan dengan Datuk Micheal Yeoh. Ini kerana pelakon itu menaikkan nama Malaysia dipersada antarabangsa kerana beliau memang belakon dalam filem "James Bond 007". Bahkan beliau bukannya pelakon tambahan, sebaliknya adalah "Heroin" dalam filem tersebut.

Aksi, adegan dan babak yang memaparkan dirinya sepanjang filem berkenaan dan bukan sekadar dalam lagu semata-mata. Apakah kerajaan Melaka ingin meniru gelaran yang diberi kepada Micheal Yeoh itu. Tapi, Micheal Yeoh adalah anak Malaysia yang mengaharumkan nama negara kerana filem itu disaksikan oleh berjuta-juta penonton di seluruh dunia. Sama-samalah kita fikirkan hal ini dengan fikiran yang waras serta rasionalnya.

Sementara itu kami difahamkan bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin yang mencadangkan kepada Khalil Yaakob supaya pelakon Bollywood itu diberi anugerah bagi membantu Melaka menjadi terus popular lebih-lebih lagi selepas Melaka mendapat pengiktirafan Bandaraya Warisan Dunia daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco). Katanya Tun Daim sedang menguruskan tarikh yang sesuai untuk membawa Shah Rukh Khan datang ke Melaka menerima anugerah berkenaan, mungkin dalam tempoh sebulan ini.

Maka, bertuah benarlah nasib pelakon Hindi itu, kerana mungkin beliau sendiri pun tidak menyangka akan menerima gelaran tersebut. Tapi yang menghairankan kita, apakah Shah Rukh Khan akan memakai gelaran tersebut di India nanti. Maka akan keluar barisan pelakon filem terbarunya selepas ini perkataan "Datuk Shah Rukh Khan". Atau mungkin juga gelaran itu akan disimpang sebagai kenang-kenangan semata untuk anak cucunya .

[Maka itu sebelum membuat keputusan, berfikirlah sebulat-bulatnya. Jangan sampai menerima kecaman rakyat dan menimbulkan kontroversi. Ramai lagi rakyat Malaysia yang boleh dan layak diikhtiraf oleh Khalil Yaakob selain Shah Rukh Khan itu. Kini, nasi sudah menjadi bubur. Kita nantikan sahaja apa kisahnya cerita Shah Rukh Khan selepas ini. Jika diberi gelaran "Sir", mungkin juga ada faedah buat pelakon itu, kerana seluruh dunia tahu gelaran itu. Tapi kalau setakat Datuk hanya rakyat Malaysia sahajalah yang akan menghormati dan menyanjungi Shah Rukh Khan nanti. Tidak sabar rasanya menunggu ketibaan beliau ke Malaysia..]

Ini juga salah sebuah lagu dari filem "One Two Kar Four" di mana adegannya banyak dirakamkan di Menara Berkembar Petronas (KLCC). Apakah Datuk Shah ini bakal diberikan pula gelaran Tan Sri selepas ini?

>>>bijaksana

Tiada ulasan: