Jumaat, 24 Oktober 2008

Muhyiddin bakal terima balasan Abdullah

KETIKA bercakap di Beijing, Perdana Menteri tidak menolak kemungkinan beliau akan merombak kabinet, sedikit sebanyak merisaukan beberapa orang yang 'sudah tersindir' dengan pukulan paling keras Abdullah Ahmad Badawi, di minggu ketiga bulan Syawal.

Mungkin rombakan yang hendak dibuat, ekoran kemenangan beberapa nama baru dalam MCA, termasuk Dato' Seri Chua Soi Lek yang kini menjadi Timbalan Presiden, tetapi sedikit sebanyak, ada beberapa kerusi Umno dikatakan turut tergugat dengan perkembangan terkini.

Abdullah dikatakan betul-betul terpukul dengan kenyataan Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengenai kempen panjang dalam pemilihan Umno hingga menyebabkan, Abdullah dikatakan melafazkan sokongannya terhadap seorang lagi Naib Presiden, Mohd Ali Rustam supaya meneruskan niatnya bertanding Timbalan Presiden Umno.

Walaupun Muhyiddin sudah manafikan kenyataannya itu, mengaitkan dengan Pelan Peralihan Kuasa antara Abdullah dengan Najib Tun Razak, tetapi beberapa pihak termasuk Shahrir Abdul Samad, Syed Hamid Albar dan Tajol Rosli Ghazali, turut 'membelasah' Muhyiddin yang dilihat tidak patuh kepada persetujuan asal Majlis Tertinggi (MT), supaya pemilihan diadakan Mac, 2009.

Menurut Muhyiddin, apabila wartawan bertanya, apakah kesan kepada kempen yang berpanjangan, jawapannya hanya menyentuh kemungkinan berlaku perkara-perkara kurang baik dan tidak ada langsung mengaitkan dengan dipercepatkan lagi, atau difikirkan semula isu Pelan Peralihan Kuasa.

"Saya tidak faham mengapa mereka (PM, Syed Hamid, Shahrir dan Tajol Rosli) menyerang saya sedangkan saya juga seperti mereka, akur dengan persetujuan MT tetapi saya bercakap sama seperti beberapa orang lain bercakap, mengenai isu kempen yang agak panjang akan menyebabkan kesan buruk," Muhyiddin dipetik sebagai berkata dengan beberapa kawan rapatnya.

Difahamkan, sebelum Muhyiddin menyentuh tentang kesan buruk jika kempen pemilihan Umno yang agak panjang ini, Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Ahli Parlimen Jerlun, Mukhriz Mahathir ada membuat komen perkara yang sama, tetapi tidak diserang mana-mana pihak.

Menurut satu sumber yang mendakwa rapat dengan Muhyiddin, selama isu pelan peralihan ini timbul, dia sendiri tidak pernah menyebut perkara-perkara mengenai perlunya Perdana Menteri berundur, sedangkan yang konsisten menyerang meminta Abdullah berhenti ialah anak Dr Mahathir, Mukhriz.

"Buktikan saya pernah membuat desakan supaya Perdana Menteri berundur," Muhyiddin dipetik sebagai berkata.

Justeru, segala keputusan Abdullah Ahmad Badawi tidak mempertahankan jawatannya, bukan disebabkan desakannya, malahan, Muhyiddin cukup percaya Abdullah mempunyai cukup keyakinan diri sendiri selain dari nasihat orang-orang di sekelilingnya, untuk memutuskan akan menyerahkan kuasa kepada timbalannya, Mac ini.

Kata sumber itu, walaupun Muhyiddin bercakap mengenai keperluan memikirkan semula pelan peralihan kuasa, tetapi jika Abdullah masih mahu mempertahankan jawatan Presiden Umno, tiada siapa boleh melarangnya untuk melakukannya.

Sabtu, di penghujung minggu kedua bulan Syawal, Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan keras dari Kota Kinabalu, membidas bekas PM, Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwanya berlagak sebagai pengarah pemilihan parti Umno.

Turut dibidas, Muhyiddin yang dianggap Abdullah sebagai tidak sabar untuk menjadi Timbalan Presiden Umno dan dikaitkan dengan usaha memujuk Mohd Ali Rustam supaya tidak bertanding jawatan nombor dua dalam parti itu.

Sehubungan dengan itu, beberapa pihak mendakwa, orang-orang yang pro Abdullah menjalankan tugas mereka, mencari pencalonan bagi mencukupkan quota Mohd Ali supaya layak bertanding jawatan Timbalan Presiden, supaya Muhyiddin tidak akan menang mudah.

Tidak mustahil, kata beberapa pihak, Najib juga akan 'bermain kayu tiga' dengan pertandingan kali ini, memandangkan ada cakap-cakap mengatakan peranan Mohd Ali akan lebih kepada peranan menjaga parti, seperti yang pernah dilakukan oleh Allahyarham Tun Ghafar Baba, ketika menjadi Timbalan Presiden Umno suatu ketika dahulu.

Malahan, Najib ketika mengulas hasrat Mohd Ali untuk meneruskan niatnya bertanding jawatan timbalan ini, berkata sesiapa pun boleh bertanding selagi tidak menyalahi perlembagaan (Umno), yang menyebabkan bahagian-bahagian (Umno) yang belum mengadakan persidangan, bersedia membuat pencalonan kepada Mohd Ali.

Kata mereka yang pro Mohd Ali (dan pro kepada Abdullah), Najib akan lebih selesa menjadi Perdana Menteri, jika Mohd Ali menjadi timbalan Presiden Umno kerana faktor Tengku Razaleigh Hamzah.

Tengku Razaleigh dikatakan akan menjadi Timbalan Perdana Menteri, atas perlantikan Najib dan Mohd Ali akan menjadi Timbalan Presiden, tetapi kekal sebagai Ketua Menteri Melaka.

Semua cerita dan ramalan ini, turut dikaitkan dengan 'percaturan' yang dibuat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir, yang kini dilihat sudah berbaik-baik semula dengan Tengku Razaleigh.

Dr Mahathir yang dituduh akan menjadi Perdana Menteri Penasihat kepada Najib, didakwa akan menjadikan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Timbalan Perdana Menteri di bawah Najib.

Cerita ini, walaupun mungkin sukar dipercaya tetapi tidak boleh ditolak mentah-mentah kerana poitik ini penuh dengan 'permainan mustahil' yang tidak memerlukan sebarang bukti.

Bukan perkara baru, seorang Timbalan Presiden Umno tidak menjadi Timbalan Perdana Menteri kerana Ghafar sudah memulakannya, apabila Tun Musa Hitam berundur dahulu.

Kata mereka lagi, Najib hanya memerlukan Mohd Ali sebagai Timbalan Presiden Umno selama sepenggal sahaja, kerana selepas tiga tahun, Najib dilihat mahu menobatkan Dato' Seri Hishammuddin Hussein sebagai Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri.

Hishammuddin perlu menang kerusi Naib Presiden kali ini, bagi memudahkannya melangkah setakuk lagi, menjadi Timbalan Presiden dan Timbalan Perdana Menteri. Hishammuddin adalah anak kepada Allahyarham Tun Hussein Onn, dan sepupu sebelah ibu dengan Najib.

Kebetulan, Allahyarham Tun Razak, telah melantik Hussein sebagai timbalannya walaupun mereka berbesan, apabila Tun Dr Ismail Abdul Rahman meninggal dunia.

Cerita ini mungkin berulang, kerana ia seperti mengulangi kisah Tun Razak-Tun Dr. Ismail-Tun Hussein Onn dengan Najib-Tengku Razaleigh (Muhyiddin, Mohd Ali) - Hishammuddin.

Semua ini, boleh ditunggu asalkan Umno (BN) masih berkuasa lagi, selepas PRU 13. Jika tidak, semua mereka ini, mungkin berada dalam blok pembangkang, dengan Najib menjadi ketuanya.

****huh...pening-pening, politikus-politikus.....


Tiada ulasan: