Isnin, 27 Oktober 2008

Apabila Idris Jusoh bazirkan RM7 bilion....

Bekas Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Idris Jusoh didakwa antara orang yang bertanggungjawab mengakibatkan kira-kira lebih RM7 bilion wang yang sepatutnya dibelanjakan untuk rakyat negeri Terengganu disalahgunakan untuk projek mewah termasuk Taman Tamaddun Islam (TTI) dan Monsoon Cup.

Difahamkan perbelanjaan tersebut menyebabkan Kerajaan Terengganu kekeringan wang untuk dibelanjakan bagi kepentingan negeri tersebut sehingga hari ini.

Berikutan itu Ahli Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam, Haji Mohd Abdul Wahid Endut mendakwa bekas menteri besar itu sebagai pengkhianat kepada rakyat dan negeri Terengganu.

Beliau membuat dakwaan itu ketika berucap di Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu baru-baru ini. Idris yang juga Adun Jerteh dikatakan tidak mencelah untuk menafikan dakwaan Haji Mohd Abdul Wahid dalam persidangan tersebut.

Difahamkan juga pegawai-pegawai kerajaan negeri Terengganu terpaksa berulang alik ke Putrajaya bagi membincangkan urusan kewangan negeri Terenganu.

Sebelum ini Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi akan menyerahkan wang royalti petroleum dan gas kepada kerajaan negeri itu dalam bulan September lalu tetapi sehingga hari ini wang tersebut belum diserahkan secara rasmi.

Haji Mohd Abdul Wahid yang juga Bendahari Perhubungan PAS Terengganu ketika berucap di satu majlis ceramah di Kuala Terengganu baru-baru ini mendakwa, Idris antara pemimpin Umno Terengganu yang bertanggungjawab mengeringkan kantong kerajaan negeri untuk projek pusat.

"Wang kerajaan negeri digunakan untuk projek pusat ketika Idris memerintah Terengganu. Ini suatu penggunaan wang yang tidak betul. Rakyat tidak dapat manfaat sepatutnya dari projek berkenaan," jelasnya.

Bagaimanapun beliau merasa hairan kenapa rakyat Terengganu tidak terkesan dengan tindakan Idris itu sehingga mereka terus memilih Barisan Nasional (BN) memerintah Terengganu dalam pilihan raya umum ke-12 lalu ketika negeri-negeri pantai Barat menolak parti itu sebagai kerajaan.

Tiada ulasan: