Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membidas bekas perdana menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad yang menurutnya berlagak seolah-olah pengarah pilihan parti yang menentukan "siapa yang perlu berada dalam parti Umno dan siapa yang perlu dikeluarkan".
Perdana Menteri berkata Umno tidak pernah memerlukan arahan daripada pemimpin yang tidak berada dalam parti itu.
“Siapakah Tun yang dah keluar parti Umno itu nak cuba membuat arahan kepada orang Umno apa yang patut dilakukan?
“Dia berlagak seolah-olah menjadi pengarah kepada pemilihan parti, menentukan orang itu memegang jawatan itu...orang ini pula memegang jawatan ini, siapa yang perlu ada dalam parti, siapa yang perlu dikeluarkan. Apa hak dia buat begitu?," katanya dalam sidang di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, malam ini.
Menurut Bernama, Abdullah mengulas kenyataan Mahathir yang mahu perwakilan Umno "mengusir orang-orang Abdullah" dalam pemilihan parti itu Mac depan.
"Sebenarnya beliau mahu menimbulkan pergolakan, kemarahan dan kebencian. Apakah salah sangat orang-orang yang bekerja dengan saya.
"Apakah kalau mereka itu tidak bercakap atau tidak riuh-rendah maka itu mesti dianggap sebagai orang yang tidak baik...orang yang tidak pernah membuat baik untuk Umno dan kerajaan.
"Siapa dia yang membuat penentuan seperti itu. Ini akan menimbulkan kebencian sesama ahli Umno, mengajar ahli Umno bergaduh sesama sendiri," katanya.
Abdullah berkata beliau mengambil keputusan untuk tidak bertanding jawatan presiden Umno bagi mengelakkan perbalahan sesama anggota parti.
"Oleh sebab adanya pertandingan sebagaimana yang biasa berlaku terutama di peringkat atasan berpecah belah. Kita patut belajar daripada apa berlaku dulu.
"Cakap macam ini akan menimbulkan kemarahan kepada mereka yang dianggap tidak boleh terima, mesti diketepikan.
"Saya menganggap apa yang Tun telah lakukan sebenarnya menimbulkan perkelahian di dalam Umno," kata Abdullah.
"Inikah "reform" yang diharapkan...Kita ada kebebasan, tiap-tiap ahli Umno ada kebebasan untuk bertanding.
"Saya dengar kata Ali Rustam (Ketua Menteri Melaka) yang nak bertanding timbalan presiden dicuba orang tertentu memaksa dia untuk tarik balik...Mengapa suruh Ali tarik balik? Apa tak eloknya Ali?.
"Tak boleh diberi saja kebebasan untuk bertanding....tentu ada orang yang mahu sokong mahupun yang tak sokong. Jadi biarlah dia bertanding dan biarlah orang Umno menentukannya," katanya.
Dalam hal ini, anggota Umno tidak perlu orang daripada luar untuk memberi arahan.
"Adalah lebih baik Tun tak cakap langsung pada hari ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan