Shahidan sudah banyak kali bercakap isu yang serupa, tetapi tidak mendapat sambutan, kerana Shahidan memberikan contoh, pemilihan dalam persatuan sukan lebih adil, kerana setiap negeri menghantar perwakilan yang sama bilangannya.
Mana mungkin calon-calon lain, khususnya yang datang dari Johor, Negeri Sembilan, Sabah dan Perak mahu menyambut kenyataannya itu kerana ia ada kebenarannya.
Cita-cita Shahidan cukup besar, jauh lebih besar dari 'Padang Besar' yang menjadi perebutan antara Dato' Zahidi Zainul Abidin dengan Dato' Seri Azmi Khalid baru-baru ini.
Tidak salah sebenarnya memasang cita-cita besar dalam politik, walaupun datang dari negeri kecil, seperti Perlis tetapi Shahidan kenalah ada semangat juang yang tinggi.
Sebelum ini, Umno Perlis kurang diberikan perhatian, kecuali bila mereka kecoh. Suatu ketika dahulu, Perlis yang hanya mempunyai dua bahagian sahaja, Arau dan Kangar, pernah digelar 'Korea Utara dan Korea Selatan' kerana pertembungan dua puak.
Ketika itu, Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawateh menguasai Arau, manakala Dato' Seri Radzi Sheikh Ahmad menguasai Kangar (termasuk sebahagian Padang Besar).
Kebetulan, semua Menteri Besar Perlis datangnya dari Kangar. Bermula dari Dr Abd Hamid, orang Arau berpeluang menjadi MB.
Kemudiannya, Shahidan juga orang Arau dan kini, Dato' Seri Md Isa Sabu, adalah orang Kangar yang berjaya kembali menguasai kerusi MB Perlis.
Semua Ahli Parlimen dari Perlis kini sudah tidak berjawatan, apabila Azmi Khalid dan Radzi tidak dilantik semula menjadi Menteri selepas pilihan raya umum yang lalu
Secara kebetulan, memang belum ada orang Perlis berjaya menjadi Naib Presiden Umno. Jauh sekali kerusi timbalan dan Presiden. Terkini, Shahidan Kassim menyuarakan hasratnya tetapi kemudian mengumumkan penarikan diri, apabila melihat pencalonan yang berlaku tidak menyebelahinya.
Betulkah apa yang disuarakan Shahidan ini? Hanya calon dari Kedah, Johor dan Pahang sahaja yang berupaya melangkah jauh dalam hirerki kepimpinan Umno kerana mereka menguasai negeri-negeri yang besar dan menghantar ramai perwakilan? Jawapannya, ada betulnya dan ada tidaknya.
Betul, kerana biasanya calon dari Johor memang sering menguasai pencalonan dan mudah menang, manakala tidak betulnya, jika mereka berpecah. Apa yang lebih malang, Perlis yang hanya mempunyai tiga bahagian, tidak pernah dilihat bersatu.
Jika Shahidan menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden, ada dua lagi pemimpin bahagian (selain Arau) akan mentertawakannya.
Bukan orang luar Perlis yang 'menolak' Shahidan tetapi orang Perlis sendiri. Sebelum pilihan raya umum lalu, macam-macam kisah didedahkan oleh 'orang-orang Perlis di Kuala Lumpur' terhadap kepimpinan Shahidan, yang akhirnya semua mereka 'balik ke Perlis' dan Shahidan terlepas peluang kekal sebagai MB.
Ketika Shahidan berusaha mempertahankan kerusi MB, ada pula orang lain berusaha 'menolaknya' keluar. Tidak hairanlah, jika Perlis yang mempunyai tiga kerusi Parlimen, pada suatu ketika, dua dari Ahli Parlimennya, berjawatan Menteri.
Belum pernah berlaku sebelum ini, tetapi dalam era kepimpinan Shahidan, Umno Perlis mendapat pencapaian yang cukup tinggi. Namun, 'mereka bertiga' tidak bersatu hati, tetapi bergaduh sama-sama sendiri.
Sifat Shahidan yang pemurah, dermawan dan suka menolong orang disembunyikan. Malah, mereka (pemimpin Perlis) yang terkenal 'kedekut' mulalah merosakkan nama Shahidan yang pemurah dengan cerita-cerita kurang elok, termasuk memfitnah, dari mana Shahidan dapat duit untuk menderma.
Malahan, orang-orang di luar Perlis pun, 'menutup' cerita kemurahan hati Shahidan yang mereka sendiri dapat bantuan, khususnya di musim-musim banjir kerana tidak mahu Shahidan membantu orang lain, kecuali mereka sahaja.
Apabila Shahidan mengumumkan hasrat mahu bertanding jawatan Naib Presiden, bahagian-bahagian yang pernah menerima bantuan dari Shahidan sudah menjadi 'lupa budi' kerana mungkin ada 'bantuan baru' yang mereka akan terima jika tidak mencalonkan Shahidan sebaliknya mencalonkan orang lain.
Tidak keterlaluan jika dikatakan usaha menolak Shahidan bermula dari Perlis sendiri.
Perlis yang membuatkan Shahidan 'dimalukan' dengan melantik orang lain menjadi MB sedangkan kerja dan kejayaan yang Shahidan capai, ketika Pilihan Raya Umum ke 12 yang lalu cukup besar, ketika di negeri-negeri lain termasuk Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Perak dan Negeri Sembilan, kalah teruk.
Kalaulah orang Perlis bersatu, menyokong Shahidan dan membawa cerita-cerita baik yang Shahidan lakukan, termasuk kerja kuatnya sewaktu membantu calon-calon BN dalam pilihan raya kecil, tidak mustahil Shahidan akan menjadi satu-satunya 'anak Perlis' yang mampu melangkah jauh dalam politik nasional.
Jika orang Perlis menjadikan Melaka sebagai contoh, Perlis kini mungkin sudah melahirkan seorang Naib Presiden, walaupun negeri ini tidak mempunyai perwakilan yang ramai.
Walaupun Melaka hanya mempunyai enam bahagian, tetapi semakin ramai anak Melaka yang berjaya meningkat jauh dalam politik kebangsaan.
Allahyarham Tun Ghafar Baba misalannya menjadi Naib Presiden Umno selama 25 tahun, walaupun Allahyarham datang dari Melaka. Ketika itu, Melaka hanya mempunyai lima bahagian sahaja.
Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik juga pernah menjadi Ketua Pergerakan Pemuda Umno, juga datangnya dari Melaka. Kini, Dato' Seri Mohd Ali Rustam pula mencipta nama.
Tan Sri Mohd Isa Abd Samad, juga boleh dijadikan contoh. Walaupun datang dari Negeri Sembilan yang hanya mempunyai lapan bahagian, pernah menang kerusi Naib Presiden Umno dan hampir berjaya menjadi Ketua Pergerakan Pemuda Umno dalam tahun 1993, walaupun terpaksa berhadapan dengan 'team wawasan'.
Berbeza dengan Perak, walaupun menghantar perwakilan antara yang teramai, tetapi belum ada anak Perak, kecuali Allahyarham Dato' Panglima Bukit Gantang Abd Wahab menjadi Naib Presiden.
Negeri kecil atau besar, sebenarnya bukan masalah. Shahidan mungkin terlepas peluang menjadi Naib Presiden Umno tetapi, tidak mustahil selepas ini, akan ada seorang anak Perlis yang boleh pergi lebih jauh, asalkan mereka tidak bergaduh sama-sama sendiri, seperti apa yang berlaku antara Shahidan-Radzi-Azmi Khalid.
Ketiga-tiga mereka (Shahidan-Azmi-Radzi) boleh sahaja menafikan 'pergaduhan mereka' tetapi semua orang tahu, Radzi tidak boleh duduk semeja dengan Shahidan dan begitu juga Azmi.
Kebetulan, semua mereka kecuali Radzi, tewas kerusi MT dalam pemilihan 2004. Radzi tidak bertanding ketika itu kerana dilantik menjadi Setiausaha Agung Umno. Dipercayai, jika dia bertandingpun, dia akan mengalami nasib serupa dengan Shahidan dan Azmi.
Belum terlewat bagi Shahidan, menyusun strategi baru untuk mencari pencalonan, dalam pemilihan akan datang.
Dia sendiri kena turun ke bawah, berjumpa seramai mungkin kepimpinan bahagian dan cawangan, walaupun ia bukan suatu tugas mudah untuk membuktikan kebolehannya.
Walaupun dia mungkin kepenatan, tetapi hanya dengan mengeluh mengatakan tidak adil calon dari negeri kecil seperti menumpang pengaruh negeri besar tidak akan menyelesaikan masalah.
Dalam Umno, kebaikan yang dibuat, akan diselimuti oleh pesaing-pesaing. Keburukan yang mereka lakukan, akan didedahkan kerana cara itu sahaja akan memudahkan orang lain menjaja keburukan rakan mereka.
Menjadi satu kerugian, jika orang yang hendak bertanding, menceritakan kebaikkan pesaing mereka.
Tugas utama mereka (yang hendak bertanding) mestilah menceritakan kebaikkan diri sendiri dan dalam masa yang sama, mendedahkan pekung pesaing-pesaing. Hanya inilah cara mudah untuk mendapat pencalonan.
Jangan terkejut, jika bahagian-bahagian hanya mencalonkan mereka yang berjawatan, lebih dari mereka yang tidak berjawatan. Mereka menganggap, hanya mereka yang berjawatan sahaja boleh membantu mereka, menjanjikan projek dan sebagainya sedangkan yang tidak berjawatan, jika dicalonkan pun hanya kerana, mahu mencukupkan kuota.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan