Selasa, 14 Oktober 2008

Bekas Panglima Tentera Laut Gesa Mansuhkan ISA??

Anak kelahiran tempatan yang pertama menjadi panglima tentera laut Malaysia Laksamana Muda (B) Tan Sri K. Thanabalasingam menggesa agar dimansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang menurutnya sudah tidak berguna dan relevan lagi kerana negara tidak lagi menghadapi ancaman komunis.


Thanabalasingam, yang menerajui tentera laut selama sembilan tahun dari 1967, berkata semasa ISA diperkenalkan, ia memang perlu kerana negara sedang berjuang menentang pengganas komunis. Sebagai gantinya, beliau mencadangkan kerajaan menggubal Akta AntiKeganasan untuk mengekang ancaman keganasan yang dihadapi dunia tetapi ia perlu spesifik dan jelas dalam niatnya dan patut digunakan untuk tujuan itu sahaja.


"ISA telah berubah daripada segi penggunaannya sejak 30 tahun lepas dan kini digunakan untuk sesuatu yang tersasar daripada tujuan asalnya," kata Thanabalasingam dalam ruangan yang disiarkan oleh New Sunday Times hari ini. Bekas panglima tentera laut itu menyertai orang ramai yang membantah penahanan seorang wartawan, seorang ahli politik dan seorang penulis blog mengikut ISA baru-baru ini. Katanya beliau terkejut dengan penahanan mengikut ISA baru-baru ini dan beberapa kenyataan bercanggah oleh pihak berkuasa berhubung perkara itu.


"Saya sendiri tertanya-tanya bagaimana akta yang berkuasa seperti ISA boleh diserahkan kepada budi bicara polis sepenuhnya," kata Thanabalasingam semasa mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar yang polis boleh menggunakan ISA malahan tanpa memaklumkannya kepada beliau. "Pastinya, ISA ialah undang-undang yang serius yang kerajaan perlu gunakannya dengan berhati-hati dan bijak dan dengan itu perlu dikawal ketat setiap masa," katanya mengenai undang-undang itu yang membenarkan penahanan seseorang tanpa perbicaraan.


Beliau juga berkata tujuan asal ISA ialah bagi satu tujuan sahaja iaitu mengendalikan pemberontakan pengganas komunis dan perjuangan bersenjata untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih atau menganjurkan keganasan. Melahirkan kebimbangan dengan ketegangan kaum dan politik yang sedang berlaku dan ketidaktentuan ekonomi, Thanabalasingam merayu kepada ahli politik untuk mengawal emosi mereka. "Kejadian 13 Mei, 1969 dicetuskan oleh ahli politik dan ketegangan kaum yang sedang berlaku di negara ini sekali lagi dicetuskan oleh beberapa ahli politik kedua-dua pihak politik yang tidak sehaluan," katanya mengenai rusuhan kaum yang berlaku di sini lebih 39 tahun lepas.


"Rayuan saya kepada semua ahli politik ialah tolong kawal emosi anda dan fikirkan masa depan negara dan anak-anak kita. Kita pastinya tidak mahu kejadian 13 Mei atau kejadian serupa berlaku," katanya.Beliau menyalahkan parti-parti politik berasaskan kaum sebagai punca yang menyebabkan rakyat Malaysia bersifat perkauman.


"Saya mendapati adalah memalukan bahawa selepas 51 tahun merdeka, kita masih mempunyai parti-parti politik berasaskan kaum."Dalam usia saya lebih 70 tahun, saya tidak pernah menyaksikan jurang yang begitu lebar antara kita semua seperti pada hari ini, kecuali mungkin sejurus selepas 13 Mei," katanya.


>>>bernama

Tiada ulasan: