Pasir Puteh: Lebih 180 pengusaha tangkapan ikan laut dalam yang beroperasi di pelabuhan baru nelayan Tok Bali di sini menyambut baik pengenalan skim insentif 10 sen bagi setiap kilogram ikan yang dinaikkan di jeti oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, dengan menyifatkan ia sebagai satu langkah positif dalam usaha membangunkan industri itu.
Mereka menganggap tindakan kerajaan itu sebagai satu langkah yang boleh meringankan tekanan yang sedang dihadapi akibat peningkatan kos pelbagai jenis barangan keperluan, di samping cabaran di peringkat global.
Pengerusi Persatuan Nelayan Semerak Datuk Mohd Jelani Jaafar berkata ini termasuk bebanan untuk menyelenggara bot seperti kerosakan dan pembelian peralatan menangkap ikan yang lebih moden sesuai dengan tuntutan semasa.
"Dengan adanya insentif itu ia dapat memantapkan lagi operasi di laut luas yang semakin mencabar, sehingga mengakibatkan ada kalangan mereka yang terpaksa "gulung tikar" kerana tidak tahan dengan cabaran dan persaingan yang semakin sengit," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari Selasa.
Julai lepas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed berkata 70,000 nelayan laut dalam dan persisir pantai di seluruh negara menerima bayaran insentif RM200 sebulan mulai bulan Ogos, selain mereka diberikan insentif 10 sen bagi setiap kilogram ikan yang dinaikkan ke jeti-jeti yang disediakan, dalam usaha meringankan beban pengusaha industri itu dan memajukan industri berkenaan.
Sementara itu Pengurus Syarikat Perikanan Laut Dalam Jet7 (M) Sdn. Bhd Abdul Rahman Hamat pula berkata skim itu tepat pada masanya memandangkan keadaan persekitaran yang semakin terdesak yang memerlukan perbelanjaan yang besar.
Syarikat yang memiliki 15 buah bot laut dalam itu sudah beroperasi sejak lebih 10 tahun lepas, dan ia kini terpaksa membelanjakan modal antara RM20,000 hingga RM30,000 bagi setiap bot yang keluar menangkap ikan di kawasan lebih 30 batu nautika dari Pantai Tok Bali.
"Ini termasuk perbelanjaan menggaji 400 hingga 600 orang nelayan asing yang diimport terutama dari Thailand dan Kemboja," katanya katanya kepada pemberita ketika ditemui di pangkalan Pak Mak Yong, Tok Bali di sini, hari ini.
Katanya sebaik sahaja mereka pulang pula, pihaknya terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar, tidak kurang RM1,000 seorang sebagai upah yang berdasarkan perolehan hasil tangkapan.
"Dengan adanya skim insentif itu, ia mendorong kami lebih bersemangat untuk meningkatkan hasil pengeluaran termasuk meneroka lebih jauh ke kawasan zon eksklusif perairan laut dalam," katanya.
Sementara itu Pengurus Yee Trading & Management Resources Sdn Bhd Nik Mohd Adeeb Nik Pa yang beroperasi di pangkalan yang sama berkata insentif itu boleh menampung perbelanjaan selama dua bulan ketika bot-bot tidak boleh beroperasi akibat keadaan laut bergelora pada musim tengkujuh.
Katanya selain membantu syarikatnya yang memiliki lebih 40 buah bot, insentif itu juga memberi faedah kepada lebih 30 buah bot laut dalam lain yang turut mendaratkan hasil tangkapan di jeti syarikatnya.
Beliau berkata setiap bot berkenaan berupaya menghasilkan 15 ton ikan pelbagai jenis setiap kali didaratkan dalam tempoh satu hingga dua kali dalam sebulan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan