Hari ini, dalam Umno, seolah-olah menjadi satu kesalahan jika menantu PM bercadang mencari peningkatan dalam hirerki politik.
Suatu ketika dahulu, anak Tun Dr Mahathir Mohamad diserang hebat kerana mengumpul kekayaan luar biasa ketika bapanya menjadi PM, tetapi Dr Mahathir mempertahankan anak-anaknya kerana 'tidak salah anak PM berniaga dan kaya'.
Betul kata Dr Mahathir, Melayu mudah lupa. Hari ini, bukan sahaja kisah anak Dr Mahathir yang kaya-raya sudah dilupakan (baca: sudah dimaafkan), malahan Dr Mahathir yang berang ketika serangan dihalakan kepada anak-anaknya, turut mendedahkan orang-orang Umno yang rapat dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu menjadi Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri, agar serangan turut dihalakan kepada kroni Anwar juga.
Hari ini, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak kelihatan mendahului pencalonan jawatan Presiden Umno, ketika Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi enggan mempertahankan jawatannya, tiada siapa yang mahu menyebut, kemenangan Najib nanti kerana dia anak kepada bekas PM, Allahyarham Tun Razak Hussein.
Begitu juga Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein, secara tiba-tiba namanya di tangga teratas dalam senarai pencalonan Naib Presiden, satu tangga mudah menuju ke kerusi Timbalan Presiden dan kemudiannya Presiden, tidak disebut sebagai anak bekas PM, Allahyarham Tun Hussein Onn.
Begitu juga Dato' Muhkriz Mahathir, secara mendadak, menerima pencalonan tertinggi bagi kerusi Ketua Pergerakan Pemuda Umno - kerana perjuangannya sama dengan bapanya, Dr Mahathir yang membuat gesaan supaya PM, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengundurkan diri dari kedudukan sekarang.
Tiada siapa percaya, pencalonan yang mereka dapat 'dibayar' kerana mekanisme membeli pencalonan dibuat dengan cukup teliti, supaya Lembaga Disiplin yang diketuai Tan Sri Ahmad Rithauddeen Ismail yang sudah berkerusi roda, tidak dapat mengesannya.
Dalam Umno, ada beberapa nama yang naik dalam politik kerana kaitan menantu-mentua, tetapi tidak pula menerima kecaman begitu hebat bagaimana kecaman dan serangan dibuat terhadap Khairy Jamaluddin.
Di Johor, menantu Ketua Umno Bahagian Sungai Benut (kini Bahagian Simpang Renggam), Dato' Fatimah Salim (Allahyarham) tidak ada masalah menjadi Ketua Umno bahagian, menggantikan emak mentuanya dan berpenggal-penggal menjadi MP dan Adun, walaupun dia bukan anak tempatan Sungai Benut.
Malahan, Dato' Abd Hamid Abd Rahman adalah anak jadi Baling, Kedah.
Di Selangor, menantu bekas Ketua Umno Bahagian Kapar, Tan Sri Onn Ismail tidak dihalang menjadi Timbalan Ketua Umno bahagian yang sama, selepas bertahun-tahun menjadi Ketua Pergerakan Pemuda bahagian itu.
Faizal Abdullah, menantu Onn kini merupakan Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Negeri Selangor dan turut menerima pencalonan bagi jawatan Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia. Di Bahagian Ampang Jaya, menantu bekas Ketua Umno Bahagian, Dato' Mufti Shuib (Allahyarham) tidak disekat untuk bertanding jawatan di peringkat bahagian dan pernah menjadi Adun sebelum tewas di kerusi Parlimen.
Ketua Umno Bahagian Jasin, Dato' Wira Kapt (B) Ahmad Hamzah merupakan menantu Allahyarham Tun Ghafar Baba, tidak dihalang sesiapa untuk menjadi Exco Kerajaan Negeri Melaka dan kini merupakan MP Jasin.
Di Sabah, Sarawak, Perlis, Kedah dan semua negeri, termasuk pembangkang isu anak, isteri, menantu dan ipar tidak terlepas dari terlibat secara serius dalam politik.
Tetapi, berbeza dalam Umno, kehadiran Khairy Jamaluddin dilihat menyulitkan PM dan turut menyulitkan Khairy sendiri.
Serangan bertubi-tubi yang dibuat Dr Mahathir secara terang-terangan, sejak sekian lama nampaknya memberikan kesan.
Malahan, bahagian-bahagian yang bercadangkan mencalonkan Khairy sebagai Ketua Pergerakan Pemuda, setelah dia membuktikan kemampuannya menjadi orang nombor dua Hishammuddin, disekat.
Jika ada bahagian-bahagian yang mencalonkan Khairy, ketuanya akan dituduh menerima habuan dan jika ketuanya (termasuk ketua bahagian itu) bercadang bertanding apa-apa jawatan di peringkat tertinggi, nescaya mereka akan dicop sebagai 'kroni Abdullah' yang mungkin menyulitkan mereka mendapat sokongan.
Jika bahagian yang mencalonkan Khairy dianggap 'berdosa', penulis yang menulis mengenai Khairy juga akan dianggap 'penulis upahan'.
Jika boleh, apa sahaja berkaitan dengan Khairy, mestilah ditulis bertujuan memburuk-burukkannya, walaupun dia bukanlah bersih sebersih pemimpin-pemimpin Umno yang mendakwa mereka bersih.
Lebih menarik, bekas Ketua Umno Bahagian Kulim-Bandar Baharu, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir tidak menghadapi apa-apa masalah, jauh sekali ditentang ketika 'membuat pelan peralihan kuasa' dari dirinya kepada adiknya.
Padahal, adiknya, Dato' Abdul Aziz Sheikh Fadzir adalah Timbalan Ketua Umno Bahagian Baling dan pernah menjadi Adun Kuala Ketil dari 2004-2008, sebelum berpindah keahlian Umno ke Kulim-Bandar Baharu.
Jika boleh dianggap malang, Khairy yang merupakan Naib Ketua Pemuda Umno dipandang serong bila disenaraikan bertanding di Parlimen Rembau dalam PRU 12, 8 Mac yang lalu sedangkan sejarah membuktikan sebahagian besar penyandang jawatan Naib Ketua Pemuda, memang diberikan tempat bertanding.
Ini termasuklah Dato' Mokhtar Hashim (ketika menjadi Naib di bawah Dato' Harun), Dato' Mohamed Rahmat juga diberikan tempat ketika menjadi Naib Ketua Pemuda.
Diikuti, Najib, Hashim Safin, Nazri Aziz, Hishammuddin, Aziz Shaikh Fadzir dan kini Khairy.
Mungkin yang lain-lain bukan menantu Abdullah, maka mereka tidak dipandang serong apabila diletakkan bertanding tetapi 'malangnya' Khairy, dia adalah menantu Abdullah yang perlu disingkirkan, sama seperti usaha sedang dibuat mahu menyingkir Abdullah.
Ketika orang-orang Umno inginkan anak seorang guru sekolah, anak penarik beca dan anak petani di kampung ditonjolkan sebagai pemimpin, kerana mereka juga belajar di universiti yang anak-anak orang besar belajar, tetapi tangan mereka memangkah hanya anak-anak PM kerana, kononnya mengenangkan jasa bapa mereka.
Jika Najib tidak 'berbinkan' Tun Razak, Hishammuddin bukan 'berbinkan' Hussein Onn dan Mukhriz Dr Mahathir tidak 'berbinkan' Dr Mahathir Mohamad, nescaya dia juga akan senasib dengan Zahidi Zainol Abidin yang hanya mendapat satu pencalonan sahaja untuk bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno.
Tiada siapa boleh mencemburui anak-anak Dr Mahathir, anak-anak Hussein Onn dan anak-anak Tun Razak, tetapi seharusnya orang-orang Umno tidak diajak membenci menantu PM, walaupun ketika ini semua orang-orang Umno sedang berusaha untuk membenci PM.
Ketua-ketua bahagian, Menteri-Menteri Besar yang mengetuai Umno Negeri dan bahagian, kini takut diejek jika mereka dilihat seperti menyokong Khairy.
Dalam masa yang sama, jika mereka menyokong dan mencalonkan Mukhriz, secara senyap-senyap mereka akan digambarkan sebagai seorang yang berani, sama dengan keberanian yang ada pada Dr Mahathir, hingga sanggup meninggalkan Umno yang meletakkannya sebagai Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan