Rabu, 29 Oktober 2008

Kelantan bayar RM220 juta hutang peninggalan Kerajaan BN

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Masyarakat, Dato’ Husam Musa berkata, jumlah hutang yang ditinggalkan kerajaan BN ketika PAS mula-mula mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri sebanyak RM718 juta.

Katanya, setiap tahun kira-kira RM11 juta dibayar kepada kerajaan pusat, menjadi jumlah yang dibayar sehingga sekarang sebanyak RM220 juta.

“Jumlah hutang tersebut tidak termasuk pinjaman baru yang diluluskan bagi projek bekalan air bersih di negeri ini sebanyak RM371 juta,” katanya ketika menjawab soalan Dato’ Noor Zahidi Omar (BN-Pengkalan Kubur) pada persidangan hari ini.

Menurutnya juga jumlah hutang tersebut meliputi Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan, Perbadanan Stadium dan pihak berkuasa tempatan, keseluruhannya sebanyak RM572 juta.

Dan jumlah itu sekarang sudah berkurangan kepada RM268 juta.

Manakala bagi projek perumahan awam kos rendah (PAKR) masih berbaki sebanyak RM70.5 juta berbanding pada 1990 sebanyak RM72 juta.

Husam berkata, hutang bagi projek projek PAKR pada 1999 menurun kepada RM69 juta, namun sekarang meningkat kepada RM70.5 juta apabila dicampur kadar bunga yang dikenakan.

Katanya, jumlah hutang masih tinggi disebabkan keengganan pemiliknya menjelaskan sewa yang sepatutnya dibayar setiap bulan.

Menjawab soalan tambahan Ustaz Mohamad Mustafa (PAS-Demit) katanya, kaedah lama iaitu mengenakan faedah masih digunapakai kerajaan pusat terhadap hutang kepada kerajaan-kerajaan negeri.

“Pada mesyuarat Majlis Kewangan Negara sebelum ini saya sudah membangkitkan supaya kadar faedah dihapuskan. Saya kira Perdana Menteri yang ada sekarang masih mempunyai kuasa melaksananya sebelum Mac depan.

“Perdana Menteri perlu melaksanakan segera sebelum Perdana Menteri yang sedang menunggu mengambil alih tempatnya,” kata beliau.

Beliau juga berharap Dato’ Mohd Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri mempengaruhi Dato’ Seri Abdullah supaya dihapus kadar faedah pinjaman yang dikenakan.

Tiada ulasan: