Rabu, 22 Oktober 2008

TG Nik Aziz sekadar berehat di HUSM

Rakyat Kelantan tidak perlu risau biar pun Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat masih dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Beliau dimasukkan ke wad HUSM petang Ahad lalu selepas dinasihatkan doktor setelah mengadu penat dan sakit di bahagian lutut.

Anak kelimanya, Nik Omar, 43, ketika ditemui di rumahnya di Pulau Melaka semalam berkata, Menteri Besar dijangka dibenarkan pulang dalam masa sehari dua lagi.

"Ayah sihat tidak ada sebarang masalah. Beliau masuk wad baru-baru ini pun kerana penat dan mengadu sakit lutut. Disebabkan masalah itu doktor meminta supaya ayah berehat.

"Ayah juga sempat menziarahi Yang Dipertua PAS Tumpat, Ustaz Wan Mohd Jamil yang dirawat di hospital yang sama akibat masalah pendarahan," ujarnya.

Beliau ditemui pada majlis kesyukuran sempena menyambut cucu Tuan Guru Nik Abdul Aziz ke-50, yang juga anak Nik Omar yang kelima.

Sempena majlis itu, lebih 3,000 tetamu hadir termasuk anggota-anggota Exco kerajaan negeri, Adun, anggota Parlimen, pemimpin masyarakat serta penduduk berdekatan.

Sebanyak tiga ekor lembu dikorbankan bagi meraikan kelahiran Nik Nor Rabbiha, yang dilahirkan pada 15 Oktober lalu.

Menurut Nik Omar lagi, walaupun ayahnya tidak dapat meraikan majlis kesyukuran itu, namun beliau sering berhubung melalui telefon.

"Pada awalnya hanya dua ekor lembu sahaja akan dikorbankan, namun memandangkan selepas solat Subuh telah ramai yang hadir menyebabkan ia terpaksa ditambah seekor lagi," katanya.

Isteri Menteri Besar, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak ketika ditemui melahirkan rasa syukur di atas kelahiran cucunya yang ke-50.

Sebagai seorang nenek beliau berbangga mempunyai jumlah cucu yang ramai.

Sementara itu, Wan Mohd juga masih dirawat di HUSM setelah mengalami masalah pendarahan.

Bagaimanapun katanya, keadaan kesihatannya semakin baik setelah dimasukkan beberapa pain darah. Beliau juga masih di bawah pengawasan doktor pakar.

"Alhamdulillah kesihatan saya kini semakin baik dan menurut kata doktor saya perlu dirawat dalam tempoh empat minggu bagi membolehkan keadaan darah saya kembali normal," ujarnya ketika ditemui petang semalam.

Sehubungan itu, Wan Jamil meminta orang ramai mendoakan semoga beliau kembali sihat seperti biasa.

Turut menziarahinya beberapa anggota Exco kerajaan negeri dan wakil-wakil rakyat serta pemimpin masyarakat tempatan.

"Saya mengucap terima kasih kepada semua pimpinan terutamanya Tuan Guru yang sudi menziarahi saya, walau pun dalam uzur. Terima kasih banyak kepada semua," ujarnya.

Isterinya Arniwati Sabirin berkata, pada mulanya suaminya tidak dapat bangun untuk menunaikan solat Subuh kerana kedua-dua belah kakinya terasa sakit.

Ekoran itu, katanya beliau mencadangkan Wan Jamil menggunakan kerusi roda bagi memudahkan ke bilik air.

"Bagaimanapun tiba-tiba dia terdiam kerana sesak nafas dan peluh berpeluh kecil. Selepas situ saya membawanya ke klinik swasta. Doktor mendapati suami mengalami masalah jantung dan akhirnya dirujuk di Hopital Pakar Perdana," katanya.

Wan Jamil kini dilantik sebagai Penyelia Dun Pengkalan Kubur dan Ketua Whip Majlis Daerah Tumpat.

Tiada ulasan: